Delegasi Muslimah Hizbut Tahrir Ke Pejabat BERNAMA

KUALA LUMPUR 4 Mac – Selesai penganjuran Konferens Wanita oleh Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) pada 3 Mac 2013, delegasi MHTM dan Muslimah Hizbut Tahrir Indonesia (MHTI) telah mengunjungi pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Wisma BERNAMA. Kunjungan ini diadakan bertujuan untuk menyerahkan kenyataan akhbar tentang penganjuran konferens tersebut.

Delegasi terdiri daripada tiga orang wakil MHTM iaitu Puan Sumayyah (AJK Pusat MHTM) sebagai ketua delegasi, Cik Syamsiyah (AJK Pusat MHTM) dan Puan Iris Zahrah (Aktivis MHTM) serta empat orang wakil MHTI iaitu Ustazah Ummu Fadhilah (Ketua MHTI), Ustazah Iffah Ainur Rochmah (Jurucakap MHTI), Ustazah Fika M. Komara (Wakil Media Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir) dan Cik Rina Rahmalia sebagai jurugambar.

Alhamdulillah kedatangan kami telah disambut dengan amat baik sekali oleh Penolong Ketua Editor, En. Kamil. Beliau telah membawa kami bertemu dengan seorang wartawan BERNAMA iaitu Cik Siti Salwa binti Shaari untuk mengadakan perbincangan lanjut tentang tujuan lawatan kami.

Sesi perbincangan terfokus pada latar belakang, objektif, isi pembentangan dan kesimpulan daripada penganjuran konferens tersebut. Pihak delegasi telah menjelaskan beberapa realiti kehidupan wanita di seluruh dunia terutamanya Malaysia dan Indonesia termasuk isu ‘penggunaan’ dan eksploitasi wanita, keruntuhan institusi rumah tangga dan berlelusanya masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat. Pihak wartawan mengakui bahawa realiti sememangnya menyebabkan wanita terpaksa melakukan sesuatu untuk menjamin kehidupan sendiri kerana sistem kehidupan yang diterapkan ke atasnya telah gagal melindunginya.

Pihak wartawan bertanyakan tentang penyelesaian yang ditawarkan oleh Muslimah Hizbut Tahrir dalam masalah ini. Wakil delegasi menjelaskan bahawa Islam merupakan satu-satunya penyelesaian terhadap segala permasalahan umat termasuklah masalah yang dideritai oleh wanita saat ini. Jadi, Muslimah Hizbut Tahrir menawarkan Khilafah sebagai jalan penyelesaian kerana sistem Khilafah adalah satu-satunya sistem yang akan dapat menerapkan hukum-hukum Islam secara keseluruhan terhadap rakyat di bawah pemerintahannya. Pihak wartawan menerima penyelesaian tersebut dengan mengakui bahawa ianya sesuatu yang benar yang mampu menyelamatkan wanita daripada permasalahannya.

Perbincangan diakhiri dengan kata-kata harapan daripada pihak delegasi supaya semua perkara-perkara perbincangan dapat disebarkan kepada masyarakat umum melalui media BERNAMA. Muslimah Hizbut Tahrir dengan ini mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak BERNAMA dan semoga kerjasama ini berpanjangan demi meneruskan kewajipan menyebarkan Islam kepada masyarakat.