Tukar Pemimpin Tanpa Tukar Sistem Ajaran Penjajah
Wacana politik tanah air sering kali berkisar pada pertukaran pemimpin atau kerajaan. Setiap kali berlaku ketidakpuasan terhadap pentadbiran semasa, laungan untuk menukar Perdana Menteri kembali bergema. Kitaran ini terus berulang biar pun sudah terbukti bahawa pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan tidak pernah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara.
Malah, telah terbukti berkali-kali juga bahawa apabila Perdana Menteri bertukar, mereka tetap sahaja melantik ahli-ahli kabinet yang dikitar semula, yang sebelumnya mereka sendiri kecam dan sudah terbukti gagal. Aneh tapi benar, inilah apa yang berlaku di Malaysia secara berulang-ulang, yang mencerminkan cara berfikir ahli-ahli politik dan penyokong mereka yang sukar difahami oleh akal yang waras.
Sistem pemerintahan dan politik Malaysia adalah sekular, yang berasal dari penjajah. Diakui atau tidak, kafir British merupakan pencorak kepada cara berfikir ahli-ahli politik di Malaysia, khususnya melalui perlembagaan yang mereka tinggalkan. Lord Reid selaku penggubal perlembagaan telah berjaya “menyihir” sebahagian umat Islam secara amnya, dan ahli-ahli politik secara khususnya untuk mempercayai (dan mengamalkan) bahawa perlembagaan merupakan kitab yang lebih tinggi daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
Dalam kitab inilah (perlembagaan), kafir British telah menetapkan yang sistem pemerintahan Malaysia ialah demokrasi berparlimen, dan tidak ada seorang pun yang dibenarkan untuk merubah sistem ini. Apa yang dibenarkan untuk diubah ialah orangnya sahaja, tanpa menyentuh sistemnya. Itu pun, Lord Reid telah mengajar secara terperinci bagaimana untuk menukar Perdana Menteri atau menteri-menteri kabinet, dan tidak ada seorang pun boleh merubah cara yang dia telah tetapkan. Sedikit sahaja pelanggaran kepada apa jua yang telah ditetapkan oleh Lord Reid di dalam perlembagaan, akan menjadi satu kesalahan jenayah yang sangat besar!
Di atas landasan perlembagaan inilah sistem pemerintahan dan politik Malaysia berjalan dan berfungsi, dan siapa pun tidak dibenarkan tergelincir walaupun seinci, daripada landasan ini. Perubahan yang dibenarkan berlaku hanyalah perubahan “orang-orang” yang menerajui sistem ini, tidak kira dari badan eksekutif, legislatif mahupun kehakiman, tetapi “sistem”nya sama sekali tidak boleh diubah. Inilah cara berfikir (dan cara beramal) yang telah diajar dan dimaktubkan dan “disimpul mati” oleh penjajah ke atas umat Islam di Malaysia.
Atas dasar itulah, tidak akan ada seorang pun ahli politik, malah termasuk golongan agamawan mahu pun cerdik pandai, yang terfikir untuk merubah sistem, kerana fikiran mereka telah diikat mati oleh penjajah. Bagaimana buruk pun nasib rakyat dan negara ini, apa yang mereka fikir hanyalah menukar orangnya, bukan sistemnya, walau pun ternyata sistemnya sangat bermasalah. Begitulah hebatnya kejayaan penjajah dalam menjajah minda rakyat negara ini, biar pun mereka (penjajah) telah lama keluar dari tanah jajahan mereka ini.
Perlembagaan yang “menjajah”
Kerangka pemerintahan negara ini berasaskan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, sebuah kerangka yang dibentuk oleh British, dengan “copy paste” apa yang diamalkan di negara mereka.
Perkara 43(2)(a) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Perkara 46 pula menggariskan struktur dan bilangan keanggotaan Parlimen. Manakala Bab 3 dan Bab 4 masing-masing memperuntukkan mengenai badan eksekutif dan kehakiman. Manakala Perkara 10 memperuntukkan hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan – semua ini adalah ciri-ciri utama sistem demokrasi.
Selain peruntukan-peruntukan di atas yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan negara, terdapat beberapa peruntukan lain yang secara langsung atau tak langsung menghalang sebarang usaha menggantikan sistem pemerintahan negara ini, termasuklah jika ingin digantikan dengan sistem pemerintahan Islam sekali pun.
Perkara 4(1) memperuntukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya akan terbatal. Ini menjadikan sebarang usaha untuk menerapkan undang-undang Islam – yang sudah pastinya bertentangan dengan undang-undang sekular – terhalang dengan sendirinya, atau jika cuba diterapkan sekali pun, akan terdedah kepada cabaran dan pembatalan oleh mahkamah sivil.
Ramai yang cuba berhujah dengan Perkara 3(1) bahawa Islam ialah agama Persekutuan, yang dikatakan satu peruntukan penting yang menjadi penjaga kepada agama Islam di negara ini. Malangnya mereka gagal memahami tafsiran Mahkamah Persekutuan terhadap peruntukan tersebut dalam kes Che Omar Che Soh v PP, bahawa perkataan “Islam” di situ hanya bermaksud sebatas dalam majlis atau upacara, bukannya Islam sebagai dasar pemerintahan, jauh sekali Islam sebagai way of life.
