Tidak perlu layan gesaan Filipina

Proses damai bakal tergugat

MANILA 22 April – Filipina bimbang dengan kebangkitan lebih banyak anasir radikal dalam Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) apabila Malaysia mengundurkan pasukan pemantaunya dari selatan negara ini pada lewat tahun ini.

Jeneral bersara Rodolfo Garcia yang mengetuai pasukan perunding kerajaan berkata, gencatan senjata hampir lima tahun antara Manila dan MILF mungkin akan berakhir kerana pengunduran pasukan pemantau akan menjejaskan rundingan.

“Tidak ada jaminan kestabilan di selatan negara ini akan berterusan jika pasukan pemantau Malaysia berangkat pulang,” kata Garcia kepada Reuters hari ini.

Beliau memberi amaran, kumpulan radikal dalam MILF sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menyambung pertempuran.

Sementara itu, ketua penasihat rundingan damai Manila, Jesus Dureza melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Malaysia untuk menamatkan misi tersebut.

Dureza berkata, beliau baru balik dari lawatan ke Kuala Lumpur dan pegawai di sana tidak menunjukkan “sebarang tanda akan mengumumkan pengunduran seluruh misi pemantau.”

“Saya rasa, kita sebagai jiran hendaklah bekerjasama demi perdamaian.

“Saya yakin Malaysia akan bersama kita sehingga damai tercapai,” kata Dureza.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam berkata, Malaysia tidak lagi akan menghantar pasukan pemantau ke Mindanao selepas mandat Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) sekarang tamat September ini.

“Soalnya, kita perlu mendapat kerjasama kedua-dua belah pihak tetapi jika satu pihak tidak dapat melaksanakannya, kita perlu mengambil langkah menghentikan misi itu,” kata Rais seperti yang dipetik Bernama.

Kenyataan itu dipercayai ditujukan terhadap Manila yang telah dituduh berlengah-lengah dalam mengusahakan perjanjian damai dengan MILF.

Garcia mengakui proses rundingan itu lembap tetapi mempertahankan pendekatan berhati-hati Filipina bagi memastikan perjanjian damai berjalan lancar.

“Menjadi kewajipan kerajaan untuk menjalankan kajian rapi mengenai perjanjian itu kerana ia melibatkan banyak isu perundangan dan perlembagaan.

“Ia masih menjadi keutamaan kerajaan dan kami berharap untuk menyelesaikannya sebelum Ogos tahun ini,” jelas beliau.

Rundingan Manila-MILF berlarutan selama lebih 10 tahun, menyebabkan sesetengah pemimpin pemisah meragui keikhlasan kerajaan dalam menamatkan konflik.

– Reuters

Sumber: Utusan Malaysia 23/04/08

Ulasan:

Sudah sekian lama pasukan pemantau Malaysia berada di Filipina untuk membantu kerajaan kufur Filipina. Inilah kehebatan Menteri yang membuat keputusan dahulu – menghantar pasukan Malaysia, bukannya untuk membantu saudara sesama Muslim yang diperangi oleh tentera kufur Filipina, tetapi untuk membantu menjaga keselamatan pemerintah kufur Filipina dari tentangan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Ternyata, kerajaan Filipina mengakui bahawa selama pasukan pemantau Malaysia berada di sana, keselamatan Filipina agak terjamin. Hal ini boleh difahami kerana yang menjadi musuh bagi MILF bukanlah pasukan Islam yang datang dari Malaysia, tetapi kerajaan kufur Filipina. Secara logiknya, MILF tidak akan bertempur dengan saudara sesama Muslim dari Malaysia. Hakikat ini disedari oleh kerajaan Filipina, oleh sebab itulah mereka sangat-sangat mengharapkan agar pasukan Malaysia terus berada di sana.

Justeru, langkah untuk mengundurkan pasukan pemantau Malaysia ini amat bertepatan sekali. Yang lebih baik, ia diundurkan serta-merta dan tidak perlu menunggu tamatnya mandat Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT). Dan bukan setakat ini, pemimpin Malaysia perlu belajar hukum syarak berkenaan ketenteraan dalam Islam dan berusaha untuk melaksanakan apa jua perintah Allah ke atas mereka berhubung kewajipan pasukan keselamatan kaum Muslimin ini.

Sudah berapa lama pasukan keselamatan Malaysia hanya dipergunakan untuk membantu negara-negara kufur di serata dunia. Para pemimpin perlu sedar bahawa tugas mulia pasukan tentera Islam adalah untuk memerangi musuh-musuh Allah yang kufur, bukan membantu mereka. Kita mengharapkan pemimpin Malaysia sedar akan hukum Allah ini dan menerapkannya di dalam pemerintahan.