Syabab HTM Perak Mengadakan Rumah Terbuka
IPOH 11 Oktober – Syabab (pemuda) Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) cawangan Perak telah mengadakan majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri 1430H bertempat di No.1 Pesiaran Jaya 5, Taman Kledang Jaya. Majlis yang bermula pada jam 12 tengahari itu dibuka dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Saudara Hafiz dan terjemahan oleh Saudara Shahir. Majlis kemudian disusuli dengan ucapan aluan oleh Mas’ul HTM Perak, Ust Abu Aiman. Dalam ucapannya beliau menekankan konsep rumah terbuka yang kini digugat oleh anasir luar seperti liberalisasi di mana Aidilfitri kini telah dicampur adukkan dengan perayaan kaum bukan Islam. Walhal Islam tidak boleh dikompromikan dengan kekufuran dalam hal yang berkaitan aqidah dan ibadah.
Majlis juga turut mengundang Presiden HTM, Ust Abdul Hakim Othman sebagai tetamu khas. Beliau menyampaikan sepatah dua kata dengan memperkenalkan Hizbut Tahrir dan perjuangannya kepada hadirin. Beliau juga menekankan kewajipan setiap individu Muslim dan gerakan Islam untuk sama-sama berusaha dengan Hizbut Tahrir bagi mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan semula Daulah Khilafah. Sebelum menikmati juadah, majlis diakhiri dengan bacaan doa dari Ust Adnan. Rumah terbuka ini turut dihadiri oleh beberapa pegawai kerajaan, pemimpin NGO dan parti politik serta tokoh masyarakat. Kehadiran penduduk setempat juga memeriahkan majlis tersebut yang berakhir pada jam 4 petang, sejam lewat dari jadual kerana hadirin turut menyaksikan pameran Khilafah dan juga tayangan video yang disediakan oleh pihak penganjur.