Tulisan Jawi Bukan Sekadar Nilai Sastera

Hubungkait antara Tulisan Jawi dan Perkembangan Islam di Nusantara

Dalam dunia penulisan dan persuratan Bahasa Melayu, perubahan tulisan berlaku dengan signifikan sesuai dengan demografi dan perkembangan sosio-agama di Nusantara (Asia Tenggara). Sebelum kedatangan Islam ke rantau ini, bentuk tulisan Pallava hasil daripada pengaruh Hindu dan Buddha diguna pakai. Namun dengan kedatangan Islam seawal abad ke 10 M seiring dengan aktiviti-aktiviti perdagangan, tulisan Pallava yang kemudiannya berevolusi kepada tulisan Rencong dan tulisan Kawi sudah tidak menjadi efektif sebagai medium dakwah Islam melalui tulisan.

Maka, para pendakwah Islam pada ketika itu mula memperkenalkan tulisan berdasarkan abjad-abjad arab. Penterjemahan kitab-kitab arab ke dalam Bahasa Melayu dengan penggunaan tulisan jawi dipergiatkan agar pembelajaran al-Quran dan hadis menjadi lebih efektif sehingga proses pemahaman terhadap Islam menjadi lebih mudah bagi rumpun Melayu-Jawi di rantau ini. Memang sesuatu yang tidak dapat dinafikan tulisan Jawi sememangnya sebahagian perkembangan tiga elemen sekaligus iaitu ilmu, sistem dan syiar Islam. Tulisan Jawi merupakan salah satu faktor utama penyebaran Islam menjadi pesat di rantau ini.

Sebenarnya perkataan Javah dan Jawi merujuk semua bangsa dan kaum yang ada merangkumi seluruh rumpun Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Mendailing, Minangkabau, Bugis, Boyan, Lombok, Filipina, dan lain-lain. Sebab itulah para ulama’ Nusantara meletakkan gelaran al-Jawi pada hujung nama sebagai tanda mereka golongan Muslim daripada rantau ini sebagai contoh;

  1. Syeikh Rauf al-Fansuri al-Jawi
  2. Syeikh Abdul Samad al-Falimbani al-Jawi
  3. Syeikh Daud al-Fathoni al-Jawi

dan lain-lain.

Islam Mengangkat Kedudukan Orang Melayu

Tidak dinafikan sebagaimana Islam mengangkat bangsa Arab menjadi bangsa yang bertamadun dan berkuasa sehingga mampu menundukkan Empayar Rom dan Empayar Parsi pada abad ke 7M dan selepasnya, hal yang sama berlaku pada bangsa Melayu rumpun Nusantara. Pada awalnya bahasa Melayu bukan bahasa yang penting menurut anggapan ahli sejarah, tetapi “hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan Melayu sahaja”. Bilangan manuskrip dan artifak berkaitan Bahasa Melayu pada zaman melayu kuno terhad sebab pada masa itu budaya penulisan dan persuratan Melayu tidak berkembang.

Namun seawal abad ke 10M, kedatangan Islam telah mengangkat martabat orang Melayu Nusantara. Ini dibuktikan dengan banyak artifak tertulis Jawi di atasnya dan manuskrip-manuskrip rasmi seluruh Kesultanan Melayu ditulis dengan tulisan jawi dalam hal perihal pemerintahan, undang-undang dan hubungan luar negeri. Dalam Sejarah Melayu dicatatkan bahawa tulisan Jawi telah digunakan untuk perkara berikut:

  1. Prasasti atau batu bersurat. Contohnya Batu Bersurat Terengganu (1303 M) yang telah ditemui di Sungai Teresat, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
  2. Batu hidup. Tulisan ini terdapat pada batu hidup yang ditemui di Pangkalan Kempas, Negeri Sembilan.
  3. Batu Nisan. Ini banyak terdapat di berbagai-bagai tempat bekas berdirinya kerajaan-kerajaan Islam pada zaman lalu.
  4. Mata wang, terutama wang emas dan perak. Pada mata wang ini diukir nama raja Melayu yang memerintah dengan menggunakan tulisan Jawi seperti nama Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan lain-lain.
  5. Surat kiriman antara raja. Ini banyak dibuat bukan sahaja antara raja Melayu tetapi juga dengan raja-raja di tempat lain seperti raja Melayu dengan raja Portugal atau raja Inggeris atau raja-raja yang lain.
  6. Kitab dan buku. Jenis ini yang paling banyak terdapat sama ada dalam bentuk manuskrip (bertulisan tangan) atau cap batu.
  7. Surat-surat perjanjian antara raja dan negara di Alam Melayu.
  8. Catatan-catatan pemilikan dan perdagangan terutama di pelabuhan dan kapal-kapal perdagangan.
  9. Surat khabar dan majalah seperti surat khabar Alamat Lankapuri, Majalah Bustan Arifin, surat khabar Jawi Peranakan dan majalah al-Imam.
  10. Piagam dan teks pemasyhuran. Contohnya seperti tulisan pada teks ciri yang dibacakan ketika melantik seseorang itu menjadi pembesar.

Semua ini melambangkan bangsa Melayu menjadi sangat maju, bersistem dan tampil unggul menjadi kuasa di Asia kerana Islam.

Islam, Deen untuk Semua Kaum dan Bangsa

وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ كَآفَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا

“Dan Kami tidak mengutusmu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan”[Surah Saba’ (34): 28].

قُلْ يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا

“Katakanlah hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua” [Surah al-A’raf (7): 158].

Diutuskan Nabi Muhammad SAW adalah untuk keseluruhan manusia tidak kira apa jua kaum atau bangsanya. Perintah Allah SWT dalam dua ayat di atas iaitu menunjukkan bahwa Nabi Muhammad diutus untuk seluruh manusia.

Kedatangan Islam mengangkat martabat manusia disisi Allah SWT. Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah SWT (akidah dan Ibadah), mengatur hubungan manusia dengan dirinya (akhlak, makanan dan pakaian) dan mengatur hubungan manusia sesama mereka (muamalah dan politik dalam masyarakat dan negara). Maka pengaturan urusan individu, masyarakat dan negara sewajar dan sewajibnya sesuai menurut apa yang diperintahkan oleh Allah SWT walaupun bagi yang bukan Islam.

Oleh itu, umat Islam tidak perlu bersikap apologetik dalam hal memperkasakan tulisan Jawi kepada bukan Islam sehingga mengatakan polisi tersebut tiada kena mengena dengan usaha Islamisasi. Kita sewajarnya menyatakan dengan jelas bahawa Islam merupakan Deen yang perlu diperkenalkan pada semua Muslim dan bukan Muslim. Kita HARAM untuk memaksa mereka yang bukan Islam memeluk Islam, tetapi WAJIB MEMAKSA MEREKA MENGENALI syiar dan syariat Islam melalui sistem-sistem termasuk SISTEM PENDIDIKAN.

Kita juga wajib bersikap tegas terhadap mereka yang membawa agenda Islamofobia daripada kalangan kelompok-kelompok bukan Islam supaya usaha untuk memperkenalkan syiar dan syariat Islam dapat dilakukan dengan lebih efektif.

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam” [Surah ali-Imran (3): 19].

Tiada agama yang diterima disisiNya selain Islam. Maka sewajarnya kita memaksimumkan usaha dakwah melalui penerapan sistem Islam agar mereka bukan Islam kembali memeluk Deen ini dan menjadi manusia yang berjaya di dunia yang sementara ini dan di akhirat yang kekal abadi.

Mohammad Haswaneezal Rizan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia