TV Sarawak, Medium Propaganda Terbaru Kerajaan Sarawak
Pelancaran TV Sarawak (TVS) telah disempurnakan semasa sambutan ulang tahun kelahiran Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang ke-84 pada 11 Oktober lalu. Dengan pelancaran ini, TVS kini boleh diakses melalui saluran TV berbayar seperti Astro. Sebelum ini, TV Sarawak menggunakan platform media sosial seperti Facebook untuk beroperasi. Dengan dilancarkan TVS, maka kerajaan Sarawak akan memiliki tambahan media sebagai lidah rasmi selain apa yang ada ketika ini dengan capaian yang lebih besar terutamanya untuk kawasan pedalaman yang masih rendah capaian jaringan internet.
Televisyen adalah antara medium propaganda yang sangat berkesan. Ia telah lama digunakan oleh pemerintah terutama ketika situasi perang untuk memenangi hati dan psikologi rakyat. Sebagai contoh sebagai medium untuk melancarkan perang saraf tatkala melawan komunis dahulu, sebaran-sebaran leaflet, rancangan televisyen, program- program dan sebagainya telah dilakukan oleh pemerintah untuk mengekang pengaruh komunis.
Tidak dinafikan ia juga boleh memberi kebaikan kepada rakyat sekiranya ia digunakan secara betul, namun hakikatnya stesen televisyen pastinya akan dikuasai oleh parti pemerintah sebagai medium propaganda mereka yang akan memaparkan apa yang “baik-baik” sahaja dan menyembunyikan segala sisi gelap hasil daripada kerosakan pemerintahan mereka. Bayangkan berapa banyak rumah yang boleh mereka masuki dalam satu-satu masa dan berapa ramai penonton serta pendengar yang boleh dipengaruhi dengan adanya stesen televisyen ini.
Selain daripada penyebaran budaya-budaya yang rosak seperti pergaulan bebas, pemikiran liberalisme, pendedahan aurat, aksi-aksi ganas serta tahayul turut boleh merosakkan pemikiran dan budaya masyarakat melalui televisyen. Dengan pelbagai saluran TV yang sudah ada ketika ini, ia sudah cukup untuk membuktikan perkara tersebut.
Lihatlah bagaimana rancangan drama yang sangat jauh dari realiti serta memesongkan fokus umat Islam dalam mengingati dan beribadah kepada Allah. Selain itu, lelaki dan perempuan yang bukan mahram bebas berpegang tangan, berpelukan, malahan berbaring sekatil demi memenuhi skrip lakonan yang disediakan. Bukankah ini merupakan suatu kerosakan?
Dari segi rancangan berita pula, pastinya ia akan memaparkan sisi-sisi indah pemerintah dan segala keburukan yang jauh lebih besar tidak akan disiarkan. Segala kerosakan yang timbul akan diselindungi dengan berita-berita yang menyedapkan halwa telinga seperti program pecah tanah projek baharu serta perasmian jalan itu dan ini.
Realitinya, rakyat masih tidak mendapat segala hak mereka dan pemerintah terus mengaut segala keuntungan daripada segala kesusahan yang dihadapi rakyat. Semoga rakyat Sarawak secara khususnya sentiasa celik politik dan berwaspada dengan propaganda terbaharu daripada kerajaan Negeri Sarawak ini.
Sesungguhnya kenikmatan yang diperoleh rakyat hanyalah sedikit berbanding keuntungan yang akan diperoleh oleh pemerintah Sarawak terutamanya menjelang Pilihanraya Negeri tidak lama lagi. Umpama segala daging habis dimakan oleh penguasa, yang tinggal untuk rakyat cumalah tulang belulang untuk dikongsi bersama yang lain.
Ir. Yusuf M.