Tragedi 3 Mac : Siri 2

tragedi_3_mac_2Walaupun Dunia Islam berada dalam keadaan lemah disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran, tetapi umat Islam masih meyakini syariah Islam sebagai teras kehidupan, meyakini Khilafah sebagai sistem pemerintahan Islam dan Khalifah sebagai ketua negara. Jadi, mereka masih tetap mempertahankan Khilafah sebagai negara mereka. British berjaya mempergunakan pemimpin umat Islam yang menjadi ejen mereka, dalam usaha mereka untuk meruntuhkan Khilafah.

Pada akhir abad ke-19 (sekitar 1870-an) Midhat Pasha sebagai ’Grand Vazier’ (ketua menteri) telah memperkenalkan perlembagaan sekular di Turki yang diambil dari perlembagaan Belgium. Perlembagaan ini menetapkan adanya Parlimen bagi mewujudkan undang-undang baru berasaskan sistem demokrasi, manakala sistem Khilafah mesti diketepikan. Walaupun perlembagaan ini mendapat tentangan daripada Khalifah Abdul Hamid II pada waktu itu, namun akhirnya selepas pemecatan Abdul Hamid pada 1908 melalui sebuah konspirasi politik, perlembagaan itu berjaya diterapkan berserta dengan undang-undang Perancis.

Para ulama yang cukup lemah pada waktu itu juga telah mengeluarkan fatwa membolehkan penerimaan undang-undang Barat kerana berpendapat ia tidak bertentangan dengan Islam. Ini menyebabkan institusi Khilafah semakin tenat dan menjadikan umat Islam semakin jauh daripada Islam kerana kehidupan mereka diatur oleh sistem Barat dan bukan lagi hukum-hukum Allah.

Nama Mustafa Kamal mula muncul pada 1915. Dia pada mulanya hanyalah seorang pegawai tentera biasa dan tidak terkenal dan mempunyai pemikiran yang cukup sekular. Semasa peperangan di Ana Forta pimpinannya, ketika itu dia merupakan Kolonel yang memimpin satu ketumbukan tentera, Turki sedang berperang dengan British iaitu sebuah kuasa tentera yang sangat besar (sebagai kuasa dunia), secara diam-diam, dia telah berpakat dengan British di mana British kemudian telah mengundurkan tenteranya. Dengan pengunduran British ini, bermakna tentera Kamal telah menang dan nama Kamal pun diangkat sebagai wira negara. Dari situlah pengaruh Kamal dan gerakan pimpinannya (Gerakan Turki Muda) menjadi semakin besar dan penting dalam pentadbiran Turki. Sejak itu, Mustafa Kamal diberi tugas-tugas penting dalam peperangan namun malangnya, bukan peperangan yang berlaku tetapi perjanjian damai dengan musuh Islam yang dibuatnya. Perjanjian-perjanjian tersebut pula hanya berpihak kepada musuh Islam seperti perjanjian untuk mengundurkan tentera di Syria ketika berhadapan dengan British di mana selepas itu British berjaya menguasai Syria.

Selain daripada Kamal Attarturk, pihak yang memainkan peranan secara langsung dalam meruntuhkan sistem Khilafah ialah British. British memang sangat dengki dengan Islam dan mahu menjatuhkan Khilafah sebagai dendam kesumat sejak kekalahan mereka dalam perang Salib lagi. Sebelum kemunculan Kamal lagi, British telah meniupkan semangat patriotisme, nasionalisme Arab dan nasionalisme Turki supaya perpaduan di kalangan umat Islam terpecah. Kemudian, para nasionalis yang mendukung idea ini menuntut kemerdekaan daripada Khilafah Uthmaniyyah iaitu dengan memisahkan wilayahnya daripada kesatuan Khilafah. Dengan kelicikan dan usaha berterusan puak kuffar ini, wilayah Khilafah yang besar itu berjaya dipecahkan oleh Barat menjadi Arab Saudi, Jordan, Mesir, Iraq, Lebanon dan negara-negara kecil lainnya dan Barat kemudian memerintah di negara-negara tersebut melalui mekanisme ’pecah dan perintah’(divide and rule).

Setelah kesatuan umat Islam di wilayah-wilayah lainnya sudah terpecah-belah, sasaran Barat seterusnya ialah Turki yang masih berada di bawah Institusi Khilafah. Selepas PD I iaitu pada tahun 1921 di mana Khilafah Uthmaniyyah telah nazak, British telah memfokuskan ketenteraannya di Turki dalam usaha memusnahkan sisa-sisa kekuatan Khilafah Islamiyah. Pada masa yang sama, British di bawah pimpinan Jeneral Harrington telah pun mengawal keadaan politik di Istanbul.

Mustafa Kamal Attartuk dan Gerakan Turki Muda dengan bantuan British telah mengadakan beberapa siri pemberontakan untuk memerdekakan Turki daripada Khilafah. Jeneral Harrington bekerjasama dengan Mustafa Kamal untuk menggulingkan Khalifah. Pada bulan November 1922, Perhimpunan Kebangsaan (National Assembly) di bawah pengaruh Mustafa Kamal mula mengorak langkah untuk meruntuhkan Khilafah. Mustafa Kamal memberi cadangan supaya memisahkan Sultan/Khalifah daripada keKhilafahan dan kemudian memecat Khalifah. Perhimpunan Kebangsaan (PK) tidak bertindak sendiri tetapi merujuk cadangan tersebut kepada sebuah suruhanjaya yang antaranya terdiri daripada ulama’. Setelah suruhanjaya berbincang dan merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis, mereka mendapati Khilafah tidak boleh diruntuhkan kerana ia merupakan pusat kehidupan umat Islam. Maka, suruhanjaya tidak bersetuju dengan cadangan Kamal dan menolaknya.

Ketika itu, Kamal yang turut hadir dalam perbincangan antara suruhanjaya dan PK tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan terus berdiri di atas kerusi seraya menjerit “Sultan mesti dipisahkan daripada Khilafah dan dipecat. Ini pasti akan berlaku pada kamu sama ada kamu suka atau tidak. Kepala sebahagian dari kamu akan jatuh dalam proses ini”. Kenyataan ini menggemparkan dewan, ditambah lagi semua pengawal-pengawal yang mengiringi Kamal membawa senjata. Akhirnya PK perlu membuat keputusan melalui pengundian tetapi hasil pengundian tetap tidak berpihak kepada Kamal. Namun Kamal telah menggunakan taktik kotor dan memutuskan bahawa PK telah bersetuju untuk memecat Khalifah, membubarkan sistem Khilafah, menjadikan Turki negara Republik dan dia sebagai Presidennya. Ahli-ahli PK tidak berpuas hati dengan keputusan itu tetapi Kamal tidak mempedulikannya. British telah membekalkan senjata kepada pengikut-pengikut Kamal untuk menentang sesiapa sahaja yang masih setia kepada Khalifah. Semua ahli politik dan ulama’ diberi amaran akan dibunuh jika cuba menyokong Khalifah.

Dengan dukungan dan kekuatan dari British, akhirnya pada pagi 3 Mac 1924, Mustafa Kamal laknatullah telah mengumumkan penghapusan Khilafah dan pemisahan agama Islam daripada Negara. Kamal lalu memerintahkan Khalifah terakhir, Khalifah Abdul Majid II supaya meninggalkan Turki sebelum subuh hari yang sama. Polis dan tentera dikerah berhimpun di  istana Khalifah dan memaksa Khalifah memasuki kereta dan seterusnya membawanya ke Switzerland. Dua hari selepas itu, Kamal Attartuk mengumpulkan semua waris Khalifah dan mengusir mereka ke luar negara. Kesemua aktiviti keagamaan dimansuhkan, semua sekolah-sekolah agama ditukar kepada sekolah sekular, mahkamah Islam dimansuhkan dan undang-undang sekular dilaksanakan sepenuhnya. Akhirnya impian British untuk meruntuhkan Khilafah Uthmaniyyah sebagai Daulah Islam yang terakhir, telah tercapai, melalui tangan Mustafa Kamal laknatullah.

Perjanjian Lausane yang diketuai oleh British mengiktiraf kemerdekaan Turki dan pada tahun yang sama, British membawa keluar semua tenteranya dari Turki setelah meletakkan dan meyakini ejennya, Mustafa Kamal sebagai penguasa di Turki, akan memerintah Turki mengikut kehendak British. Lord Curzon dengan bangga dan angkuhnya berkata, “Faktanya sekarang adalah bahawa Turki telah mati dan ia tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan ruhnya (yakni) Khilafah dan Islam.” Tidak berakhir di situ, dalam memastikan bahawa Khilafah tidak akan bangkit lagi, Lord Curzon berkata, “Kita mesti hapuskan sebarang usaha yang boleh membawa kepada penyatuan di kalangan anak-anak kaum Muslimin. Sebagaimana kita telah berjaya menghancurkan Khilafah, maka kita mesti memastikan bahawa umat Islam tidak akan bersatu kembali, baik secara intelektual mahupun budaya.”