US Nafikan Hak Tahanan Guantanamo
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kematian tiga orang tahanan di Penjara Teluk Guantanamo. Pihak penjara melaporkan bahawa ketiga-tiganya telah membunuh diri. Padahal kaum keluarga menyangkal dengan mendakwa mereka telah diseksa sehingga menemui ajal.
Pada masa yang sama juga, media sedang sibuk memperkatakan isu penutupan penjara Teluk Guantanamo. Presiden Bush membalas komen para wartawan dengan menyatakan Teluk Guantanamo hanya akan ditutup sekiranya terdapat perancangan lain bagaimana hendak menempatkan para tahanan yang ada ketika ini. Pada pandangan Bush mereka adalah pengganas yang amat merbahaya. Pada hal, tidak sedikit daripada lebih kurang 400 orang tahanan tersebut telah ditahan tanpa ada hubungan jelas dengan kegiatan keganasan. Mereka juga tidak diberi hak untuk membela diri. Diantara yang dipercayai telah dianiaya adalah Sami al Hajj dan Abdulsalam al-Hela.
Sami al Hajj adalah seorang warganegara Sudan yang bekerja sebagai wartawan di stesen TV al Jazeera. Sami telah ditahan di Pakistan pada 15 Disember 2001. Pasport, visa perjalanan dan kad wartawannya dirampas. Pada 7hb Januari 2002, dia telah diserahkan kepada US dan akhirnya dibawa ke Penjara Guantanamo.
Abdulsalam al-Hela pula merupakan seorang ahli perniagaan daripada Sana’a, Yemen. Pada September 2002, beliau dilaporkan sedang di dalam perjalanan ke Mesir untuk bertemu dengan para kontraktor Arab daripada firma pembinaan Mesir. Ketika di dalam perjalanan, Abdulsalam sentiasa menghubungi keluarganya melalui telefon. Namun ketika tiada panggilan dibuat, abangnya cuba menghubungi, tetapi telefonnya tidak dijawab. Sehinggalah akhirnya keluarganya mengetahui bahawa dia telah dibawa ke Penjara Guantanamo melalui sepucuk surat yang berjaya diseludup keluar. amnesty.org
Kebanyakkan daripada tahanan ini telah melalui beberapa siri penyeksaan dan layanan yang memalukan. Disebabkan tidak tahan dengan tekanan yang dikenakan, terdapat sebilangan daripada tahanan ini yang cuba untuk membunuh diri. Ada juga yang melancarkan mogok lapar. Pusat tahanan Teluk Guantanamo adalah bukti kepada ketidakadilan dan pencabulan nilai kemanusiaan di dalam pentadbiran US berhubung kempen “perang melawan keganasan”.
Bahkan, perbicaraan yang sedang dijalankan ketika ini tidak mengikut prosedur perbicaraan yang betul. Para tahanan tidak dibenarkan hadir di dalam sesi perbicaraan tertentu. Terdapat bahan bukti yang tidak boleh ditunjukkan kepada peguam bela atas sebab keselamatan. Mejar Tom Fleener di dalam satu temuramah dengan BBC ( BBC.co.uk) menyatakan bahawa prosedur yang dijalankan itu langsung tidak memberi peluang kepada tahanan untuk melepaskan diri.
Nasib tahanan-tahanan di Teluk Guantanamo bagaikan telur dihujung tanduk. Kesilapan kecil mungkin menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam senarai sesi penyiasatan yang mungkin akan membawa ajal. Di manakah perginya para pemimpin kaum muslimin ketika ini? Adakah mereka juga sedang leka menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung ketika in?
Sumber : mykhilafah.com