Umat Islam Tidak Harus Terperangkap
Adakah keberanian Adam Adli, seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menjadi pencetus bermulanya gerakan mahasiswa? Tanpa mengira keputusan Mahkamah, peribadi Anwar terus diserang. Apakah Anwar Ibrahim telah diperlakukan dengan adil di sebalik kenyataan yang diberikan oleh Bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari berhubung pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin? Apakah benar pihak polis telah melakukan keganasan di dalam usaha menyuraikan perhimpunan semasa Demonstrasi Mahasiswa di Tanjung Malim baru-baru ini?
Hanya masa sahaja yang dapat merungkai fakta dan kebenaran di sebalik insiden dan kenyataan-kenyataan di atas. Namun, apa yang jelas, kesemuanya itu merujuk kepada akibat rasa tidak puas hati rakyat dan mahasiswa kepada kerajaan atas segala penindasan, penyelewengan dan kezaliman yang dilakukan yang menjadikan ia sebagai pencetus kepada perjuangan untuk melakukan perubahan ke atas kerajaan yang sedia ada.
Manakala di pihak kerajaan, mereka sudah tentu akan menggunakan segala sumber yang ada termasuk media, polis, cawangan khas dan kekayaan yang ada untuk kekal memerintah. Tidak hairanlah bagaimana media cetak dan elektrik memainkan emosi rakyat dengan laporan-laporan berita yang disertakan dengan pandangan-pandangan politik yang berat sebelah. Antara bentuk laporannya adalah semua usaha kerajaan walaupun sedikit, dipuji menggunung dan semua perselisihan dan konflik yang berlaku di dalam pembangkang diperbesarkan seolah-olah mereka tidak layak langsung untuk diberi peluang memerintah.
Namun, umat Islam harus sedar bahawa mereka tidak boleh terperangkap dengan insiden dan permainan politik yang sedang berlaku ketika ini. Maksudnya di sini, umat Islam tidak harus lupa bahawa di sebalik semua insiden-insiden tersebut, kita seharusnya bertanya, adakah Islam menjadi agenda utama di dalam proses perubahan yang dilakukan?
Jika jawapannya ya, di manakah buktinya kerana jika kita ikhlas memerhatikan perkembangan politik semasa ketika ini, masih tidak nampak tanda-tanda itu. Apa yang jelas, hukum Allah terus diperlakukan dengan sewenang-wenangnya dan kerap kali diperlecehkan oleh pemimpin kafir. Adalah amat menyedihkan apabila para pemimpin Islam yang lain hanya diam membisu.
Jika jawapannya tidak, maka adakah wajar umat Islam yang lain hanya menjadi pemerhati. Cukupkah hanya sekadar menjadi pemerhati apabila Islam dihina, hukum hudud Allah dipermainkan, dan syariat Islam diketepikan? Sudah tentu jawapannya tidak wajar. Maka, apa yang harus kita lakukan adalah mengelakkan diri daripada terjebak dengan mana-mana isu yang tidak jelas dan yang paling penting adalah kita menjadikan Islam sebagai agenda utama di dalam perjuangan dan penyelesaian kepada setiap permasalahan.
Sumber : Berita Harian 2/1/2012