Tauladan daripada Keberanian Korea Utara
Mengapa Malaysia mesti mengecam tindakan rejim Korea Utara padahal ianya adalah hak Pyongyang sebagai sebuah negara merdeka? Mengapa Anifah Aman tidak mengecam negara-negara barat yang lain tatkala mereka melakukan hal yang sama? Mengapa Anifah Aman tidak mengecam Amerika Syarikat (AS) tatkala tentera-tentera negara Uncle Sam itu membunuh umat Islam di Afganistan secara sesuka hati? Seolah-seolah ada sikap berat sebelah (double standard) yang ditunjukkan daripada kenyataannya itu.
Perang Korea pada awal tahun 1950an yang telah menyaksikan penglibatan AS yang turut memerangi negara blok Komunis. Seramai 3 juta orang penduduk semenanjung Korea telah terkorban semasa perang tersebut. Selepas peperangan tamat, AS menempatkan peluru berpandu dan pangkalan tentera mereka di Korea Selatan manakala Korea Utara pula telah membina sistem pertahanan mereka sendiri dan mampu meledakkan bom atom pertama beberapa tahun lepas serta mempunyai seramai 1 juta anggota tentera terlatih untuk melindungi negara kecil mereka. Jadi, punca ketegangan adalah AS sendiri kerana tidak ada sebab yang nyata mengapa ia perlu menempatkan peluru berpandunya di Korea Selatan. Lalu dibinalah pandangan umum tentang ancaman Komunis ke atas Korea Selatan.
Sebagai sebuah Negara yang merdeka, Korea Utara berhak memperlihatkan kekuatannya di dalam rangka untuk mempertahankan diri daripada ancaman negara luar terutama musuh ketatnya, Amerika. Peranan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang sesuatu pencerobohan oleh kuasa besar yang lain bukanlah sesuatu yang boleh dipercayai jika rekod lalu dijadikan sandaran. Lalu, sesebuah negara tidak boleh bergantung kepada undang-undang antarabangsa dan PBB untuk menyelamatkan diri mereka daripada diperangi oleh negara kuasa besar lain.
Lihatlah apa yang telah berlaku di Irak dan Afghanistan. Kedua-dua negara bergolak tersebut telah dicerobohi oleh AS walaupun sebelum pencerobohan itu, AS mengetahui bahawa sebenarnya Irak sudah tidak mempunyi apa-apa senjata pemusnah besar-besaran, dan oleh itu, ia mudah diserang dan dijajah. Sekiranya Irak memang benar mempunyai senjata tersebut, maka sudah tentu tentera Amerika akan diperangi oleh tentera Irak dengan menggunakan senjata pemusnah besar-besaran semasa pencerobohan pada tahun 2003. Begitu juga halnya dengan Afghanistan yang tidak mempunyai apa-apa senjata pemusnah besar-besaran. Jadi sudah tentu Korea Utara tidak mahu menerima nasib yang sama seperti kedua-dua Irak dan Afghanistan, dan disebab itulah mereka mahu membangunkan senjata pemusnah besar-besaran untuk melindungi negara mereka daripada dicerobohi dan dijajah oleh kuasa besar. Tetapi pada masa yang sama, Korea Utara tidak pernah menceroboh dan menjajah negara lain, walaupun pernah terjadi serangan ke atas Korea Selatan beberapa bulan yang lepas tetapi serangan tersebut bukan disertai dengan penjajahan. Hal ini jauh berbeza daripada tindakan-tindakan yang dilakukan oleh AS yang menyerang, menceroboh, membunuh orang awam dan menjajah negara lain yang melanggar undang-undang antarabangsa yang mereka sendiri ciptakannya.
Walaupun ideologi Korea Utara itu bertentangan dengan ideologi Islam, para pemimpin umat Islam yang lain seharusnya mengambil pengajaran daripada tindakan Korea Utara tersebut. Bukankah membangun kekuatan dan menggentarkan hati musuh-musuh Allah dan umat Islam itu adalah satu seruan syarie yang mesti dilaksanakan sebagai sebuah negara? Allah (SWT) telah berfirman di dalam al-Quran:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya” [TMQ: al-Anfaal, 60].
Jadi untuk umat Islam mempertahankan diri mereka daripada pencerobohan oleh kuasa kuffar, maka adalah wajib untuk mereka menbangun kekuatan ketenteraan supaya tidak menerima nasib seperti Irak dan Afghanistan. Wa Allahu A’lam.
Rujukan : Berita Harian 14/4/2012