Takrif Kemiskinan Dalam Islam Konsisten dan Relevan Sepanjang Zaman

Kos sara hidup dan bebanan kewangan yang semakin meningkat telah memberikan tekanan kepada rakyat Malaysia. Walaupun berbagai bantuan seperti BR1M, bantuan persekolahan, bantuan pendidikan tinggi dan sebagainya diberikan oleh kerajaan, namun ia dilihat tidak mampu menyelesaikan permasalahan ini. Oleh itu, antara usaha kerajaan ialah dengan mengenal pasti golongan sasar iaitu mereka yang miskin agar bantuan diberikan dapat terfokus. Malangnya, definisi kemiskinan yang digunakan oleh kerajaan selama ini berdasarkan kepada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2014, di mana keluarga yang miskin di bandar adalah mereka yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM940 di Semenanjung, dan kurang daripada RM1040 di Sarawak dan kurang daripada RM1160 di Sabah tidak lagi relevan. [Sumber: Unit Perancangan Ekonomi]

Sememangnya PGK ini dilihat terlalu sempit dalam mendefinisikan kemiskinan. Kita ambil contoh di Selangor, jika berdasarkan PGK kerajaan pusat, kadar kemiskinan pada 2014 adalah hanya 0.4%, namun setelah kerajaan negeri menaikkan PGK kepada RM1500 kerana mereka melihat PGK kerajaan pusat adalah tidak munasabah, mereka mendapati sebanyak 30% rakyat negeri Selangor berada di bawah garis kemiskinan. Justeru itu, demi memenangi hati rakyat dalam PRU14 dan membantu mereka yang miskin berhadapan kos sara hidup yang tinggi, Menteri Kewangan Kedua, Dato Seri Johari Abdul Ghani menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal mengkaji semula ciri miskin bandar kerana definisi yang lama tidak lagi sesuai.

Susulan itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Mohd Uzir Mohidin mengatakan akan mengguna pakai takrif kemiskinan yang baru bermula pada tahun ini berdasarkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) (BH 21/12/2017). Indeks baru ini dikatakan dapat mengenal pasti golongan miskin yang diukur dalam pelbagai aspek dan membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka. Seperti yang dijangkakan, kerajaan Malaysia selalu merujuk kepada Barat dan bukannya merujuk kepada Islam dalam mencari penyelesaian dalam kehidupan.

Multidimensional Poverty Index (MPI)

Multidimensional Poverty Index atau MPI ini direka oleh Oxford Poverty and Human Developement Initiative (OPHI) dengan kerjasama UN Development Programme pada tahun 2010. Ia direka dengan menggunakan pelbagai faktor yang berbeza untuk menentukan tahap kemiskinan berdasarkan kepada faktor pendapatan semata-mata. Antara aspek yang digunakan ialah kesihatan dengan menyandarkan kadar kematian anak dan nutrisi pemakanan, pendidikan yang dikira berdasarkan jumlah tahun persekolahan anak-anak dan bilangan ketidakhadiran anak ke sekolah dan juga taraf hidup, termasuklah kemudahan elektrik, sanitasi, air bersih, kebersihan lantai, dapur memasak dan aset kekayaan. Keseluruhan dimensi atau indikator ini akan dikira berdasarkan pemberat relatif bagi setiap keluarga lalu menghasilkan sebuah indeks. Berdasarkan indeks inilah kerajaan dapat mengenal pasti sama ada mereka termasuk golongan miskin atau tidak. Namun pemberat relatif ini berbeza mengikut kemahuan pengkaji atau negara yang seterusnya akan menghasilkan indeks yang berbeza-beza.

Kritikan ke atas MPI

Ramai pakar ekonomi seperti Martin Ravallion Pengarah World Bank’s research department, the Development Research Group megnkiritik kaedah MPI dan mempersoalkan pemilihan indikator-indikator yang digunakan. Sebagai contoh apakah mempunyai sebuah radio aatau mempunyai lantai yang bersih menandakan keluarga tersebut tidak miskin? MPI juga tidak melihat situasi ketika berlakunya krisis ekonomi, pengangguran dan bencana alam.  Selain itu, pemberat relatif juga adalah subjektif dan berbeza-beza bergantung kepada pembuat polisi. Sehingga kini, MPI masih lagi dipersoalkan oleh para pakar ekonomi.

