Sorotan 2021: Akta Kawalan Penyebaran Agama Bukan Islam, di mana silapnya?

Keputusan Mahkamah Tinggi pada bulan Mac yang lepas membenarkan penganut Kristian di seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama telah mencetuskan keresahan umat Islam di negara ini.

Susulan keputusan itu, ramai beranggapan kemungkinan akan wujud dalam kalangan orang bukan Islam yang akan menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.

Penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dikhuatiri akan mengelirukan segelintir umat Islam terutamanya mereka yang mempunyai pemahaman yang cetek tentang Islam. Apatah lagi dengan kes-kes murtad semakin berleluasa sekarang, dibimbangi ia akan lebih sukar dibendung pada masa depan.

Atas dasar itu kerajaan telah mengambil langkah menggubal Akta Kawalan Penyebaran Agama Bukan Islam, dengan harapan ia akan menghalang aktiviti dakyah agama lain ke atas umat Islam. Akta ini diharap dapat membendung orang Islam daripada terpengaruh dengan agama lain dan seterusnya mahu menukar agama mereka.

Apa yang kerajaan tidak sedar ialah penggubalan akta-akta seumpama ini untuk menghalang penyebaran agama-agama lain ke atas umat Islam bukanlah suatu penyelesaian, dan tidak ada jaminan ia akan “berfungsi” sebagaimana yang diharapkan.

Apa yang perlu diteliti ialah mengapakah akidah umat Islam begitu rapuh sehingga mudah terpengaruh dengan dakyah agama-agama lain? Di mana silapnya? Seterusnya jika berlaku kes-kes murtad, apakah yang dilakukan oleh kerajaan dari aspek hukuman?

Tidak dapat dinafikan bahawa antara punca utama kerapuhan akidah umat Islam ialah kerana mengambil Islam disebabkan oleh “warisan” atau kerana sejak kecil telah “didoktrin” menerima Islam tanpa soal atau tanpa melalui proses berfikir.

Sistem pendidikan negara juga tidak menuntun cara yang benar dalam proses penguatan akidah iaitu melalui proses berfikir yang rasional dan cemerlang (al-fikru al-mustanir) sehingga kebenaran Islam dicapai melalui pembenaran yang pasti (tashdiiqul jazm).

Sekiranya putera-puteri umat Islam mempunyai keimanan yang kukuh terhadap Islam melalui proses berfikir yang cemerlang tadi, pastilah mereka tidak akan terpengaruh sedikit pun dengan dakyah agama-agama lain, malah sebaliknya merekalah yang mendakwahkan Islam kepada pendakyah-pendakyah agama lain sehingga pendakyah-pendakyah tersebut masuk Islam.

Manakala aspek hukuman juga memainkan peranan penting bagi memastikan kes murtad dapat dibendung. Pemerintah wajib mengikuti Sunnah Rasulullah (saw) dalam hal ini iaitu melaksanakan hukuman mati ke atas mereka yang murtad jika enggan bertaubat. Sabda Rasulullah (saw),

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

“Barangsiapa yang menukar agama (Islam)nya, maka bunuhlah dia” [HR Ibnu Majah].

Hal ini telah dicontohi oleh Khalifah Abu Bakar (ra) ketika memerangi golongan murtad sehingga masalah tersebut berjaya diselesaikan dalam masa yang singkat.

Inilah syariat Islam yang wajib diikuti, yang telah terbukti berkesan dalam mengukuhkan akidah umat Islam dan sekali gus membendung kes-kes murtad. Kita tidak memerlukan akta apa pun untuk menjaga akidah umat Islam jika kaedah berfikir yang benar dan syariat Islam diterapkan dalam kehidupan.

Pokoknya sekarang kerajaan sudah terlalu jauh daripada Islam, yang menyebabkan bukan sahaja kerajaan yang rosak, tetapi turut merosakkan generasi.

Wallahu a’lam.