Syria: Ujian Kesabaran Bagi Kita

syria-warSungguh mengerikan di mana Bashar Al-Assad terus-menerus membinasa dan membunuh rakyatnya, iaitu rakyat yang berada di bawah jagaannya sendiri. Sesuatu yang cukup paradoks buat Bashar Al-Assad untuk berada dalam kedudukan sedemikian daripada melindungi dan mengawal rakyatnya daripada sebarang ancaman. Sebaliknya dialah yang membawa bahaya yang nyata terhadap seluruh rakyatnya sendiri. Dia membedil habis-habisan apa sahaja yang mengancam laluannya tanpa mengira sama ada ia adalah seorang wanita yang baru menjadi balu, ataupun bayi yang belum cukup bulan, mahupun seorang lelaki tua. Perbuatannya yang tidak berhati perut ini benar-benar telah menguji keimanan dan keberanian rakyat Syria. Baik lelaki mahupun wanita, mereka sama-sama memilih jalan kematian daripada menyerahkan diri kepada si zalim yang tidak henti-henti melakukan kekejaman. Kematian yang berlaku ini, InsyaAllah, akan dianggap sebagai kematian yang mulia di sisi Allah SWT. Di sebalik serangan besar-besaran yang dilakukan oleh tentera Syria yang memusnahkan rumah-rumah, sekolah-sekolah dan hospital-hospital, rakyat masih lagi bertahan dan menaruh harapan agar suara mereka didengari.

Melihat jauh ke dalam lubuk hati para penunjuk perasaan yang tidak pernah mengenal erti penat lelah ini, kita akan mendapati satu sifat unik yang sungguh memukau bagi para pemerhati. Apakah yang menyebabkan mereka begitu tekad dan fokus, walaupun mengetahui bahawa mereka tidak mungkin akan hidup untuk melihat terbitnya matahari di keesokan harinya? Pemikiran dan hati mereka diisi dengan sikap yang hampir mustahil difahami oleh orang-orang kafir, namun kaum Muslimin tetap menggenggam erat sepenuhnya sambil memberi  inspirasi kepada yang lain agar meneruskan perjuangan untuk melakukan perubahan sehingga berjaya. Sifat yang diberkati yang dimaksudkan adalah sikap sabar dalam menghadapi kesusahan.

syrian-refugeesSabar sering kali dikelirukan pengertiannya sebagai mendiamkan diri dalam menyaksikan penindasan dan kemungkaran yang berlaku di dalam masyarakat,  dengan menjauhkan diri kita daripada isu-isu utama dan menyibukkan diri kita terhadap aspek ritual kerohanian Islam seperti bertasbih dan berdoa semata-mata tanpa mempedulikan keadaan urusan umat. Padahal seluruh umat termasuklah diri kita sendiri sedang berhadapan dengan ketidakadilan dan kesusahan. Sikap berdiam diri terhadap penderitaan seperti inilah yang telah menyumbang kepada kemerosotan umat. Tanggapan yang salah dan perasaan takut terhadap tekanan pemerintah menjadi punca kepada masalah utama ini.

Definisi sabar yang sebenar adalah bertentangan dengan sikap mendiamkan diri dalam menerima ketidakadilan atau mengasingkan diri terhadap kemungkaran dalam masyarakat. Sabar adalah menyatakan perkataan yang haq (benar) di hadapan pemerintah yang zalim. Sabar adalah berdepan terhadap tragedi yang menimpa ummah tanpa rasa takut terhadap akibatnya. Sabar adalah berkaitan dengan melakukan perubahan yang sebenar dalam usaha untuk mencapai kebangkitan yang sebenar buat umat yang berharga ini. Orang-orang yang beriman amat memahami hukum-hakam Allah SWT sedalam-dalamnya sehingga mereka sanggup untuk menanggung sebarang kemungkinan demi menuju kemenangan,  termasuklah hukuman penjara yang penuh penyeksaan, kehilangan harta benda, dan pengorbanan yang paling agung iaitu kehilangan nyawa.

Firman Allah SWT:

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda,  (kehilangan) jiwa serta (kekurangan hasil) buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.  (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa oleh musibah, mereka berkata: ‘Innalillahi wainna ilaihi raji’un’ (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali). Mereka itulah yang memperoleh keampunan dan rahmat daripada TuhanNya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [TMQ Al-Baqarah (2): 155-157]

Setelah membaca ayat-ayat Allah SWT yang penuh dengan inspirasi ini dalam doa-doa mereka di malam hari, ia memberikan motivasi yang cukup hebat  dalam mendorong kaum Muslimin untuk berdiri dalam menegakkan kebenaran  terhadap kekejaman diktator dan rejimnya yang dahsyat. Pemahaman yang mendalam terhadap hakikat qada’ dan qadar telah membuatkan orang yang benar-benar beriman untuk bertindak dengan penuh keberanian dan tekanan tanpa sebarang rasa bimbang terhadap kehidupan mereka yang sementara ini, kerana bagi pejuang-pejuang kebenaran yang diberkati ini, mereka dijanjikan kehidupan yang kekal abadi. Ia suatu kehidupan yang sangat agung yang telah dijanjikan oleh Sang Pencipta sendiri ke atas mereka. Kita menjadikan orang-orang beriman seperti ini sebagai contoh teladan bagi kita dalam menzahirkan kekuatan kesabaran dan keimanan mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Ia adalah suatu hukuman yang Allah turunkan terhadap sesiapa yang Dia kehendaki. Allah telah menjadikannya sebagai rahmat buat orang-orang yang beriman. Tidak ada seorang hamba pun yang apabila ia mendapati dirinya berada di tengah-tengah wabak/bencana namun ia tetap tinggal di tanah itu dengan kesabaran (sambil) mengharap (ganjaran Allah SWT) dan yakin bahawa tiada apa pun yang boleh memudaratkannya kecuali apa yang telah ditetapkan oleh Allah, maka hamba ini akan diberikan ganjaran sepertimana orang yang (mati) syahid. “ (HR Bukhari)

Apakah lagi kemuliaan yang lebih baik untuk seseorang itu selain daripada mati sebagai syuhada’ dan ditinggikan darjatnya setaraf pahlawan agung Hamzah (ra) pada hari kiamat nanti untuk disaksikan oleh semua makhluk?

Teguhkanlah pendirian kalian wahai saudara dan saudari sekalian. Dengan izin Allah, walaupun diuji dengan malapetaka dahsyat yang diturunkan ke atas kalian, kalian pasti akan memasuki syurga Allah dalam keadaan suci bersih dan murni sebagaimana hari kalian dilahirkan dahulu.

Wahai umat Syria, tetap yakinlah. Syurga itu amat dekat dengan kalian dan tumpahnya darahmu itu tidak akan menjadi sia-sia. Nabi SAW pernah meluahkan kebaikan dan keberkatan para penduduk Syam dengan berdoa, “Ya Allah, kurniakanlah rahmatMu ke atas bumi Syam kami. Ya Allah, kurniakanlah rahmatMu ke atas bumi Yaman kami.” (HR Bukhari). Bawalah khabar gembira ini sehingga ke liang lahadmu. Insyaallah, kesedihan yang dihadapi umat ini akan segera berakhir dan cahaya kegemilangan Islam akan kembali menerangi langit kita sepertimana yang telah dijanjikan Allah Pencipta sekalian alam. Allah SWT telah menenangkan hati orang-orang yang beriman dengan ayat:

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap orang yang berkhianat lagi kufur” [TMQ Al-Hajj (22): 38]

Dipetik dan diterjemah daripada www.khilafah.com