Mencampuradukkan Keperluan Individu dan Keperluan Masyarakat

Kapitalisme merupakan sebuah sistem ekonomi yang berasal daripada ideologi sekularisme di mana dalam hal ehwal ekonomi tidak boleh berasaskan kepada agama. Hal ehwal ekonomi mesti diuruskan berdasarkan akal manusia. Kapitalisme merupakan sebuah sistem ekonomi yang menekankan aspek individu. Cara pengeluaran dalam menggunakan wang dan aset-aset lain ditentukan oleh individu. Ekonomi ini berjalan melalui akitiviti individu-individu seterusnya pendapatan yang dijana oleh individu-individu ini berasal daripada harta dan asset peribadi mereka. Manakala peranan negara adalah tidak mengganggu kebebasan ini dan hanya bertindak apabila ada pihak mengganggu kebebasan orang lain. Akibatnya, pihak swasta menguasai hampir keseluruhan sumber ekonomi dan perkhidmatan negara termasuklah garam galian, gas asli, minyak, kayu balak, bekalan air bersih, bekalan elektrik, pendidikan mahupun kesihatan. Walaupun ada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menguruskan perkara ini seperti Petronas, TNB, Syarikat-syarikat air dan sebagainya, namun swasta tetaplah swasta, di mana keuntungan syarikat diambil kira dan rakyat perlu membayar kos-kosnya.

Oleh yang demikian, dalam sistem ekonomi kapitalisme semua keperluan hidup itu adalah tanggungjawab individu dan bukan Negara, sama ada keperluan asas individu seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal atau kemudahan dan kepentingan awam seperti pendidikan, kesihatan, bekalan air bersih, bekalan elektrik dan jaringan komunikasi, jalan raya, pengangkutan awam dan telekomunikasi. Akibatnya, setiap individu atau sesebuah keluarga perlu menanggung semua kos kedua-dua keperluan ini. Apabila mereka dilihat gagal memenuhi kesemua kos-kos ini barulah mereka terkategori miskin. Oleh itu, baik definisi kemisikinan mengikut PGK ataupun MPI kedua-duanya telah mencampuradukkan dua keperluan yang berbeza ini yang merupakan kesalahan dalam mentakrifkan kemiskinan.

Perbezaan Keperluan Individu dan Keperluan Masyarakat Menurut Islam

Islam telah membezakan di antara keperluan asas bagi seseorang individu (basic needs) dan kepentingan/kemudahan awam (public utilities) bagi masyarakat. Syariah telah menetapkan bahawa keperluan asas individu mencakupi tiga perkara: makanan, pakaian dan tinggal.  Allah SWT berfirman:

“Kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf” (TMQ al-Baqarah [2): 233).

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di tempat tinggal kalian, sesuai dengan kemampuan kalian” (TMQ ath-Thalaq [65]: 6).

Ibnu Majah meriwayatkan hadis dari Abi al-Ahwash ra. yang mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda:

“Ingatlah, bahawa hak mereka atas kalian adalah agar kalian berbuat baik kepada mereka dalam (memberikan) pakaian dan makanan” (HR Ibn Majah).

Berdasarkan dalil di atas adalah jelas tanggungjawab seorang ketua keluarga iaitu suami dan ayah ialah memberi nafkah kepada keluarga dalam bentuk makanan, pakaian dan tempat tinggal. Ini merupakan keperluan asas bagi setiap keluarga.

Sementara keperluan asas bagi masyarakat ialah perkara-perkara yang mesti dimiliki oleh masyarakat secara bersama atau dikenali sebagai kemudahan awam (public utilities). Jika kemudahan awam tersebut hanya dimiliki seseorang atau diswastakan, maka ia pasti akan menimbulkan persengketaan di kalangan masyarakat. Rasulullah SAW telah menjelaskan hal ehwal kemudahan awam ini dalam sebuah hadis di mana lbnu Abbas menuturkan bahawa Nabi saw. pernah bersabda:

“Kaum Muslim bersekutu (memiliki hak yang sama) dalam tiga hal:  air, padang dan api.” (HR Abu Dawud).

Anas meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas tersebut dengan menambahkan: “wa tsamanuhu haram (dan harganya haram)”.

Hadis di atas  menunjukkan bahawa manusia memiliki tiga perkara ini iaitu air, padang dan api secara bersama dan ada hadis dengan konotasi yang sama mengatakan harganya adalah haram, dengan maksud tidak boleh mendapatkan keuntungan daripadanya. Hadis ini mengandungi ‘illat, di mana ketiga-tiganya memiliki sifat yang sama iaitu menunjukkan kemudahan/kepentingan awam, yang mana seluruh masyarakat sangat memerlukannya.

Oleh yang demikian, apa sahaja yang menjadi kemudahan awam sama ada air, api dan padang ataupun  yang lain yang tidak disebutkan dalam hadis tersebut seperti jalan raya, telekomunikasi, tenaga elektrik dan sebagainya  adalah merupakan kemudahan awam dan menjadi hak milik umum. Dengan kata lain kemudahan awam adalah menjadi hak milik bersama seluruh masyarakat.  [Nizhamul Iqtishodi fil Islam]

Berkenaan dengan perawatan dan kesihatan, hadis daripada Muslim daripada Jabir, dia berkata:

“Rasulullah saw menghantar seorang tabib (doktor) kepada Ubay bin Ka’ab. Dia (doktor itu) telah memotong saluran darah dan memanaskan hujungnya (cauterization).”

