Tukar nakhoda tanpa arah pelayaran yang benar, penumpang akan terus hanyut

Perkembangan politik negara kelihatan sedikit ceria bagi sesetengah pihak apabila berlakunya pertukaran tampuk kepimpinan gabungan pembangkang, yang semua sudah maklum tanpa perlu disebut namanya. Bagi mereka yang sudah lama menanti, pertukaran ini dilihat sebagai satu nafas baru atau strategi politik yang ampuh. Malah, kegembiraan dan keyakinan segolongan pihak sungguh luar biasa sehingga meletakkan muka baru ini sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia ke-11.
Namun, bagi umat Islam yang menjadikan akidah dan syariat sebagai kayu ukur, tentunya tidak akan mudah terbuai, jauh sekali untuk merasa bangga atau gembira dengan sebuah pertukaran wajah semata-mata. Apa jaminan yang ada bahawa nakhoda baru akan membawa kapal belayar menuju destinasi? Sebelum itu, persoalan penting yang perlu dipertanyakan ialah ke manakah destinasi kapal di bawah nakhoda baru ini? Apakah destinasinya juga baru, atau destinasi yang sama sahaja dengan nakhoda lama?
Kita tidak menafikan bahawa para penumpang sangat memerlukan seorang nakhoda yang dapat memandu dan menjaga mereka di sepanjang pelayaran, apatah lagi ketika samudera sangat bergelora. Kedudukan nakhoda yang buruk sangat mudah disedari dan sentiasa disedari oleh para penumpang, sehingga mereka ingin membuangnya dan menggantikannya dengan yang lain. Malangnya apa yang tidak disedari oleh para penumpang ialah arah pelayaran yang dibawa oleh sang nakhoda.
Mengambil peduli tentang nakhoda tanpa mengambil peduli tentang arah pelayaran, hanya akan membawa kapal ke destinasi yang salah, atau mungkin tidak akan pernah sampai ke destinasi yang diimpikan. Para penumpang tentunya tidak hanya memerlukan nakhoda yang baik, tetapi arah pelayaran dan destinasi yang diredhai oleh Allah. Tidak ada gunanya seorang nakhoda yang baik yang membawa para penumpang ke pulau maksiat.
Menegakkan agama Allah dan mendirikan sebuah Negara Islam (Khilafah) yang akan menerapkan hukum-Nya secara kaffah, merupakan kewajipan setiap Muslim, dan seharusnya menjadi perjuangan hidup dan matinya. Hendak bernaung di bawah parti apa, atau diterajui oleh insan mana pun, ya silakan, asalkan perjuangan parti adalah ke arah ini – penegakan hukum Allah secara kaffah di bawah naungan Khilafah.
Dengan kata lain, arah perjuangan parti hendaklah benar – mengikut arah perjuangan yang telah digariskan oleh Rasulullah (saw) – yang telah berdakwah secara kutlah selama 13 tahun di Mekah sehingga tertegaknya Negara Islam pertama di Madinah, dan menyambung perjuangan dakwah secara bernegara selama 10 tahun. Semuanya demi mendirikan agama Allah secara kaffah, menyebarluaskannya ke seluruh alam dan menjadikannya rahmatan lil alamin.
Sebuah parti yang benar-benar ingin menegakkan hukum Allah secara kaffah tentunya tidak akan mengambil jalan demokrasi, kerana jalan demokrasi bukan sahaja merupakan jalan yang terbukti gagal, malah ia merupakan jalan yang disediakan oleh kafir penjajah yang bertentangan dengan Islam, dan yang tidak akan dapat menerapkan Islam selama-lamanya, kerana ia sememangnya dicipta oleh kafir penjajah bagi memastikan Islam tidak akan kembali tegak di muka bumi.
Sejarah telah membuktikan bahawa Islam tidak pernah dapat diterapkan secara kaffah melalui jalan demokrasi walaupun parti-parti Islam telah menang pilihan raya dan duduk di kerusi pemerintahan. Sistem ini direka untuk melindungi ideologi sekular; ia memaksa sesiapa sahaja yang menyertainya untuk berkompromi dengan undang-undang kufur; untuk terikat dengan perlembagaan pemberian penjajah; untuk tunduk kepada amalan politik pragmatik demi meraih undi; dan untuk mengurung Islam hanya di masjid dan surau atau majlis-majlis ilmu sahaja.
Justeru, sebuah kapal yang belayar di lautan demokrasi tanpa arah tuju yang benar akan terus hanyut di lautan demokrasi. Kapal tidak akan sampai ke destinasi yang diredhai Allah, lebih-lebih lagi jika arah tujunya memang bukan ke situ, sebaik apa pun nakhodanya. Umat Islam bukan sekadar memerlukan nakhoda yang baik, tetapi nakhoda yang tahu arah pelayaran dan destinasi yang ingin dituju. Tanpa nakhoda dan arah pelayaran yang benar, umat ini akan terus kehilangan arah dan kekecewaan demi kekecewaan akan terus menimpanya, walau berganti 10 nakhoda sekali pun.
Wallahu a’lam.