Tidak ada persamaan antara Islam dan agama lain, dari aspek mana pun
Tidak seharusnya kita mencari titik persamaan antara Islam dengan agama-agama lain, dalam rangka mendakwahi non-Muslim, kerana memang tidak akan ada titik persamaannya, di lihat dari sudut mana sekali pun. Sebaliknya, apa yang seharusnya dilakukan ialah menjelaskan kebenaran dan perbezaan Islam dengan kesemua agama lain, sehingga non-Muslim nampak akan kebenaran Islam dan kesalahan agama mereka di mata Islam.
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman menolak hujah untuk mencari titik persamaan antara Islam dan agama lain sebagai uslub (cara) untuk berdakwah terhadap non-Muslim. Ini kerana, menurut beliau, segala yang ada dalam Islam dari persoalan akidah, syariat, dan termasuk persoalan nilai, semuanya semuanya berasal dari wahyu, datang dari Allah, tidak sama, dan tidak akan pernah sama dengan agama-agama lain.
Begitulah tegas Ustaz Hakim dalam podcast “Di Luar Tempurung” yang disiarkan secara langsung baru-baru ini.
Persamaan Nilai, Wujudkah?
Terdapat pihak yang menyatakan wujudnya persamaan antara Islam dengan agama-agama lain dari sudut nilai, meski berbeza dari aspek tauhid. Misalnya, mereka memberikan hujah bahawa semua agama itu menganjurkan kebaikan, keamanan, kesejahteraan dan sebagainya, sekali gus menunjukkan bahawa terdapat persamaan dari segi nilai yang dibawa oleh ajaran semua agama yang selari dengan Islam.
Ketika diminta untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataan beliau oleh Saudara Zamir al-Fathani yang bersama beliau dalam podcast tersebut, Ustaz Hakim kemudiannya menyambung, “Kita kena ingat bahawa persoalan nilai dalam Islam itu sendiri berasal daripada akidah Islam. Contohnya kita berbuat baik, kita amanah, kita jujur, kita menutup aurat, kita menolong orang dan sebagainya, ini semuanya merupakan perintah Allah, atau dengan kata lain bersumber dari wahyu. Sedangkan agama-agama lain, jika mereka melakukan semua itu, sumbernya berbeza, malah ukurannya juga berbeza.”
“Ukuran kebaikan dalam Islam mesti datang daripada wahyu. Ukuran kebaikan itu tidak boleh datang daripada manusia, kerana kalau manusia yang memberikan ukuran baik atau buruk, nescaya (nilai) kebaikan itu akan berbeza-beza,” kata beliau.
Beliau memberikan contoh mengenai perbuatan membunuh, yang dipandang dengan konotasi negatif dan buruk seandainya dilihat dari sudut nilai yang diukur oleh manusia semata-mata.
“Adakah membunuh orang dalam Islam itu baik atau buruk? Jawapannya, tergantung kepada siapa yang kita bunuh. Kalau kita bunuh orang tanpa hak, maka itu buruk, kerana ia bertentangan dengan perintah Allah. Sedangkan kalau kita bunuh dengan hak yakni atas perintah Allah, maka itu satu kebaikan,” jelas beliau.
“Membunuh dengan hak itu seperti membunuh musuh ketika jihad, atau ketika melaksanakan ketetapan Allah menghukum bunuh orang murtad atau penzina muhsan (yang telah berkahwin),” tekan beliau. Apabila pembunuhan adalah atas perintah Allah, maka ia baik di sisi Islam.
Seterusnya, beliau menyentuh soal akhlak dengan menjelaskan bahawa akhlak merupakan hasil daripada perbuatan kita dalam mematuhi perintah Allah. Sikap jujur dalam perniagaan misalnya, secara universal dilihat sebagai satu akhlak yang terpuji. Namun seorang Muslim itu berlaku jujur kerana adanya perintah daripada Allah untuk berlaku jujur demi mengharapkan keredhaan-Nya, bukan untuk meraih manfaat atau lain-lain. Tetapi jika kita berlaku jujur dalam transaksi ribawi dengan membayar riba tepat pada waktunya sebagai contoh, maka hal ini adalah buruk dan haram di sisi Islam, walaupun mungkin dipandang baik dalam agama lain.
Begitu juga jika seorang Muslimah yang tidak bertudung atau berskirt ke pejabat, ini dari sudut akhlak memang satu yang buruk di sisi Islam, tetapi dalam agama lain pakaian seperti ini adalah baik selama mana mereka mematuhi etika berpakaian ke pejabat. Inilah perbezaan yang sangat ketara antara Islam dengan agama lain dalam menilai suatu kebaikan dan keburukan.
Jadi, nilai kebaikan menurut Islam tidak sama dengan nilai kebaikan dalam agama lain, kerana dalam Islam, segala sesuatu itu ada hukumnya, dan ada sumber hukumnya, dan suatu perbuatan itu dikatakan baik apabila bertepatan dengan hukum, dan dikatakan buruk apabila bertentangan dengan hukum.