Manakala Al-Hakim meriwayatkan dalam Al-Mustadrak daripada Zaid bin Askam daripada bapanya, dia berkata:

“Di masa Umar bin Khattab saya menderita sakit yang parah. Lalu Umar memanggilkan tabib (doctor) untukku. Tabib itu merawatku sehingga aku terpaksa menghisap biji-biji kurma kerana terlalu panas”.

Dalam kedua-dua hadis di atas menunjukkan bahawa apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw menghantar seorang doktor kepada Ubay, dan Umar r.a. yang memanggil seorang doktor untuk Aslam yang menunjukkan bahawa ia adalah tanggungjawab pemerintah. Dengan ini membuktikan bahawa persoalan perawatan dan kesihatan adalah tanggungjawab dan kewajiban pemerintah, dan masyarakat perlu mendapatkannya secara percuma.

Pendidikan juga merupakan keperluan asas bagi masyarakat. Buktinya Rasulullah saw pernah membuat penebusan ke atas para tawanan perang yang kafir bahawa mereka hendaklah mengajar sepuluh anak-anak orang Islam.  Tebusan adalah sebahagian daripada harta rampasan perang (ghanimah) yang merupakan hak milik kaum Muslimin. Begitu juga ijmak para sahabat bahawa gaji para pengajar adalah menjadi tanggunggan bagi Baitul Mal. [Muqadimmah al-Dustur, Jilid II]

Dengan demikian, maka kemudahan awam, kesihatan dan pendidikan merupakan keperluan masyarakat dan menjadi kewajiban pemerintah untuk menyediakannya bagi masyarakat. Jika sebahagian daripada masyarakat tidak dapat memperoleh atau mengaksesnya, maka ia merupakan tanggungjawab pemerintah untuk memberikannya. Hal ini kerana pemerintah bertanggungjawab terhadap rakyatnya.

“Seorang Imam (Pemerintah) laksana pengembala, dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap gembalaannya(rakyatnya).” [HR Bukhari].

Takrif Kemiskinan Menurut Islam

Islam memandang masalah kemiskinan manusia dengan standard yang sama secara objektif dan bukan relatif, baik di mana-mana negara mahu pun pada mana-mana zaman. Menurut Islam, kemiskinan adalah keadaan di mana keperluan asas seseorang tidak dipenuhi seluruhnya. Syariah telah menetapkan keperluan asas sebagai makanan, pakaian dan tempat tinggal. [Syeikh Taqiyuddin, Nizhamul Iqtishadi fil Islam]. Jadi, mana-mana individu atau isi rumah yang tidak mempunyai makanan atau pakaian yang cukup serta tidak mempunyai rumah untuk didiami adalah miskin menurut Islam. Manakala pendidikan, kesihatan dan kemudahan atau kepentingan awam merupakan kewajiban dan tanggungjawab negara ke atas masyarakat. Takrif kemiskinan ini lebih objektif dan tetap, tidak berubah-ubah berbanding dalam sistem ekonomi kapitalisme yang sentiasa berubah-ubah seperti PGK yang tidak sama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Sedangkan bagi takrif kemiskinan menurut MPI, pemberatnya terlalu relatif di kalangan pembuat polisi dan juga boleh berubah-ubah.

Kesimpulan

Sistem kapitalisme masih gagal menangani masalah kemiskinan kerana ia gagal melihat masalah ini secara objektif dan konsisten. Ini kerana mereka telah mencampur adukkan di antara tanggungjawab setiap keluarga dengan tanggungjawab negara. Setiap keluarga terpaksa membayar kos yang sepatutnya ditanggung oleh negara. Sementara itu, negara terus menekan rakyat dengan pelbagai cukai untuk memperoleh pendapatan. Berbeza dengan Islam yang memandang masalah kemiskinan dengan definisi yang tetap dan objektif sehingga mampu menangani masalah ini melalui mekanisme yang telah diwahyukan. Masalah kemiskinan ini bertambah rumit kerana sistem ekonomi pada hari ini tidak berlandaskan kepada hukum syarak. Bukti-bukti ini telah menunjukkan bahawa akal manusia yang lemah tidak mampu menyelesaikan permasalahan ekonomi, dan manusia semestinya perlu kembali kepada Allah SWT dan mengikuti Sunnah RasulNya dalam berekonomi. Wallahualam.

Sumber rujukan:

  1. Nizhamul Iqtishodi fil Islam
  2. Muqadimmah ad-Dustur, Jilid II
  3. http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2014/11/24/pendapatan-rm1500-garis-kemiskinan-selangor/
  4. https://oxfamblogs.org/fp2p/measuring-what-matters-the-latest-multidimensional-poverty-index-is-launched-today/
  5. https://oxfamblogs.org/fp2p/guest-blog-world-bank-research-director-critiques-the-new-un-poverty-index/
  6. http://www.ukm.my/fep/perkem/pdf/perkemVII/PKEM2012_1D1.pdf

https://www.thebalance.com/capitalism-characteristics-examples-pros-cons-3305588