‘Ulama Islam’ terjerat sekali lagi

Pegawai Katolik, Ulama Islam akan bertemu di Rom

Vatican City 4 Jan. – Satu pertemuan yang pertama seumpamanya akan diadakan pegawai katolik dan ahli ulama Islam antara Kristian dan Islam di Rom, kata pegawai kanan Vatican. Pegawai rasmi tertinggi Vatican yang bertanggungjawab dalam perhubungan dengan Islam, Cardinal Jean-Louis Tauran berkata, beliau menjangka kehadiran tiga wakil ulama Islam pada bulan Februari atau Mac untuk kerja-kerja persediaan mengadakan mesyuarat itu. “Dari satu segi, (mesyuarat itu) boleh ditakrifkan sebagai bersejarah,” kata Tauran dalam surat khabar Vatican, L’Ossevatore Romano.

Lebih kurang 138 ahli ulama Islam telah menulis kepada Pope Benedict dan pemimpin Kristian lain pada bulan Oktober, mengatakan “kelangsungan hidup dunia sendiri” mungkin bergantung pada dialog ini.

Bennedict yang merupakan ketua Gereja Katolik dan mewakili lebih setengah penganut Kristian dunia, telah mencetuskan bantahan umat Islam pada tahun 2006 apabila dalam ucapannya membayangkan Islam sebagai agama yang menyokong keganasan dan tidak rasional.

Beliau berkali-kali menyesali ucapan itu tetapi tidak pula memohon kemaafan seperti mana yang diminta oleh umat Islam – Reuters

Sumber: Utusan Malaysia 05/01/08
Ulasan:

Nampaknya sekali lagi pihak kuffar ingin memerangkap umat Islam. ‘Ulama Islam’ yang menyahut seruan ‘dialog’ ini tentunya ulama yang telah ‘disahkan’ oleh negara masing-masing, bukannya ulama yang sebenar. Ulama yang sebenar, kerjanya adalah sebagai pewaris kerja-kerja Nabi, yakni mengajak orang kafir kepada Islam, bukannya berdialog dengan orang kafir untuk menerima agama kufur mereka, seterusnya berkesimpulan bahawa semua agama adalah benar. Nampaknya ‘ulama upahan’ ini begitu jahil seolah-olah tidak pernah membaca ayat-ayat Allah dan mengambil pelajaran dari apa yang terjadi.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah redha kepada kamu sehingga kamu mengikuti milah mereka” [TMQ al-Baqarah (2):120].

Dialog adalah salah satu perancangan kuffar untuk menghilangkan kesucian Islam yang di pelan oleh mereka sejak 30-an lagi. Mereka sungguh benci melihat perkembangan Islam dan mereka sudah tidak mampu mencegahnya lagi. Mereka juga tahu peperangan sudah tidak mampu menundukkan kaum Muslim. Maka ‘dialog’ dilihat sebagai salah satu cara untuk melemahkan Islam dengan mencari titik temu antara agama. Dengan ini, umat Islam akan ‘menghormati’ agama kufur dan menerimanya dengan redha kerana semua agama adalah sama. Di sunilah para ‘ulama’ ini akan dipergunakan sebaik-baiknya oleh pihak kuffar agar boleh diajak berbincang untuk ‘meredhai’ agama selain Islam. Alangkah buruknya ulama ini yang seolah-olah tidak memahami firman Allah,

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam…” [TMQ Ali Imran (3):19]

“Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi” [TMQ Ali Imran (3):85].

Apa lagi yang dikehendaki oleh ulama Islam yang bersetuju berdialog dengan Pope Bendict ini? Adakah ini jawapan ulama Islam ini setelah Pope Benedict menyatakan Islam adalah agama yang menyokong keganasan dan tidak rasional dan Pope tidak pernah memohon maaf? Inilah kesannya apabila ‘ulama’ yang tidak memahami politik dan memisahkan politik dari Islam. Mereka tidak pernah faham agenda politik kaum kuffar di dalam memerangi umat Islam. Pelbagai bentuk peperangan pemikiran yang dilancarkan untuk melemahkan pemikiran kaum Muslimin. Sesungguhnya Allah swt telah mengingatkan kita semua tentang perangai puak kuffar ini,

“…Mereka tidak akan pernah berhenti memerangi kalian sehingga mereka dapat memalingkan kalian dari agama kalian (kepada kekafiran) seandainya mereka mampu…” (TMQ al-Baqarah : 217)

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam adalah ‘berdebat’, bukannya berdialog dengan pihak kuffar ini. Kita wajib berdebat dengan mereka untuk menerangkan ‘kebenaran’ agama Islam dan ‘kesalahan’ agama mereka. Kita wajib berdebat (tidak memaksa) untuk mengajak mereka masuk ke dalam satu-satunya agama Allah yang benar Islam), bukannya berdialog dengan bersetuju terhadap agama kufur mereka. Inilah apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat dan inilah caranya untuk kita ‘melayan’ orang-orang kafir ini. [sila klik di sini untuk pembacaan lanjut bagaimana ‘dialog’ ini dijadikan agenda oleh orang kafir di dalam memerangkap umat Islam].