Tragedi 3 Mac : Siri 1

tragedi_3_mac_1Usaha pertama puak kuffar untuk menghancurkan penyatuan Islam terjadi pada abad ke-11 ketika Pope Urbanus II melancarkan Perang Salib I untuk menduduki Al-Quds. Setelah 200 tahun pendudukan, akhirnya pasukan Salib berjaya dikalahkan di tangan Salahudin al-Ayubi. Di abad ke-15, Konstantinopel berjaya ditakluki dan benteng terakhir Kekaisaran Byzantium itu pun dikalahkan. Lalu pada abad ke-16, Daulah Islam berjaya membuka (futuhat) seluruh bahagian selatan dan timur Eropah dengan membawa Islam kepada bangsa-bangsa tersebut. Akhirnya, jutaan penduduk Albania, Yugoslavia, Bulgaria dan negara-negara lain memeluk Islam. Setelah pengepungan Vienna pada tahun 1529, Eropah membentuk pasukan bersekutu (allies) untuk menyekat pengembangan Daulah Khilafah di Eropah. Pada titik itulah bangkitnya permusuhan pasukan Salib terhadap Islam dan Khilafah. Lalu dibuatlah rancangan-rancangan berkaitan dengan “masalah ketimuran” seperti yang sudah dimaklumi dalam sejarah. Setelah kekalahan mereka di tangan pasukan Islam, pasukan Salib menyedari bahawa kekuatan Islam adalah kerana ‘akidah Islam’ yang dimiliki oleh umat Islam. Selagi mana kaum Muslimin berpegang teguh dengan Islam dan ajaran al-Qur’an, maka Khilafah tidak akan dapat dihancurkan. Mereka lalu merubah fokus peperangan kepada peperangan pemikiran.

Inilah sebabnya di akhir abad ke 16, mereka mendirikan pusat misionaris pertama di Malta dan membina markasnya untuk melancarkan serangan misionaris terhadap dunia Islam. Inilah peringkat awal masuknya tsaqafah (kebudayaan) Barat ke dunia Islam yang dilakukan olehb para misionaris British, Perancis dan Amerika. Misionaris itu melakukan usaha tersembunyi ini atas nama lembaga-lembaga pendidikan dan ilmu pengetahuan. Pada awalnya, kesan dari tindakan itu hanya kecil sahaja, tetapi di sepanjang abad ke-18 dan 19 ketika kemunduran melanda Daulah Khilafah, mereka mampu mengeksploitasi kelemahan Khilafah dan menyebarkan konsep-konsep mereka ke dalam masyarakat. Di abad ke-19, Beirut menjadi pusat aktiviti misionaris. Selama masa itu, kumpulan misionaris mengeksploitasi perselisihan dalaman di antara Kristian dan Druze dan kemudian antara Kristian dan Muslim, dengan British berpihak kepada Druze sementara Perancis berpihak pada Kristian Maronite. Selama masa itu, misionaris memiliki dua agenda utama: (1) Memisahkan orang Arab dari Khilafah Uthmaniyah (2)  Membuat kaum Muslimin merasa terasing dari ikatan Islam (dengan cara menjauhkan kaum Muslimin dari ajaran Islam).

Pada tahun 1875 “Persekutuan Rahsia” dibentuk di Beirut dalam usaha untuk mendorong nasionalisme Arab di kalangan rakyat. Melalui kenyataan-kenyataan dan selebaran-selebaran, persekutuan itu menyerukan kemerdekaan politik orang Arab, khususnya mereka yang tinggal di Syria dan Lebanon. Dalam literaturnya, mereka berulangkali menuduh Turki merebut keKhilafahan dari orang Arab, melanggar syariah dan mengkhianati agama Islam. Hal ini memunculkan benih-benih nasionalisme yang akhirnya berbuah pada tahun 1916 ketika British memerintahkan seorang ejennya, Syarif Hussein dari Mekah untuk melancarkan pemberontakan Arab terhadap Khilafah Uthmaniyah. Pemberontakan ini berjaya mengeluarkan tanah Arab dari Khilafah dan kemudian menempatkan tanah itu di bawah mandat British dan Perancis. Pada waktu yang sama, nasionalisme mula dikobarkan terhadap orang-orang Turki. Gerakan Turki Muda didirikan pada 1889 atas asas nasionalisme Turki dan dapat meraih kuasa pada 1908 setelah mengusir Khalifah Abdul Hamid II. Pengkhianat, Mustafa Kamal yang menghapuskan Khilafah adalah salah seorang anggota Gerakan Turki Muda. Inilah alasannya mengapa Mustafa Kamal kemudian berkata, “Bukankah kerana Khilafah, Islam dan ulama yang menyebabkan para petani Turki berperang hingga mati selama lima abad? Sudah waktunya Turki mengurus urusannya sendiri dan mengabaikan orang India dan orang Arab. Turki mesti melepaskan dirinya untuk memimpin kaum Muslimin.”