Selain itu, Perkara 74 dan Jadual Kesembilan memperuntukkan had kuasa undang-undang Islam kepada skop yang sangat terbatas – hanya dalam bidang kekeluargaan dan hal ehwal peribadi di bawah Senarai Negeri. Dengan peruntukan sesempit ini, bagaimana mungkin seseorang boleh berhujah bahawa perlembagaan menjaga Islam? Realitinya, perlembagaan-lah yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan Islam. Tidak mungkin untuk kafir penjajah yang anti Islam itu menganugerahkan sebuah perlembagaan yang “Islami” kepada umat Islam.
Hal ini boleh dilihat melalui beberapa percubaan di peringkat negeri untuk memperluas bidang kuasa syariah, namun sering dicabar oleh pihak-pihak tertentu kerana bertentangan dengan perlembagaan. Kita telah menyaksikan beberapa cabaran terhadap undang-undang syariah yang dibawa oleh beberapa pihak ke mahkamah sivil, lalu mahkamah sivil membatalkan undang-undang syariah tersebut kerana ternyata bertentangan dengan perlembagaan. Ringkasnya, perlembagaan menang, undang-undang syariah kalah.
Perlembagaan dan ahli politik
Isu yang perlu difahami oleh umat Islam di sini bukan sahaja halangan perlembagaan, tetapi lebih utama dari itu ialah kedudukan “undang-undang syariah” itu sendiri yang bukanlah merupakan undang-undang syariah yang sebenar menurut Islam. Sebagaimana undang-undang sivil, undang-undang syariah juga terpaksa melalui proses penggubalan yang sama di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri, yang menjadikan statusnya sama sahaja iaitu undang-undang buatan manusia.
Atas dasar itu, banyak daripada “undang-undang syariah” yang terdapat di negeri-negeri yang jelas-jelas bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Apa tidaknya, undang-undang tersebut lahir dari sistem demokrasi yang telah menetapkan bahawa pembuat undang-undang ialah manusia, bukannya Tuhan manusia. Justeru, kesemua “undang-undang syariah” yang ada pada hari ini sesungguhnya lahir dari acuan manusia, bukannya dari acuan Allah.
Sangat penting untuk difahami bahawa perlembagaan yang diberi oleh penjajah kepada Tanah Melayu telah menetapkan sistem demokrasi sebagai asas pemerintahan negara ini, yang tidak boleh diubah, kecuali dengan meminda perlembagaan itu sendiri, yang mana sangat sukar untuk dilakukan. Penjajah yang licik telah menggubal perlembagaan dalam bentuk sedemikian rupa dalam rangka menghalang sebarang usaha untuk menggantikan sistem pemerintahan negara dengan sistem yang mereka tidak redha, khususnya sistem Islam.
Itu dari satu sisi. Dari sisi lain, kita perlu faham bahawa halangan untuk merubah sistem demokrasi-sekular ini kepada sistem Islam bukan sahaja datang dari perlembagaan atau perundangan, tetapi lebih utama sebenarnya datang daripada ahli-ahli politik itu sendiri, yang pemikiran mereka sudah terbius dengan cara berfikir yang telah diset oleh penjajah. Melalui setting yang ditetapkan oleh penjajah, hanya pertukaran pemimpin sahaja yang dibenarkan, manakala sistemnya “haram” untuk ditukar. Setting ini telah tertanam kukuh dalam otak para ahli politik. Atas dasar itulah, rakyat terus diheret oleh ahli-ahli politik ini ke dalam kitaran pertukaran pemimpin semata-mata, tanpa pertukaran sistem.
Sejak merdeka hingga kini, sepuluh orang Perdana Menteri telah mengemudi negara – daripada pelbagai parti dan gabungan parti politik – namun sistemnya tetap sama. Hasilnya, masalah rakyat dan negara tidak pernah selesai, malah banyak yang semakin memburuk. Rakyat kekal berada dalam kitaran kezaliman yang sama – ditindas oleh penguasa yang bersilih ganti dari parti mana sekali pun, dan ditindas pula oleh sistem yang tidak menjadikan Islam sebagai asas pemerintahan.
Kesimpulan
Umat Islam perlu keluar daripada penjajahan pemikiran yang telah membelenggu mereka sejak sekian lama. Ingatlah bahawa jika perjuangan kita hanyalah untuk menukar pemimpin, bukannya sistem, maka ini merupakan ajaran penjajah dan inilah apa yang dimahukan oleh penjajah. Inilah “setting” penjajah kepada kita yang mereka tidak mahu kita ubah. Padahal kita boleh dan kita wajib merubah setting ini. Sesungguhnya jalan perubahan ada di tangan setiap dari kita – sama ada kita mahu terus kekal dengan setting ini dan terus hidup menderita di bawah belenggu sistem demokrasi yang penuh masalah, atau merubah setting ini dan berjuang untuk hidup sejahtera di bawah naungan sistem Islam yang penuh barakah – Khilafah ala minhaj nubuwwah.
Wallahu ‘alam.