Surat Terbuka Kepada Pihak Pengurusan Masjid Seluruh Johor

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kepada para Nazir, Pengerusi, AJK dan Imam-imam Masjid serta para Khatib yang dikasihi lagi dihormati.

Berdasarkan maklumat yang terdapat di laman sesawang Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), kami mendapati khutbah yang telah disediakan oleh JAINJ dan diarahkan untuk dibacakan di seluruh negeri Johor pada hari Jumaat 10/01/2020 akan datang adalah menyentuh secara langsung tentang kami, dengan tajuk “Hindari fahaman Hizbut Tahrir”.

Kami telah pun membaca keseluruhan isi khutbah tersebut dan kami amat terkejut dengannya. Walaupun terdapat beberapa kebenaran dalam beberapa perkara yang diungkapkan mengenai Hizbut Tahrir, namun sebahagian besar yang lain mengandungi fitnah, pendustaan, kesalahan dan pemesongan fakta serta pengeliruan ke atas Hizbut Tahrir. Beberapa fitnah yang dilontarkan di dalamnya amat dahsyat sehingga kami tidak pernah menyangka sebuah jabatan agama boleh dan sanggup mengeluarkan fitnah seumpama itu! La haula wa la quwwata illa billah! Dalam surat terbuka ini, kami akan jelaskan secara ringkas yang mana benar dan yang mana salah, serta yang mana yang telah dikelirukan.

Melihat kepada teks khutbah tersebut, di awal lagi JAINJ telah membuat tuduhan melulu dengan menyatakan bahawa “pendekatan dan pemikiran yang dibawa oleh fahaman Hizbut Tahrir adalah bercanggah dan bertentangan dengan akidah Islam yang sebenar yang menjadi pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah”. Ini diikuti dengan kesalahan fakta/kajian yang dibuat oleh JAINJ apabila menyatakan bahawa Hizbut Tahrir mula tersebar di Malaysia sejak tahun 1990. Padahal hakikatnya Hizbut Tahrir mula masuk ke Malaysia sekitar tahun 1996.

Kesalahan seterusnya apabila JAINJ menyebut bahawa “Hizbut Tahrir ditubuhkan dengan matlamat untuk menegakkan sistem Khilafah”. Sedangkan sejak dahulu, dalam semua penerbitan dan penjelasan Hizbut Tahrir, Hizbut Tahrir menyebut dengan cukup jelas bahawa al-ghayah (objektif/matlamat) penubuhan Hizbut Tahrir adalah untuk isti’naf al-hayah al-Islamiyyah (mengembalikan semula kehidupan Islam). Ternyata JAINJ tidak teliti dan tidak berhati-hati dengan kajian yang dilakukan, walaupun pada perkara yang mudah.

Fitnah dilanjutkan dengan JAINJ menjelaskan bahawa Hizbut Tahrir berpandangan bahawa “mengangkat seorang Khalifah hanya satu-satunya cara yang membawa kepada pelaksanaan dakwah Islam”. Hizbut Tahrir tidak pernah mempunyai pandangan pelik seperti ini dan kami ingin katakan bahawa tuduhan ini selain ganjil bunyinya, memang suatu yang tidak berasas.

Antara butiran yang kami akui kebenarannya dalam khutbah tersebut ialah pandangan kami mengenai sistem demokrasi sebagai sistem kufur dan kegagalan melantik seorang Khalifah adalah suatu dosa besar. Sistem demokrasi memang jelas datangnya dari Kuffar Barat, dan ia merupakan sistem kufur yang haram diambil, diterapkan dan disebarluaskan oleh umat Islam. Sistem demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan manusia di mana manusia telah mengambil hak Allah sebagai pembuat hukum, sedangkan di dalam Islam, kedaulatan berada di tangan syarak, dan hak membuat hukum hanya ada pada Allah. Manakala kewajipan menegakkan Khilafah (Negara Islam) dan membaiah seorang Khalifah, dalil-dalilnya terlalu banyak dan amat jelas, dan kewajipan ini menjadi pegangan keseluruhan ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Hizbut Tahrir seterusnya dikatakan taksub untuk menegakkan Khilafah dan mendakwa negara Islam maju sebagai negara kufur. Kami ingin bertanya, apakah salah sekiranya kami taksub untuk menjalankan sebuah kewajipan yang diwajibkan oleh Allah dan RasulNya? Kami juga ingin tegaskan bahawa memang kami berpandangan yang sekarang ini tidak ada Negara Islam (Dar al-Islam – Khilafah) di dunia, tetapi yang ada ialah negeri umat Islam (Bilad al-Muslimin). Khilafah yang terakhir telah runtuh pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) di Turki. Sungguh aneh jika hal ini dikatakan bertentangan dengan Ahlu Sunnah Wal Jamaah kerana berapa ramai daripada kalangan ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang memberi definisi dan membincangkan mengenai Negara Islam yang mana definisi dan perbincangan mereka tidak jauh bezanya dengan apa yang diperkatakan oleh Hizbut Tahrir.

