Tiga sifat terpuji Najib
KUALA LUMPUR 9 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai seorang yang begitu penyabar, pendengar yang baik dan pembuat keputusan yang tepat. Demikian penilaian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap Perdana Menteri sejak beliau berkhidmat dengannya pada tahun 1987. “Beliau sekalipun tidak pernah meninggikan suara atau mengerut muka apabila marah namun kita akan tahu apabila beliau marah kerana muka beliau akan merah dari pipi ke dahi. “Najib juga sentiasa mendengar luahan, maklumat, masalah atau komen orang tanpa memberikan reaksi yang keterlaluan. Beliau juga tidak membuat keputusan ketika marah atau sedih,” katanya. Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku berjudul Najib Perdana Menteri Keenam oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Auditorium, Wisma Pertahanan di sini hari ini. Jelasnya, apabila melihat Najib begitu sedih meninggalkan Kementerian Pertahanan, beliau menyedari bahawa kementerian tersebut adalah darah daging Perdana Menteri.
“Secara peribadi, saya menghargai segala kepercayaan yang diberikan Najib kepada saya. “Saya dikutip oleh Najib dari lembah politik untuk menjadi Setiausaha Politik ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan. Kini, beliau lantik saya menjadi Menteri Pertahanan,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia: 09/06/09
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar”. [TMQ Al Ahzab (33) : 35].
FirmaNya lagi
“1. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, 2. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; 3. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; 4. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta), 5. Dan mereka yang menjaga kehormatannya, 6. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – 7. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas, 8. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, 9. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, 10. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi, 11. Yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya”. [TMQ Al Mu’minuun (23) :1-11].
Untuk itu akhlak seorang muslim itu mesti terikat dengan hukum syara’. Jelas, sifat yang dikatakan terpuji yang ada pada Najib itu perlu diukur dengan hukum syara bukannya dengan hawa nafsu semata. Misalnya jika Najib dikatakan sebagai seorang yang sabar maka apakah sifat sabarnya itu terserlah ketika beliau berusaha untuk menerapkan hukum syara yang menjadi kewajiban bagi Najib selaku pemerintah umat Islam? Apakah Najib juga seorang yang sabar ketika berusaha mencegah dirinya dari kemungkaran yang diperintahkan untuk dijauhi oleh setiap dari kita sebagai seorang muslim? Jelas sehingga saat ini setelah memegang jawatan Perdana Menteri beliau masih lagi sabar menerapkan sistem kufur di dalam pentadbirannya. Jadi sifat sabar Najib itu tidak disandarkan kepada hukum syara. Apakah ini dikatakan sebagai seorang yang penyabar? Apakah sifat sabar beliau itu kerana sabar menunggu murka dari Allah SWT kerana tidak menerapkan hukum syara? Anda sudah pasti ada jawabannya. Beliau dikatakan sebagai pendengar yang baik? Untuk itu di sini kita sertakan firman Allah SWT semoga Najib mendengarnya dengan baik, teliti dan penuh keinsafan.
” Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 44-45];
“… Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 47].
Wajib bagi Najib mendengar dan memahami dengan penuh keinsafan bahawa sebagai seorang pemimpin muslim, beliau wajib menerapkan sistem Islam yang merangkumi seluruh sistem ekonomi Islam, sistem politik dan pemerintahan Islam, sistem sosial Islam, sistem ’uqubat dan muamalah Islam, polisi pendidikan Islam, polisi luar negara Islam dan yang lain-lainnya. Jika ini dilakukan oleh beliau maka barulah beliau boleh dikatakan sebagai pembuat keputusaan yang tepat. Tapi jika beliau masih setia dan sabar menerapkan sistem yang ditinggalkan oleh penjajah sejak 52 tahun yang lalu, maka hakikatnya beliau bukanlah seorang pembuat keputusan yang tepat, bahkan jauh tersasar!