Terputus bekalan elektrik, rakyat terus ditindas
Akibat nila beberapa titik maka rosaklah susu sekawah. Kenapakah orang lain yang tidak bersalah harus ‘dibebankan’ dengan penderitaan? Walau apa jua alasan yang diberikan Tenaga Nasional Berhad (TNB), ia sudah tentu hanya menguntungkan kelompok Kapitalis manakala segala beban kerugian dipulangkan kepada rakyat. Padahal, setiap rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan elektrik tanpa mengira sama ada dia itu beragama Islam atau bukan. Jadi, mengapa disebabkan segelintir kecil pihak yang enggan membayar dan TNB pula tidak mahu kerugian, maka beban kerugian diserahkan kepada rakyat. TNB sebagai sebuah badan Kapitalis, dan sebagai sifat badan Kapitalis, mereka tentunya tidak mahu kerugian walau satu sen pun. Persoalan sama ada elektrik hak milik umum (al-milkiyyah al-ammah) atau hak milik negara (al-milkiyyah al-daulah) tidak pernah mereka pedulikan. Ini kerana Kapitalis mengajar bahawa elektrik boleh dimiliki oleh mana-mana individu di dalam negara yang mempunyai modal yang besar (Kapitalis) dan mereka boleh mengenakan sebanyak mana bayaran yang mereka suka.
Masalah seperti ini sudah berulang kali berlaku dan yang jadi mangsanya adalah rakyat. Berapa banyak rumah yang bergelap kerana tidak mampu membayar bil elektrik? Kita tentu masih ingat kejadian kebakaran pada pukul 3 pagi, 9hb Ogos 2007 yang berlaku di Kluang, Johor yang mengorbankan lima sekeluarga yang berpunca daripada api lilin kerana keluarga tersebut tidak mampu membayar bil elektrik. Adakah kerajaan begitu buta atau sengaja menutup mata atas kejadian yang berlaku? Atau kerajaan menunggu lebih banyak lagi kematian yang berlaku seumpama kes di Kluang itu, barulah kerajaan akan membuka mata?
Para kelompok kapitalis yang kebanyakannya adalah pemimpin negara atau kroni mereka menjadi begitu berkuasa menguasai segala infrastruktur perkhidmatan yang seharusnya diberikan percuma kepada rakyat. Lebih teruk lagi, perasaan simpati langsung tidak wujud di dalam benak para penghisap darah rakyat ini. Pada pandangan mereka, itu adalah suratan dan hidup mesti diteruskan. Inilah sebahagian daripada akibat penerapan sistem kehidupan kufur pada hari ini. Walhal menurut Islam, elektrik adalah termasuk di dalam kategori al-milkiyyah al-ammah yang mesti diberikan kepada rakyat dengan percuma atau dengan kata lain, ditolak dengan harga kos. Puak Kapitalis yang menguasai segala infrastruktur ini tidak pernah memikirkan semua ini dari perspektif Islam, bagi mereka atau apa yang mereka tahu hanyalah, mereka tidak boleh rugi satu sen pun dengan elektrik yang diperniagakan kepada rakyat ini. Inilah dasar Kapitalis!
Justeru, belumkah tiba masanya perubahan yang mendasar dilakukan untuk kita membuang sistem sekular ini dan kembali kepada sistem Islam? Adakah cukup kita sekadar berserah kepada kezaliman? Bukankah ganjaran orang-orang yang memperjuangkan syariat Allah itu jauh lebih baik berbanding mereka yang hanya berpeluk tubuh? Mana satukah pilihan kita, mati kerana dizalimi atau mati kerana menentang kezaliman?