Tautan ukhwah Delegasi MHTM Dengan EXCO Selangor

25hb Januari 2014, Shah Alam – Seramai 5 orang  delegasi daripada Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah menghadiri program Karnival Wanita Muda yang dianjurkan oleh  Kerajaan Negeri Selangor.  Delegasi yang diketuai oleh Dr. Ainul telah menerima jemputan daripada YB Puan Rodziah binti Ismail, ADUN Batu Tiga merangkap EXCO Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor.

Program yang bertemakan R.E.S.P.E.C.T, Hormati Diri Anda dikendalikan oleh SRIKANDI iaitu salah satu cabang Wanita Muda Selangor.  Tujuan utama karnival ini adalah untuk mensasarkan golongan wanita muda dalam negeri Selangor untuk melibatkan diri dalam setiap program yang dianjurkan.  Selain itu juga, wanita muda yang menghadiri karnival itu diterangkan betapa pentingnya peranan wanita muda dalam membangunkan diri mereka dalam menjana ekonomi keluarga.

Antara tokoh dan pemimpin masyarakat yang turut hadir adalah YB Nurul Izzah (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Ir. Hjh Endok Sempo binti M Tahir (Presiden WIRDA), dan beberapa orang wakil Organisasi Bukan Kerajaan (NGO).  Delegasi MHTM turut mengambil kesempatan bertemu dengan mereka untuk memperkenalkan MHTM kepada mereka dan menyatakan perjuangan MHTM dalam menegakkan syariat Islam supaya seluruh manusia termasuk golongan wanita dapat hidup dalam aturan syariat islam dalam semua aspek kehidupan.

Kehadiran delegasi MHTM diterima dengan baik dan pihak penganjur berbesar hati untuk menjemput MHTM  ke program khusus untuk wanita anjuran kerajaan negeri pada masa akan datang.  MHTM mengucapkan jutaan terima kasih atas jemputan dan layanan diberi oleh pihak penganjur.  Semoga pertemuan ini menjalin hubungan yang akan terus bertaut atas dasar ukhwah Islamiyah.