Begitu juga berkenaan keamanan, di mana Ustaz Hakim seterusnya melontarkan persoalan mengenai pandangan Islam berkaitan keamanan. “Semua agama inginkan keamanan, nampak macam sama, tetapi hakikatnya berbeza, dan apakah bezanya?” soal beliau.
“Dalam agama lain, keamanan mungkin bermaksud tidak ada peperangan. Tetapi Islam, walaupun mengajar mengenai keamanan, namun untuk mencapai keamanan tersebut, terdapat hukum jihad atau perang. Keamanan dalam Islam itu tidak bermaksud tidak ada peperangan,” ujar Jurucakap HTM itu.
Beliau turut mengkritik sesetengah umat Islam yang bersifat apologetik dalam menjawab tuduhan Barat bahawa Islam berkembang dengan mata pedang, sehingga ada yang menafikan hukum peperangan, kecuali sekadar untuk mempertahankan diri dari musuh. Padahal berapa banyak ayat dan tindakan Rasulullah yang memulakan perang terhadap musuh.
“Maksud keamanan dalam Islam ialah pemerintahan itu wajib berada di tangan orang Islam dan hukum Allah diterapkan di negeri tersebut secara kaffah, baru dikatakan aman. Atas dasar itulah adanya hukum jihad dan futuhat dalam rangka membawa masuk Islam dan menyebarkan rahmat dan cahaya Allah ke seluruh alam. Setelah masuknya rahmat Allah ke negeri tersebut, barulah dikatakan aman,” tegas Ustaz Hakim.
“Adalah keliru pandangan yang menyatakan bahawa dakwah kita kepada non-Muslim hendaklah sentiasa lemah lembut dalam rangka mengambil hati mereka. Dakwah ini ada masanya bersifat lembut, ada masanya perlu bertegas, inilah yang dibawa oleh Rasulullah (saw). Ini bukan bermaksud kita mesti bersikap keras atau ingin bergaduh dengan non-Muslim, tetapi uslub dakwah itu tergantung pada banyak faktor dengan melihat kepada orang yang kita dakwahi, suasana, platform dan sebagainya.” kata Ustaz Hakim lagi.
“Jika kita asyik ingin mencari titik persamaan dan asyik menjelaskan persamaan sahaja, maka ini akan menimbulkan satu persepsi pada non-Muslim untuk apa aku perlu masuk Islam jika agama aku banyak persamaan dengan agama Islam,” soal beliau.
Bahaya Dialog Antara Agama
Dalam podcast ini, Jurucakap HTM itu turut menjelaskan bahaya dialog antara agama yang menjurus kepada pluralisme kononnya bertujuan mencari titik persamaan demi menjaga keharmonian dalam masyarakat. Ramai yang terpengaruh dengan dialog antara agama yang hakikatnya adalah datang dari Barat demi merealisasikan agenda pluralisme mereka untuk melemahkan Islam dan menyesatkan umat Islam dengan idea bahawa semua agama adalah sama.
“Keharmonian itu tidak ada kena mengena dengan dialog antara agama. Hal seperti in tidak pernah wujud di zaman Rasulullah mahupun Sahabat, sedangkan Muslim serta non-Muslim telah pun hidup dengan harmoni pada waktu itu. Malah Muslim dan non-Muslim hidup dengan harmoni di sepanjang pemerintahan Khilafah tatkala hukum Islam diterapkan. Dialog antara agama ini hanya wujud seratus tahun kebelakangan ini hasil agenda Barat,” jelas Ustaz Hakim.
Amat jelas bahawa keharmonian hanya terwujud apabila aturan yang mengatur masyarakat dan negara itu ialah Islam. Ustaz Hakim seterusnya menjelaskan bagaimana kedudukan ahlu dzimmah (orang-orang kafir dzimmi) yang hidup harmoni dalam negara Islam (Khilafah) selama lebih seribu tahun kerana diatur oleh sistem dan hukum Islam.
“Bukan sekadar mereka mendapat hak yang sama seperti orang Islam, bahkan kita (orang Islam) tidak dibenarkan menyakiti mereka, inilah keamanan,” ujar beliau.
Ustaz Hakim seterusnya memetik surah an-Nasr ayat 1-3 sebagai dalil dan bukti bahawa penyebaran Islam oleh negara dan penerapannya secara menyeluruh menatijahkan umat manusia berbondong-bondong memeluk Islam.
“Insya Allah apabila Islam kembali berkuasa, Khilafah kembali tegak, maka orang-orang kafir akan melihat keindahan Islam dan mereka sekali lagi akan berbondong-bondong masuk Islam,” ujar Ustaz Hakim secara optimis.
Topik yang dikupas dalam episod ke-18 podcast ‘Di Luar Tempurung’ ini adalah rentetan daripada video viral yang menyaksikan seorang wanita menyatakan terdapat banyak persamaan antara Islam dengan Hindu.
Kenyataan yang menimbulkan keresahan netizen itu dibuat semasa program Lawatan Harmoni Terbimbing untuk guru-guru agama dakwah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke Kuil Sri Maha Kaliamman di Kampung Kasipillay penghujung Julai lalu.