Tidak tertegak Islam melalui PRU

WALAUPUN terpaksa menukar lokasi di saat-saat akhir Wacana Siyasah bertajuk Tertegakkah Islam selepas PRU-13? anjuran bersama Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dan Khilafah Centre berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran peserta di luar jangkaan.

Wacana yang dirancang untuk diadakan di Dewan Cempaka, Kompleks PKNS, Bangi, Selangor berubah ke Dewan Khilafah Centre, Seksyen 7, Bangi kerana pihak PKNS telah membatalkan tempahan dewan disaat akhir. Ini sungguh mendukacitakan kerana badan yang sepatutnya memajukan negeri Selangor ini tidak menyokong usaha memajukan pemikiran rakyat Selangor dengan alasan yang tidak munasabah. Walaubagaimanapun Alhamdulillah, walaupun tidak mendapat kemudahan dewan, wacana dengan izin Allah yang Maha Kuasa Berjaya diadakan di dewan seminar Khilafah Centre, Bandar Baru Bangi.

Wacana kali ini menampilkan Saudara Razi Salleh sebagai moderator kepada tiga ahli panel yang tidak asing lagi iaitu Dr. Muhammad Abul ‘Ain, Ustaz Umar Hussein dan Presiden HTM sendiri iaitu Ustaz Abdul Hakim Othman.

Dr. Muhammad menjelaskan perlunya umat Islam kembali kepada sistem Khilafah. Menurutnya, realiti sekarang, umat Islam tidak mengetahui bahawa mereka pernah dipayungi sistem Khilafah yang melindungi umat selama lebih 1,000 tahun. Sebab utamanya adalah sistem demokrasi yang mendominasi negara umat Islam selama ini. Beliau mennegaskan bahawa umat Islam perlu kembali kepada Syariah dan Khilafah untuk menjadi umat yang mulia.

Ustaz Umar Hussein pula menekankan peranan parti Islam yang harus mempunyai thariqah dan metod yang jelas dalam usaha menerapkan Islam. Tambahnya, parti Islam mempunyai peranan utama melakukan serangan dan pembongkaran ide-idea serta pemikiran jahat yang disebarluaskan oleh pemimpin kafir dan ejen-ejen mereka dalam dunia Islam. Tegasnya, umat Islam perlu memastikan Islam berada di kedudukan tertinggi  dan telah terang lagi bersuluh bahawa sistem demokrasi telah rosak dan tidak menjamin kesejahteraan umat.

Ustaz Abdul Hakim Othman menjelaskan bahawa sistem demokrasi di negara ini adalah ciptaan kafir penjajah iaitu Lord Reid untuk menipu daya parti politik Islam dan umat. Parti politik Islam di Algeria dan Mesir gagal melaksanakan Islam selepas memenangi pilihanraya. Wakil rakyat muslim di Parlimen tidak menerapkan Islam malah bersekongkol untuk menerapkan hukum kufur serta merampas hak Allah SWT sebagai pembuat hukum, jelasnya. Parti Islam perlu mengikut thariqah yang telah ditunjukkan Rasullah SAW dalam membina negara dengan mengubah masyarakat Jahilliyah Arab kepada Islam sehingga mereka mampu mengusai dunia sebelum ini. Beliau juga menjelaskan haram bagi umat Islam untuk beramal dan menyebarkan demokrasi. Ustaz Hakim juga menyeru kepada umat Islam bahawa Khilafah semakin hampir dan situasi di Syria menjadi antara penunjuk utamanya.

Sesi soal jawab telah berlangsung dengan baik dan mudah-mudahan dengan para hadirin dan penonton mendapat manfaat dari penjelasan ketiga-tiga ahli panel bahawa Islam tidak tertegak melalui PRU13 dan wadah utama hanya dengan menegakkan Syariah dan Khilafah.

Wacana ditutup dengan bacaan doa oleh Ustaz Musaab.