Syabab HTM laksana tuntutan cerap hilal di seluruh negara

Demi memenuhi tuntutan dalam penentuan tibanya bulan Ramadhan sekali gus bermulanya kewajipan berpuasa, para anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengambil inisiatif bersama-sama sebahagian umat Islam untuk mencerap anak bulan (rukyatul hilal) Ramadhan di beberapa lokasi di seluruh negara, petang semalam.

Bagaimana pun, berdasarkan laporan anak bulan tidak kelihatan di semua lokasi.

Selaras dengan hukum syarak yang tidak mensyaratkan matla’ (tempat cerapan) hanya di tempat atau negara-negara tertentu sahaja, maka kita menunggu keputusan rukyah dari tempat atau negara-negara lain sebelum boleh memulakan puasa (jika hilal kelihatan) atau menggenapkan Sya’ban (jika hilal tidak kelihatan).

Sebelum cerapan dilakukan, HTM mengadakan FB live bermula sekitar jam 6 petang bagi memberikan kesedaran serta kefahaman kepada umat Islam berhubung kedudukan syarak dalam penentuan awal Ramadhan, dan kaedah praktis untuk mencerap hilal di lapangan.