Usaha Umno Majukan Negara Selari Tuntutan Islam?

“Perjuangan Umno adalah selari dengan tuntutan agama dan saya tegaskan apa yang kita lakukan dalam memajukan negara sama sekali tidak bercanggah dengan syariat Islam.” ujar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Skuad Ta’lim-An Nur Bersama Wanita Kelantan di Dewan Terbuka Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa pada 1 April yang lalu.1
Menurutnya lagi, apabila kerajaan meletakkan Islam di hadapan dalam semua perkara, ia sebenarnya mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh yang terbaik. Persoalannya, sejauh manakah kesungguhan para pemimpin negara ini meletakkan Islam di hadapan dalam semua perkara? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan syariat Islam menurut sudut pandangan pemerintah?

Tatkala hukum buatan manusia masih diterapkan, perlembagaan warisan Lord Reid masih diagungkan,  pelbagai keharaman masih berleluasa, adalah jelas bahawa Islam masih belum diletakkan di hadapan sebagaimana yang didakwa. Kebejatan sosial semakin berleluasa.  Begitu juga sistem mu’amalah, percukaian, riba dan perekonomian kapitalis, kesemuanya masih berlangsung dengan dokongan penuh kerajaan tanpa sebarang rasa berdosa. Adakah Islam tidak meletakkan garis panduan dalam urusan-urusan sedemikian sehinggakan kita perlu merujuk kepada sumber hadharah kufur? Adakah Islam diturunkan sekadar meliputi urusan ibadah mahdhah, akhlak dan kesusilaan semata-mata?

Benarkah Islam diletakkan di hadapan sedangkan hudud (yang merupakan sebahagian daripada sistem Islam yang syumul dan kaffah) sekadar dipolemikkan demi kepentingan parti politik tanpa sebarang kesungguhan dalam menerapkannya? Bagaimana pula dengan kemaksiatan lain yang dibiarkan berleluasa? Kilang-kilang arak masih dibenarkan beroperasi secara terbuka, bahkan lesen-lesen perjudian dan kelab-kelab malam masih terus diberikan dan semakin bertambah saban tahun.
Benarkah Islam telah diletakkan di hadapan? Atau adakah Islam yang dimaksudkan itu adalah Islam versi tafsiran penjajah menurut acuan sistem demokrasi di bawah telunjuk Barat?

Tidak dinafikan bahawa usaha-usaha untuk meninggikan syiar Islam tetap dijalankan oleh kerajaan melalui agensi-agensi tertentu. Namun, usaha tersebut semata-mata masih belum memadai sekiranya Islam yang diketengahkan itu sekadar menyentuh sebahagian kecil daripada aspek kehidupan. Kebanyakannya hanya tertumpu kepada penegakkan syiar Islam (simbol Islam) tetapi pada masa yang sama mengabaikan perkara yang jauh lebih besar iaitu penegakkan syariat Islam secara kaffah. Ditambah pula dengan membiarkan umat Islam terus menerus diatur hidup mereka dengan sistem hidup yang lahir daripada akal manusia dan bukannya sistem bimbingan wahyu.

Sedarlah bahawa sesungguhnya Islam itu akan hanya dapat diterapkan secara menyeluruh dengan dikembalikan semula sistem pemerintahan Islam iaitu sistem Khilafah. Ia adalah satu-satunya sistem pemerintahan yang akan dapat menyatukan umat Islam di seluruh dunia berasaskan bimbingan wahyu dan menjadikan syariah Islam sebagai satu-satunya asas dan rujukan dalam pemerintahan. Wallahua’lam.

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (lengkap dan menyeluruh) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”[TMQ Al-Baqarah 2:208]

Sumber: 1) “Usaha Umno majukan negara selari tuntutan Islam” – Sinar Harian 1 April 2014