Di samping aktiviti yang dilakukan oleh misionaris British dan Perancis, mereka bersama dengan Rusia mula melakukan penjajahan langsung di banyak bahagian wilayah Islam. Ini dimulai pada pertengahan abad ke-18 iaitu pada tahun 1768 ketika Catherine II dari Rusia berperang dengan Khilafah dan mereka berjaya menduduki wilayah Islam di Selatan Ukraine, Kaukasus Utara, dan Crimea yang kemudian dijadikan bahagian dari Kekaisaran Rusia. Perancis menyerang Mesir dan British mulai menduduki India. Di Abad ke-19,Perancis menduduki Afrika Utara dan British menduduki Mesir, Sudan, dan India. Sedikit demi sedikit wilayah Khilafah menjadi berkurang hinggalah akhir PD I di mana apa yang tersisa hanyalah Turki, yang diduduki oleh pasukan sekutu di bawah perintah Jeneral British, Charles Harrington.

Pemecahan dan pembahagian tanah Khilafah dilakukan melalui sebuah perjanjian rahsia antara British dan Perancis pada 1916 iaitu Perjanjian Sykes-Picot. Rancangan jahat ini dibuat antara diplomat Perancis, François Georges-Picot dan penasihat diplomat British, Mark Sykes. Di bawah perjanjian itu, British mengawal Jordan, Iraq dan wilayah kecil di sekitar Haifa. Perancis diberikan kawalan atas Turki wilayah Selatan-Timur, utara Iraq, Syria dan Lebanon. Puak kuffar Barat itu dengan begitu bebas melakar garis perbatasan di dalam wilayah Khilafah (sehingga kini kita masih dapat saksikan peta Timur Tengah yang wujud, adalah kesan dari garis-garis sempadan yang dilakar oleh Sykes dan Picot).

Pada tahun-tahun berikutnya proses kehancuran Khilafah, British memainkan peranan utama dengan cara memelihara dan mendidik ejennya Mustafa Kamal Attartuk laknatullah. Melalui sejumlah percaturan politik dengan bantuan British, Mustafa Kamal berjaya menjadikan dirinya berkuasa di Turki. Pada 1922, Konferensi Lausanne diadakan oleh Menteri Luar British, Lord Curzon untuk membincangkan ‘kemerdekaan’ Turki. Turki pada waktu itu berada di bawah pendudukan pasukan sekutu dengan institusi Khilafah hanya tinggal nama sahaja. Selama konferensi itu, Lord Curzon menetapkan empat syarat sebelum mengakui kemerdekaan Turki. Syarat-syaratnya adalah:

(1) Penghapusan Khilafah sepenuhnya

(2) Pengusiran Khalifah ke luar perbatasan

(3) Perampasan aset-aset Khilafah

(4) Pengumuman bahawa Turki menjadi sebuah Negara Sekular.

Walau dengan tekanan asing yang begitu hebat itu pun, ternyata masih ramai kaum Muslimin di Turki yang menghendaki dan mengharapkan Negara Khilafah dikekalkan, yang telah menjaga Islam dan kaum Muslimin dengan baik selama beberapa abad sebelum ini dan mereka tidak pernah membayangkan bahawa Khilafah boleh terhapus. Kerana itu, konferensi itu berakhir dengan kegagalan. Namun, Lord Curzon tidak menyerah dan terus mengatur langkah-langkah penyudah dengan lebih licik.