Ulama diperguna Sokong Sekularisme
Di antara yang dijemput dan dipergunakan adalah bekas Timbalan Syeikhul Universiti Al-Azhar, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour. Syeikh itu mengatakan kerajaan Malaysia, yang diketuai oleh seorang pemimpin Islam, telah banyak melakukan kebaikan kepada masyarakat serta berusaha membangunkan(mendaulatkan) Islam dan ia seharusnya perlu terus disokong.
Hal itu diterangkan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi bin Haji Abdul Majid, pensyarah di Kulliyyah Ilmu Wahyu Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku penterjemah semasa Sheikh membentangkan kertas kerjanya. Menurut terjemahan Dr Mahmood, rakyat Malaysia harus berterima kasih dan terus menyokong dasar kerajaan yang diamal selama ini kerana ia membantu membangunkan Malaysia sebagai antara Negara Islam termaju di dunia. Pemerintah Islam Malaysia dianggap telah melakukan banyak kebaikan serta membangunkan Islam, maka tidak patut untuk cuba menjatuhkannya terutama melalui cara tidak demokratik. Kerajaan juga dikatakan telah melakukan sebaik mungkin untuk mensejahterakan rakyat, maka rakyat patut terus memberi peluang dan menyokong kerajaan yang ada. “Rakyat dinasihat jangan timbulkan sesuatu perkara yang boleh menghalang perkembangan pembangunan kerana ia boleh menjadi fitnah pula kepada masyarakat itu sendiri,” sebagaimana yang diterjemah oleh Dr Mahmood.
Melihat kepada kenyataan-kenyataan itu, adakah benar ia telah dikeluarkan oleh seorang yang bergelar ulama? Tetapi apa yang pasti, ia menjadi bukti bahawa tujuan utama seminar tersebut diadakan adalah untuk memastikan kerajaan yang ada terus kekal berkuasa. Kerajaan yang sehingga saat ini masih lagi tidak melaksanakan syariat Islam dan terus mengekalkan sistem yang diwarisi daripada British. Urusan muamalat, politik, pendidikan dan penghukuman tidak merujuk kepada Islam sebaliknya, akal yang digunakan. Sedangkan hal ini amat bertentangan dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. FirmanNya;
“Barangsiapa yang tidak memutuskan sesuatu perkara dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”[TMQ Al Maidah(5):45]
Walaupun sehebat mana kemajuan yang dicapai, ia tidak akan memberi apa-apa makna jika hukum-hakam Islam tidak dilaksanakan, isi kandungan Al Quran dan As Sunnah tidak didirikan bahkan ditinggalkan. Tidak cukup dengan itu, berdasarkan ayat di atas, mereka/penguasa yang tidak melaksanakan Islam dianggap telah melakukan kezaliman. Jadi adakah pemimpin seperti ini hendak dikekalkan?.
Rujukan : Utusan Malaysia 16/6/2012