Umat Islam tidak perlu MA63
Beberapa hari lepas, Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan lawatan sulungnya Kuching dalam rangka membincangkan satu isu penting yang melibatkan Sabah dan Sarawak iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
MA63 dilihat sangat penting oleh kerajaan pusat, apatah lagi oleh Sabah dan Sarawak sehingga beberapa orang Perdana Menteri sebelum ini sering berjanji untuk melihat kembali perjanjian pembentukan Malaysia itu. Kini giliran Anwar pula bercakap hal yang sama.
Antara aspek penting dari MA63 ialah kedua-dua negeri Borneo itu tidak mahu diletak “setaraf” dengan negeri-negeri lain di Semenanjung dan mahu kekal sebagai “rakan sekutu” dalam sebuah negara yang dikenali sebagai Malaysia.
Kedua-dua negeri itu juga mahu diiktiraf sebagai “Wilayah” dan tidak mahu dirujuk sebagai “Negeri”, sebagaimana negeri-negeri lain di Semenanjung.
Sungguh malang bagi Malaysia apabila isu MA63 ini tidak pernah habis dibincangkan, yang hanya memberi gambaran seolah-olah Sabah dan Sarawak mahu “berpisah” dari Semenanjung, atau setidaknya mahukan autonomi tersendiri yang lebih luas.
Hal ini sekali gus menggambarkan perpecahan umat Islam, yang tidak mahu berada di bawah satu kesatuan, dan inilah yang dikehendaki oleh Barat. Mereka (Barat) telah menjajah Nusantara, dan memecah-belahkan negeri-negeri kaum Muslimin kepada Malaysia, Indonesia, Brunei dan Selatan Filipina.
Kita telah menyaksikan terpisahnya selatan Thai dari Semenanjung melalui Perjanjian Bangkok pada 1909, yang ditandatangani antara British dan Siam, di mana British telah mengiktiraf penguasaan Siam ke atas Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla yang kesemuanya merupakan tanah kaum Muslimin.
Begitulah jahatnya British dalam memecah-belahkan umat Islam dan wilayah kita semua, kerana mereka mahu memastikan yang umat Islam akan sentiasa lemah di bawah negeri-negeri yang kecil, yang mudah untuk dikendalikan oleh mereka sampai bila-bila.
Umat Islam di Malaysia tidak seharusnya lupa bahawa MA63 merupakan sebuah dokumen yang ditandatangani oleh British dan Northern Ireland dengan Persekutuan, Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura, yang penuh dengan kelicikan.
Perjanjian ini telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 di London dan telah didaftarkan di sekretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970 oleh United Kingdom of Great Britain dan Northern Ireland dengan nombor rujukan 10760.
Ini semua dilakukan bagi mengikat umat Islam, sehingga mereka (penjajah) akan terus dapat menguasai umat Islam, walaupun penjajahan fizikal telah berakhir.
Persoalannya, kenapakah kerajaan masih ingin mengikatkan diri dengan perjanjian yang ditandatangani dengan penjajah, sedangkan kita sudah pun merdeka? Dengan mengikatkan diri kepada perjanjian ini, tidak lain menunjukkan yang Malaysia sebenarnya masih belum merdeka dan masih tunduk kepada penjajah!
Sabah dan Sarawak merupakan tanah kaum Muslimin, yang tidak terpisah dengan kesemua tanah kaum Muslimin lainnya, sebagaimana Brunei, Singapura, Selatan Filipina dan Selatan Thailand.
Umat Islam merupakan umat yang satu, yang seharusnya bersatu di bawah satu negara (Khilafah), satu pemimpin (Khalifah), satu pemerintahan dan satu bendera.
Kenapakah setelah kita bersatu di bawah Nusantara, dan di bawah Khilafah, lalu datang kafir Barat menjajah dan memecah-belahkan wilayah kita yang satu, kemudian setelah mereka meninggalkan negeri-negeri kita, lalu kita mengekalkan perpecahan yang diakibatkan oleh mereka (penjajah)?
Tidak cukupkah Al-Quran dan As-Sunnah untuk mempersatukan kita semua sebagai umat yang satu, yang mempunyai Tuhan yang satu, Nabi yang satu dan kiblat yang satu?
Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan MA63 yang direkayasa oleh penjajah untuk memecah-belahkan kesatuan kita, tetapi umat Islam wajib berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah, dan berusaha untuk mengembalikan Khilafah yang akan mempersatukan semula umat Islam di bawah satu negara.
Wallahu a’lam.