TOL Adalah Haram
*Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur (Fasa 1) tiada bayaran tol pada 11 Februari dan 15 Februari pukul 11.30 malam hingga 4.30 pagi.
* PLUS Expressways pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menawarkan diskaun 20 peratus, 12 tengah malam hingga 7 pagi dari 10 hingga 19 Februari.
* 15 lebuh raya lagi menawarkan diskaun tol antara lima hingga 20 peratus pada 14 Februari. 10 lebuh raya menawarkan diskaun pada 14 Februari bermula dari pukul 12.01 tengah malam hingga 12 tengah hari.
Sumber: Utusan Malaysia 09/02/10
TOL Adalah Haram
Mungkin ramai di kalangan rakyat yang terpedaya dengan gula-gula beracun yang diberikan oleh para pemegang konsesi tol dengan penawaran tol percuma dan diskaun di sepanjang hari perayaan Tahun Baru Cina kali ini. Inilah kejayaan program pengswastaan yang dicetuskan oleh Mahathir. Hebatnya Mahathir ialah jika dulu jalanraya yang dibina tidak ada tol tetapi di zaman Mahathir beliau membina jalanraya dan lebuh raya berserta dengan puluhan tolnya sekali. Inilah keunikan dan kehebatan kerajaan Mahathir – berniaga dengan rakyat. Kerajaan mengaut keuntungan di atas keperitan hidup dan bebanan tol yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Bukankah ini suatu tindakan yang kejam? Dan hari ini rakyat terus dibebani dengan pelbagai kutipan cukai termasuklah tol.
Di zaman Najib, beliau cuba untuk menutupi kebusukan dan kudis sistem Kapitalisme yang telah dicetuskan oleh para pemimpin sebelumnya dengan memperkenalkan potongan dan hadiah tol percuma pada beberapa hari yang terpilih seperti hari-hari perayaan. Ini sebenarnya tidak akan mampu untuk mengangkat dosa yang terbeban di bahu para pemimpin yang melanggar hukum syara’ ini.
Tol adalah salah satu bentuk cukai dan secara jelas Islam telah mengharamkannya. Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)” [HR Ahmad, Abu Daud & Hakim]. Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad]. Sila rujuk: SN151 – TOL : SAMPAI BILA PEMERINTAH MAHU MENANGGUNG DOSA?