UMNO dan politik wang, ibarat lagu dan irama







KUALA LUMPUR 4 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ibu pejabat UMNO telah menubuhkan sebuah sekretariat untuk memantau mesyuarat cawangan dan bahagian di seluruh negara bagi memastikan tidak berlaku gejala politik wang pada pemilihan parti kali ini.

 

Presiden UMNO berkata, sekretariat yang mempunyai kakitangan yang mencukupi itu bertanggungjawab memantau perjalanan mesyuarat berkenaan supaya ia mematuhi etika parti.

 

“Langkah ini selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan parti supaya perjalanan mesyuarat cawangan dan bahagian serta kempen diawasi oleh ibu pejabat UMNO,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Wanita Bersama Pemimpin di sini hari ini.

 

Perdana Menteri mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam yang mendedahkan perjalanan mesyuarat cawangan UMNO bahagian itu sejak tiga minggu lalu adalah yang terburuk dalam sejarah kerana dicemari gejala politik wang, kehadiran anasir luar dan dipenuhi pelbagai ugutan serta ancaman.

 

UMNO sedang mengadakan pemilihan cawangan secara berperingkat dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini yang turut menyaksikan pemilihan pelbagai jawatan di peringkat itu.

 

Selepas pemilihan cawangan, UMNO akan mengadakan pemilihan peringkat bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November sebelum diikuti pertandingan jawatan peringkat tertinggi parti pada Perhimpunan Agung dari 16 hingga 20 Disember.

 

Menurut Abdullah, ibu pejabat UMNO memberikan perhatian serius terhadap gejala politik wang kerana tidak mahu ia berterusan sehingga merosakkan parti.

 

Mengenai pungutan pendapat yang dilakukan oleh Merdeka Center baru-baru ini yang menunjukkan popularitinya di kalangan rakyat semakin merosot, Abdullah berkata, ia adalah perkara normal.

 

“Setiap ahli politik ada masa turun dan naiknya. Apa yang penting bagi saya ialah apa yang dibuat untuk rakyat dan negara,” ujarnya.

 

Ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang membuat tuntutan ganti rugi RM4.7 bilion ekoran pembatalan beberapa projek mega di negeri itu, Perdana Menteri menegaskan, pihaknya tidak akan melayan desakan itu kerana Kerajaan Pusat tidak pernah berhutang apa-apa dengan kerajaan negeri itu.

 

“Pembatalan itu dibuat kerana kita perlu memberikan keutamaan kepada projek- projek lain yang lebih penting dan kita akan terus berpegang kepada keputusan ini,” ujar beliau.

 

Sumber: Utusan Malaysia 05/08/08


Ulasan:

 

Setiap kali berlakunya pemilihan UMNO, setiap kali itulah isu politik wang akan dapat kita saksikan. Ibarat kata, UMNO dan politik wang adalah umpama aur dan tebing, umpama irama dan lagu, jika dipisahkan keduanya, maka rosaklah irama, pincanglah lagunya. Siapa tak tahu yang UMNO dan politik wang adalah dua perkara yang berjalan seiring dan takkan dapat dipisahkan? Di mana ada ahli politik, di situlah adanya wang. Di mana ada wang, di situlah adanya tokoh-tokoh Kapitalis yang menghamburkannya. Inilah dunia politik UMNO yang penuh dengan kekotoran.

 

Untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh dalam dunia politik Kapitalisme sebagaimana diamalkan UMNO, seseorang itu perlu memiliki kekayaan. Kekayaan merupakan tiket kepada kekuasaan dan pengaruh. Tidak ada wang, maka tiadalah harapan seseorang itu dalam politik. Untuk terjun ke dunia politik Kapitalis ini, seseorang itu perlu mempunyai sumber kewangan yang banyak bagi menarik sokongan dari penyokong-penyokongnya. Keluhan dari Menteri Keselamatan Dalam Negeri merangkap Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi iaitu Dato Seri Syed Hamid Albar bukanlah suatu yang baru dalam amalan politik kapitalis ini. Keluhan beliau hanya memperjelaskan kepada kita betapa busuk dan buruknya permainan politik yang berpaksikan idea Machiavelli di mana “matlamat menghalalkan segala cara”. Inilah kesannya apabila umat Islam itu mengambil pemikiran politik kufur untuk diamalkan saat ini. Yang dipertaruhkan adalah keuntungan dan manfaat semata-mata bukannya hukum syara’.

 

Islam sebagai suatu sistem hidup telah memperjelaskan dengan secara terang apakah yang dimaksudkan dengan politik itu. Politik atau siyasah itu maknanya adalah mengurusi urusan umat, sama ada di dalam atau pun di luar negeri. Sabda Rasulullah SAW,

 

“Siapa saja yang bangun pagi dengan gapaiannya bukan Allah maka ia bukanlah (hamba) Allah, dan siapa saja yang bangun pagi namum tidak memperhatikan urusan kaum muslimin maka ia bukan dari golongan mereka.” [HR Al Hakim].

 

Bagi seorang ahli politik Islam mereka akan memahami bahawa politik itu adalah sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Seorang pemimpin akan ditanya berkenaan dengan rakyat yang menjadi jagaannya. Sabda Rasulullah SAW,

 

“Ingatlah, setiap kamu adalah penggembala (pemelihara/penjaga) dan akan diminta pertanggungjawaban atas gembalaannya, setiap pemimpin adalah pemelihara (rakyatnya) dan akan diminta pertanggungjawaban atas pemeliharaannya, setiap laki-laki itu pemelihara ke atas ahli rumahnya dan akan dimintai pertanggungjawaban atas pemeliharaannya, perempuan itu pemelihara di dalam rumah suaminya dan dia akan ditanya, seorang hamba adalah pemelihara harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta itu. Ingatlah! kamu semua adalah pemelihara dan kamu semua akan ditanya tentang pemeliharaaan kamu”. [HR Tirmidzi, Juz 3, Hadits 1757].

 

Apa lagi yang kita harapkan dengan dunia politik Kapitalis ini? Para pemimpin ini sibuk berlumba dengan merasuah antara satu sama lain demi meraih kekuasaan, untuk mengaut lagi banyak kekayaaan yang ada. Inilah politik yang ada sekarang. Apakah pemimpin sebegini yang menjadi pilihan kita?