Tiada guna Melayu-Islam sampai ke pemerintahan jika Islam itu sendiri tidak – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – PRN Johor kali ini menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) hasil percaturan politik dalam satu fenomena yang sangat cacamarba. BN yang berdakap dengan PKR dan DAP di peringkat Persekutuan sebaliknya berperang dengan dua kekasihnya itu di Johor. Manakala PAS pula mengisytiharkan sokongan kepada BN walaupun bertanding di atas tiket Perikatan Nasional bersama Bersatu, dan dalam masa yang sama mengisytiharkan perang kepada Bersatu.

Persoalan ini menjadi permulaan kepada kupasan oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam siaran langsung Kupas Tuntas bertajuk “Pasca PRN: Ke Mana Rakyat Ingin Dibawa?” pada 17 Julai 2026.

Menurut Ustaz Hakim, parti mana pun yang menang dalam PRN Johor tiada bezanya sedikit pun. Ini kerana persoalan utama bukannya siapa yang menang, tetapi apakah yang akan dilakukan oleh parti yang menang.

Walaupun ada pihak yang bergembira kerana formula mereka ingin memenangkan calon dan parti Melayu-Islam telah berjaya, tetapi apa guna Melayu-Islam menang jika Islam itu sendiri tidak menang, soal beliau. Apa yang kita mahu ialah Islam itu sendiri sampai ke pemerintahan, bukan sekadar orangnya.

Kita mahu Islam yang memerintah, bukannya Islam yang diperintah. Dengan kemenangan orang Melayu-Islam, tetapi sistem dan undang-undang sekular yang ada terus dikekalkan, maka Islam tidak menjadi agama yang memerintah, sebaliknya menjadi agama yang diperintah. Apabila sistem demokrasi-sekular dikekalkan, maka Islam tetap tertakluk kepada kehendak dan kelulusan manusia jika ingin dijadikan undang-undang. Hal ini tidak ada gunanya, tegas Jurucakap HTM itu berkali-kali.

Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya perubahan dan penerapan hukum Islam di Johor selepas ini, beliau menjawab berdasarkan track record UMNO-BN memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun, perkara itu tidak mungkin berlaku. Apa yang berlaku sebelum ini membuktikan sebaliknya iaitu UMNO-BN terkenal menolak hudud dan lain-lain hukum Islam. Atas dasar ini, kita sudah boleh agak ke mana UMNO-BN akan bawa rakyat selepas ini. Tidak akan ke mana, kata beliau.

Naratif ‘kemenangan Melayu Islam’ yang diraikan sesetengah pihak, ujar beliau, tidak boleh disamakan dengan kemenangan Islam, kerana Islam tidak sampai pun ke pemerintahannya, yang sampai hanyalah orang Melayu-Islam. Muslim mana yang berkuasa tanpa menerapkan hukum Allah sebenarnya lebih buruk berbanding non-Muslim yang berbuat hal yang sama. Ini kerana, dia telah melakukan keharaman, sedangkan dia tahu perkara itu haram, sebagaimana seorang Muslim yang meminum arak yang tentunya lebih buruk berbanding non-Muslim yang melakukan perkara yang sama.

Ustaz Hakim seterusnya menjawab persoalan hukum kerjasama antara parti Islam dan parti sekular dalam pilihan raya, yang menurut beliau jelas haram. Beberapa sebab dikemukakan iaitu kerana kerjasama itu bermaksud parti Islam telah memberi pengakuan dan legitimasi serta mengukuhkan parti sekular. Kerjasama itu juga bermaksud parti Islam telah menolong dalam perkara dosa dan pelanggaran hukum syarak, kerana parti Islam itu tahu bahawa parti sekular tentunya tidak akan menerapkan Islam.

Selain itu, ia boleh menimbulkan sifat nifaq dalam kalangan ahli parti Islam apabila mereka menzahirkan sokongan terbuka kepada parti sekular sedangkan hati mereka tidak suka kepada sekular. Ustaz Hakim turut menegaskan bahawa Allah melarang kita cenderung kepada orang-orang zalim, yang mana dengan mengadakan kerjasama dengan parti sekular, lebih-lebih lagi jika memegang jawatan dalam sebuah pemerintahan bersama parti sekular, ini sangat jelas merupakan sebuah kecenderungan kepada kezaliman.

Tanpa merujuk kepada mana-mana parti Islam tertentu, beliau menyifatkan dan memuhasabah tindakan parti Islam yang bekerjasama dengan parti sekular sebagai sebuah tindakan ‘matlamat menghalalkan cara’. Ini bukan politik Islam tetapi politik Machiavelli. Parti Islam sering mengorbankan Islam yang diperjuangkannya kerana tunduk atau pun menjaga hati parti sekular di sepanjang kerjasama mereka. Bahkan lebih buruk menurut beliau, parti Islam pula berjaya disekularkan oleh parti sekular, sebagaimana kita lihat berlaku di seluruh dunia pada sejak sekian lama apabila parti Islam bekerjasama dengan parti sekular.

Ditanya mengenai nasihat kepada parti yang menang, Ustaz Hakim menegaskan bahawa kuasa bukanlah untuk dibangga-banggakan apatah lagi disalahgunakan, kerana ia adalah amanah Allah untuk menerapkan hukum-Nya. Parti yang telah menang tetapi tidak menerapkan hukum Allah, maka ia termasuk dalam kalangan mereka yang fasiq, zalim, malah boleh jatuh kafir jika beriktikad bahawa hukum ciptaan manusia lebih baik daripada hukum Allah.

Sebelum menutup program yang dibuat dalam bentuk forum itu, Abdul Hakim mengingatkan bahawa tugas dan tanggungjawab parti Islam ialah untuk mendakwah Islam, melakukan amar makruf nahu mungkar dan menegakkan Negara Islam (Khilafah), bukannya berjuang habis-habisan untuk pilihan raya sehingga mengorbankan seluruh kekuatan, masa, tenaga dan wang ringgit ke arah itu.

Pilihan raya dalam sistem demokrasi merupakan sebuah perangkap ciptaan Barat bagi memastikan umat Islam tidak kembali kepada sistem Islam yang sebenar, tegas Jurucakap HTM itu, yang mana sudah berpuluh-puluh tahun parti Islam masuk ke dalam perangkap ini yang menyaksikan Islam tidak pernah menang walaupun parti Islam ada yang menang dan berjaya memerintah.

Di penghujung perbincangan, Ustaz Hakim menjelaskan yang Hizbut Tahrir menawarkan sebuah pemerintahan Islam (Khilafah) yang berbeza dengan demokrasi, dengan jalan untuk menegakkannya bukan melalui pilihan raya, tetapi mengikuti thariqah (jalan) yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) semasa di Mekah sehingga tegaknya Daulah Islam di Madinah. Beliau menyeru umat Islam agar meninggalkan demokrasi dan berjuang bersama Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah, sebagai satu kewajipan yang sangat mendesak sekarang ini.