Sumpah Saiful Sah – Mufti – so, what’s next?
Maka datanglah beberapa kenyataan untuk mempertahankan perbuatan Saiful Bukhari ini. Mufti Wilayah Persekutuan sebagai contohnya telah memperkatakan bahawa sumpah Saiful ini sah, dengan nada memperlekehkan kelulusan Ramlang Porongi, [kenyataan ini boleh dilihat dalam laporan akhbar-akhbar utama]
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh sangsi dengan kredibiliti imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang tampil membuat pengakuan bahawa sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah tidak sah. Menurut beliau, mana-mana individu yang ingin mengeluarkan sebarang fatwa atau hukum dalam Islam perlu mendalami ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab Feqah bagi memperkukuhkan hujah mengenai sesuatu perkara.
“Saya sangsi sama ada beliau boleh baca kitab (Feqah) atau tidak. Apabila kita mengeluarkan fatwa yang berkaitan dengan soal hukum, kita seolah-olah bercakap bagi pihak Allah…Jadi kita perlu bercakap dengan ilmu dan sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa merujuk sebarang kitab yang berkaitan maka akan menerima seksaan dari Allah di neraka,” katanya dalam sidang media di Pusat Islam.
Semalam, Ramlang tampil membuat pengakuan di Permatang Pauh bahawa sumpah yang dilakukan Mohd Saiful tidak sah dan beliau ‘dipaksa’ untuk menjadi saksi dalam upacara tersebut. Ramlang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam dengan gred perkhidmatan S17. Beliau ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan sebagai imam, jurunikah dan ketua amil.
Bagaimanapun Wan Zahidi menolak dakwaan tersebut dan mengakui sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful itu adalah sah mengikut hukum Islam. [petikan dari myStar]
Sebelum dari kejadian ini juga Mufti Perlis telah menggunakan istilah ‘mubahalah’ untuk peristiwa sumpah ‘sebelah pihak’ ini, ternyata penggunaan istilah itu sendiri tidak tepat, kerana mubahalah dari segi konteks bahasa sendiri bermaksud ‘saling-laknat melaknati antara dua pihak atau lebih’.
Kebanyakan orang yang bercakap tentang sah atau tidak sah sumpah Saiful Bukhari ini, kemudian mereka membisu dengan isu ‘kandungan sumpah’ Saiful tadi. Jika diperhatikan kata-kata/sumpah yang keluar dari mulut Saiful sendiri, di mana dalam pengakuan tersebut tidak ada perkataan ‘dipaksa’, sebagaimana diwar-warkan sebelum ini oleh media. Tambahan pula pendakwaan atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah berdasarkan Kanun Keseksaan seksyen 377B yang mana ‘seksyen dakwaan’ tersebut menunjukkan yang Saiful Bukhari merelakan dirinya untuk diliwat.
Jika benar beliau dipaksa, sepatutnya kalau Saiful Bukhari mesti membuktikannya. Jika dia gagal, maka ini bermaksud dia telah melakukan perbuatan tersebut secara sukarela, dan sebagai hukuman Islam ke atasnya, dia hendaklah dibunuh mengikut hudud Islam.
Di dalam Islam, syarat untuk hukuman bunuh ke atas pelaku liwat (sama ada yang meliwat atau yang diliwat) ada 3 yakni (i) akil (ii) baligh dan (iii) tidak ada paksaan yang bersangatan (ikrahul mulji’) yakni paksaan yang boleh membawa kecederaan atau kematian. Jika ada ikrahul mulji’ maka pelaku liwat tidak boleh dibunuh, tetapi jika tiada ikrahul mulji’, maka pelaku liwat hendaklah dibunuh.
Bukan setakat sumpah yang dibuat di masjid Wilayah, malah dalam semua laporan polis dan kenyataan Saiful Bukhari tidak mengandungi perkara ini (ikrahul mulji’). Pendakwa Raya sendiri nampaknya ‘takut’ untuk menggunakan Seksyen 377C kerana susah untuk dibuktikan. Menurut Fiqh Islam, pengakuan hanya sah untuk diri sendiri sahaja, tidak sah untuk orang lain. Jadi, sumpah Saiful hanya terpakai untuk dirinya sendiri sahaja manakala DSAI tidak boleh dikaitkan dengan pengakuan sebelah pihak ini. Lain halnya jika DSAI sendiri mengaku melakukannya dan sanggup bersumpah.
Mungkin Tuan Mufti yang belajar Fiqh juga perlu menjelaskan isu ini sejelas-jelasnya, kerana kita berhukum dan berhubung dengan Allah semasa memberikan fatwa. Mungkin Tuan Mufti boleh menjelaskan bagaimana ‘fatwa liwat’ yang terdapat dalam Akta 559. Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian IV Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan Seksyen 25, yang menyebut,
“Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”
Kitab Fiqh manakah yang Tuan Mufti belek yang menjelaskan bahawa hukum liwat adalah di denda RM5,000 atau dipenjara tidak lebih dari 3 tahun?
Sedangkan Hadis Nabi SAW menjelaskan,
“Barang siapa yang kamu jumpa, yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya.” [HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tarmizi]
Jadi, jika sumpah Saiful dinilai sah oleh para mufti, maka persoalannya, what’s next? Jika Tuan Mufti ingin berhukum dengan hukum Allah, maka Saiful wajib dibunuh, kerana beliau telah bersumpah dan mengaku diliwat. Tuan Mufti sepatutnya menyampaikan fatwa ini kepada Pak Lah atau Najib atau kepada pihak mahkamah, bahawa Saiful wajib dibunuh. Inilah hukum Allah ke atasnya. Atau Tuan Mufti takut karier Tuan Mufti ‘terbunuh’ apabila berbuat demikian? Tuan Mufti sepatutnya lebih takutkan Allah dari takutkan manusia…Azab Allah di akhirat jauh lebih bersangatan berbanding terlepasnya jawatan mufti di dunia.