Seterusnya antara fakta yang kami akui kebenarannya tetapi telah diungkapkan oleh JAINJ dalam bentuk yang salah ialah mengenai kemaksuman para Nabi. Teks khutbah berbunyi “Hizbut Tahrir mempertikaikan kemaksuman Nabi dengan mengatakan bahawa maksumnya Nabi itu hanya selepas menjadi Nabi”. Ya benar kami berpandangan bahawa Nabi itu maksum hanya setelah diangkat menjadi Nabi. Namun hal ini langsung tidak bermakna yang kami “mempertikaikan” kemaksuman Nabi. JAINJ seharusnya jujur dalam mengungkapkan kata-kata. Jika JAINJ membuat kajian yang mendalam dan ikhlas dalam mencari kebenaran, nescaya JAINJ akan menemui bahawa pendapat kemaksuman Nabi itu hanya berlaku setelah diangkat menjadi Nabi, ini bukan sahaja pendapat Hizbut Tahrir, tetapi merupakan pendapat jumhur ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Fitnah, pendustaan dan pengeliruan ke atas Hizbut Tahrir susul-menyusul dalam teks khutbah seterusnya apabila JAINJ menuduh Hizbut Tahrir berpandangan seperti berikut:

1. Haram meyakini bahawa azab kubur pasti berlaku. Azab kubur hanya boleh dipercayai sahaja tetapi tidak dengan yakin berlakunya kerana ia hanya bersumberkan hadis Ahad; (Kami ingin tegaskan bahawa Hizbut Tahrir memang ada membincangkan mengenai kedudukan hadis Ahad, tetapi tidak pernah membincangkan mengenai kedudukan azab kubur).
2. Mempercayai bahawa qadha’ dan qadar diambil dari falsafah Yunani dan perbuatan manusia tidak ada hubungan dengan qadha’ dan qadar Allah; (Ternyata JAINJ tidak memahami dan penuh kekeliruan mengenai perbincangan qadha’ dan qadar yang dibawa oleh Hizbut Tahrir, lalu meletakkan satu konotasi yang negatif terhadap Hizbut Tahrir dalam hal ini);
3. Hidayah dan dhalalah bukan dari Allah, tetapi dari manusia;
4. Mengingkari ta’wil ayat-ayat Al-Quran yang bersifat mutasyabihat;
5. Menyatakan siapa sahaja boleh berijtihad;
6. Kaum lelaki dan wanita bebas berjabat tangan dan harus mencium wanita bukan mahram tanpa maksud berzina.

Kami tidak berniat untuk menjawab satu per satu akan tuduhan di atas kerana ia sudah pasti akan memakan banyak masa dan ruang. Jadi, cukuplah sekadar kami menyatakan bahawa kesemua tuduhan yang dilontarkan di atas sarat dengan fitnah, pendustaan dan pengeliruan ke atas Hizbut Tahrir, yang tidak seharusnya datang dari badan yang menjaga agama Islam!

Apa yang menyedihkan, JAINJ tidak hanya berhenti di situ, isi khutbah dilanjutkan lagi dengan tuduhan yang bertujuan untuk menakutkan orang ramai terhadap Hizbut Tahrir. JAINJ menyatakan bahawa Hizbut Tahrir boleh menjadi ancaman kepada perpaduan umat Islam, keamanan dan keselamatan negara. Subhanallah! Bagaimana mungkin sebuah jabatan agama yang seharusnya terdiri daripada alim-ulama, orang-orang yang soleh lagi bertakwa dan profesional, boleh membuat tuduhan yang cukup liar, tidak masuk akal dan bersifat menakutkan seperti ini!?

