Ulang tahun pertama keharaman GST

no_to_gst1 April 2016 menandakan genap setahun usia kelahiran salah sebuah produk haram dari sistem kapitalisme iaitu cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Berdasarkan hasil yang telah dikutip selama setahun, ternyata jumlahnya berjaya mengatasi sasaran yang telah ditetapkan.

Dilaporkan jumlah yang berjaya dikumpul sepanjang tahun pertama GST diperkenalkan ialah sebanyak RM39 bilion, lebih RM12 bilion daripada sasaran asal RM27 bilion. Satu jumlah rompakan wang rakyat yang cukup besar. Kerajaan pastinya sangat gembira dengan lebihan sasaran tersebut tatkala rakyat terus dihimpit kesusahan.

Sabtu lepas (2 April), ribuan rakyat Malaysia turun dan berhimpun di Dataran Merdeka dalam usaha menunjukkan protes terhadap setahun pelaksanaan GST, yang turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr MahathirMohamad.

Kalau sebelum ini kedatangan 1 April setiap tahun diingati dengan peristiwa April Fool, tapi kini rakyat Malaysia pasti ingat 1 April sebagai tarikh derita pelaksanaan GST. Tiada seorang yang waras pun yang mahu hartanya dirampas oleh kerajaan, tetapi melalui pelaksanaan GST, tiada seorang pun mempunyai pilihan kecuali terpaksa menyerahkan hartanya kepada kerajaan!

Sebagai Muslim, sudah sewajarnya kita marah dengan pelaksanaan GST ini, tetapi perasaan marah itu tidak sepatutnya timbul kerana persoalan GST yang bersifat menekan atau menindas. Kita marah kerana GST adalah suatu yang haram di sisi Islam. Dengan kata lain, sekiranya GST yang dikenakan hanyalah 1% atau 0.5%, ia tetap haram dan kerajaan tetap berdosa walaupun jumlah tersebut tidak bersifat menindas. Inilah faktor sebenar kenapa kita wajib menolak GST yakni kerana keharamannya, bukan kerana kadarnya yang tinggi atau rendah atau kerana ia bersifat menekan atau tidak!

Cukai merupakan pendapatan utama dalam mana-mana negara Kapitalis, termasuk Malaysia. Walaupun cukai seperti GST ini adalah haram secara nyata menurut ajaran Islam, tetapi ia adalah “halal dan sah” menurut ajaran kapitalisme. Dalam demokrasi, GST merupakan anak “sah taraf” kerana iadilahirkan oleh ibunya yang sah taraf iaitu Parlimen. Menurut ajaran demokrasi, halal dan haram adalah ditentukan oleh ahli Parlimen (berdasarkan suara majoriti) dan bukan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah!

Atas dasar ini, setiap Muslim hendaklah faham bahawa solusi sebenar kepada masalah GST bukanlah dengan kita menolak GST semata-mata, tetapi menolak sistem demokrasi-kapitalisme yang melahirkannya. Inilah ibunya dan selagi ibu ini tidak dihapuskan, selagi itulah ia akan memperanakkan lebih banyak adik-beradik GST yang mungkin sahaja lebih buruk dari GST.

Wallahua’lam.