Tunggu giliran sehingga 70 tahun: Antara ugutan dan realiti

jamil-khirLembaga Tabung Haji (TH) adalah satu-satunya syarikat GLC negara yang menguruskan urusan ibadah haji yang terkenal di seantero dunia dengan pengurusan yang diiktiraf sebagai sistematik dan efisien. Kerana itu, tidak hairanlah apabila TH sering dipuji oleh negeri-negeri umat Islam lain, termasuklah Arab Saudi sendiri.

Namun, di sebalik pujian melambung dan sikap bangga diri yang ada pada TH, terdapat ‘kurap’ yang cuba disembunyikan yang jika ia terdedah sedikit demi sedikit, maka kebusukannya sudah pasti tidak akan dapat disembunyikan lagi.

Sejak dulu TH diterajui oleh mereka yang dekat dengan UMNO atau ahli UMNO sendiri. Terbaru, Peguam Negara yang penuh kontroversi turut dilantik menjadi ahli lembaga pengarahnya yang baru. Sebagai sebuah badan yang terkait dengan kerajaan, hal ini memanglah tidak memelikkan, tetapi siapa sahaja yang berfikiran waras sudah pasti tidak akan dapat menelan kenyataan ini bulat-bulat. Jika UMNO memerlukan wang atau mempunyai masalah kewangan, rakyat yang celik boleh bayangkan ‘kaitan’ antara UMNO dan wang yang begitu bayak dalam TH!

Semua orang tahu yang TH sebelum ini terpalit dengan skandal besar negara, 1MDB. Tidak lama selepas itu terdapat laporan dari Bank Negara terhadap TH yang terbocor ke media sosial mengenai kedudukan kewangan lembaga itu yang sudah pancit, tetapi dinafikan oleh TH sejurus kemudian.

Baru-baru ini pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana pendeposit yang mengeluarkan deposit simpanan TH mereka, boleh menyebabkan hilang giliran dan terpaksa menunggu sehingga 70 tahun untuk menunaikan haji.

Persoalannya, kenapa “ugutan” ini datang sekarang, tatkala TH menafikan laporan Bank Negara dan tatkala UMNO dan negara dilanda masalah hasil skandal kewangan terbesar yang melibatkan presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia?

Kebanyakan pendeposit meletakkan wang masing-masing ke dalam TH hanya kerana satu niat iaitu ingin menyempurnakan rukun Islam kelima itu dalam keadaan yang baik dan mereka meletakkan kepercayaan bahawa TH adalah yang terbaik. Walaupun tahu yang tempoh menunggu agak lama kerana masalah kuota, namun para pendeposit ini tetap bersabar dan mengharapkan yang terbaik dari TH.

Namun, apabila “ugutan” seumpama itu dikeluarkan, setiap orang akan terdetik di hati akan dua perkara. Pertama, untuk tidak mengeluarkan deposit kerana khuatir hilang giliran. Kedua, kenapa perlu dikeluarkan kenyataan sedemikian jika TH adalah satu badan yang kukuh, cekap, bertanggungjawab dan hanya bertujuan untuk memudahkan para pendeposit menunaikan kewajipan haji?

70 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat, malah tidak masuk akal untuk menunggu selama itu. Jika si penyimpan terpaksa mengeluarkan depositnya seawal umur 18 tahun atas sebab keperluan seperti untuk menyambung pembelajaran, maka tempoh menunggu sehingga 70 tahun akan menjadikan gilirannya ke Mekah tatkala usianya mencecah 88 tahun, itu pun jika dia masih hidup dan bertenaga.

Walaupun para pendeposit tahu yang tempoh ini hanyalah anggaran pengiraan yang boleh berubah, tetapi perlukah ada “ugutan” sebegini yang keluar dari mulut Menteri yang menjaga TH yang sepatutnya menggalakkan dan memudahkan rakyat menunaikan haji?

TH sepatutnya berusaha lebih keras bagi memudahkan pendeposit ke Mekah lebih cepat dan sebolehnya dalam usia yang muda, bukannya mengugut pendeposit dalam rangka menutup kelemahan atau kurap yang ada padanya. Contohnya menghapuskan kuota khas untuk menteri atau pegawai tinggi kerajaan dan kesemua kuota khas yang lain kerana hal ini merupakan bentuk diskriminasi yang nyata kepada para pendeposit.

Sesungguhnya “ugutan” menunggu giliran sehingga 70 tahun itu hanyalah menunjukkan kelemahan TH di samping akan menghilangkan lagi kepercayaan para pendeposit ke atas lembaga itu yang telah sedia terpalit dengan pelbagai lumpur bersama parti pemerintah.

Wallahu a’lam.