Sejak bila negara ini tidak aman, huru-hara dan kucar-kacir hasil kewujudan atau aktiviti Hizbut Tahrir? Jika pihak polis sendiri pun tidak pernah menuduh Hizbut Tahrir mengancam keamanan dan keselamatan negara, bagaimana mungkin JAINJ boleh membuat tuduhan sedemikian rupa? Sungguh dahsyat tohmahan yang dilontarkan sehingga di luar batas kewarasan. Kami yakin jika kami meminta bukti daripada JAINJ akan hal ini, sehingga kiamat mereka tidak akan dapat mendatangkan bukti!

Tidak cukup dengan itu, JAINJ meneruskan lagi fitnah dan pendustaannya dengan menyatakan bahawa Hizbut Tahrir berpandangan bahawa seorang pemimpin harus diperangi jika tidak mengamalkan hukum Islam – satu lagi tohmahan yang tidak kurang dahsyat daripada tohmahan di atas. Tuduhan yang tidak berpijak di bumi nyata ini amat jelas berniat jahat ke atas Hizbut Tahrir. Pemimpin manakah di Johor, di Malaysia atau di seluruh dunia, yang telah diperangi atau dibunuh oleh Hizbut Tahrir kerana mereka tidak menerapkan hukum Islam!? Subhanallah wa la haula wa la quwwata illa billah!!!

Setelah segala fitnah, pendustaan dan pengeliruan ke atas Hizbut Tahrir disebut satu per satu di dalam teks khutbah tersebut, kemudian dijelaskan bahawa atas dasar itulah Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah memutuskan bahawa ajaran atau fahaman Hizbut Tahrir diharamkan dan dilarang di negeri Johor. Kami dengan ini ingin bertanya dengan penuh kehairanan, bagaimana mungkin Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor boleh mengharamkan fahaman atau ajaran Hizbut Tahrir berdasarkan fakta yang direka-reka?

Kami juga kehairanan kerana Jawatankuasa Fatwa yang seharusnya terdiri daripada para ulama umat ini, tidak pernah memanggil kami untuk bertanya sendiri, berbincang atau bermuzakarah mengenai fahaman dan ajaran yang kami pegang. Adakah begini standard dan tatacara Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan sesuatu fatwa!?

Kami yakin bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor amat arif mengenai kewajipan bertabayyun di dalam Islam, namun kami hairan, sedih dan kecewa kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor tidak pernah melakukan tabayyun sedikit pun sebelum memutuskan untuk mengharamkan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir.

Wahai para Khatib yang dikasihi lagi dihormati!

Kalian menyeru di dalam khutbah agar kita semua meningkatkan ketakwaan kepada Allah, melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Sungguh seruan ini adalah seruan yang mulia. Maka kami mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan kalian bahawa antara perintah Allah ialah untuk kita semua mentabayyun berita yang kita terima agar kita tidak menimpakan musibah kepada orang lain atas kejahilan kita. Maka bertabayyunlah wahai para Khatib yang dimuliakan, sebelum kalian menyampaikan sesuatu berita/khutbah. Bertabayyunlah terlebih dahulu dengan Hizbut Tahrir akan kebenaran khutbah yang ingin kalian sampaikan kerana khutbah tersebut adalah mengenai Hizbut Tahrir. Kami membuka seluas-luas pintu untuk kalian datang bertabayyun dengan kami dan Insya Allah kalian akan menemui kebenarannya.

Ingatlah bahawa antara perintah Allah kepada kita adalah untuk kita berkata benar, dan haram untuk kita melakukan fitnah atau menjadi ejen penyampai fitnah. Maka marilah kita sama-sama mentaati perintah dan larangan Allah dalam hal ini, sebagaimana yang kalian serukan dalam khutbah kalian. Janganlah kalian jadikan mimbar sebagai pentas penyebaran fitnah dan jangan jadikan rumah Allah sebagai tempat untuk menyebarkan pendustaan. Janganlah kalian cemari rumah Allah dengan perkara-perkara yang dilarang dan dimurkaiNya.
Sesungguhnya kebanyakan daripada kalian adalah orang-orang yang berkelulusan dalam bidang agama dan menjadi rujukan kepada umat. Maka jagalah maruah kalian di sisi manusia dan yang lebih penting, jagalah maruah kalian di sisi Allah.

Cari dan raihlah redha Allah dengan setiap perbuatan kalian dan jangan sekali-kali kalian mencari redha manusia. Janganlah kalian takut dengan pihak atasan kalian, kerana ada yang lebih atas daripada pihak atasan kalian yang kita semua wajib takut dan tunduk kepadaNya sahaja. Janganlah kalian mencari redha di sisi mereka sehingga kalian membelakangi redha Allah. Ingatlah bahawa, walaupun mereka boleh memberi segala pangkat, darjat dan kenikmatan kepada kalian di dunia ini, namun mereka akan berlepas diri dan sama sekali tidak akan dapat menyelamatkan kalian daripada azab Allah di akhirat kelak. Kami mengingatkan kalian dengan firmanNya:

وَلَوْ يَرَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ إِذْ يَرَوْنَ ٱلْعَذَابَ أَنَّ ٱلْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا وَأَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعَذَابِ إِذْ تَبَرَّأَ ٱلَّذِينَ ٱتُّبِعُوا۟ مِنَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ وَرَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ ٱلْأَسْبَابُ وَقَالَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا۟ مِنَّا ۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ ٱللَّهُ أَعْمَٰلَهُمْ حَسَرَٰتٍ عَلَيْهِمْ ۖ وَمَا هُم بِخَٰرِجِينَ مِنَ ٱلنَّارِ

“…Dan seandainya orang-orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat) bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat seksaNya (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu) (iaitu) ketika orang-orang yang diikuti (ketua-ketua) itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat azab dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali, dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut, ‘Seandainya kami dapat kembali (ke dunia) pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami (pada hari ini)’. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka menjadi penyesalan bagi mereka, dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari (azab) neraka” [TMQ al-Baqarah (2):165-167].

FirmanNya yang lain:

وَبَرَزُوا۟ لِلَّهِ جَمِيعًا فَقَالَ ٱلضُّعَفَٰٓؤُا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوٓا۟ إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا مِنْ عَذَابِ ٱللَّهِ مِن شَىْءٍ ۚ قَالُوا۟ لَوْ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ لَهَدَيْنَٰكُمْ ۖ سَوَآءٌ عَلَيْنَآ أَجَزِعْنَآ أَمْ صَبَرْنَا مَا لَنَا مِن مَّحِيصٍ

“Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong (yang menjadi ketuanya), ‘Sesungguhnya kami dahulu (di dunia) adalah pengikutpengikutmu, maka dapatkah kamu menghindar daripada kami sedikit dari azab Allah?’ Mereka (ketua) menjawab, ‘Kalaulah Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja bagi kita, sama ada kita mengeluh atau kita bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri (dari azab Allah)” [TMQ Ibrahim (14):21].

Wahai para Nazir, Pengerusi, AJK dan Imam-imam Masjid serta para Khatib yang dimuliakan!

Sesungguhnya atas dasar kewajipan memberikan nasihat dan memuhasabah dan atas dasar kasih sayang kami kepada kalian sebagai saudara-saudara kami, maka kami menghantar surat terbuka ini sebagai peringatan buat kalian. Semoga Allah menunjuk dan merahmati kalian. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah dan Dia memberikan kepada sesiapa yang Dia mahu. Sesungguhnya peringatan itu amat bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. Sebelum menutup warkah peringatan ini, sekali lagi kami serukan agar kalian tidak membacakan khutbah yang tersebut di atas agar kalian tidak mencemari rumah Allah dengan perkara yang dimurkaiNya. Kami yakin bahawa ada dalam kalangan kalian yang ikhlas dan takutkan Allah, yang tidak akan membaca khutbah tersebut. Namun, jika ada yang tetap membacanya setelah menerima nasihat dan peringatan ini, maka kami serahkan urusan kalian kepada Allah, dan kami mendoakan agar Allah mengampuni kalian.

HIZBUT TAHRIR MALAYSIA

Download PDF