Vaksin COVID-19: Kerajaan Perlu Telus dan Terbuka

Berita mengenai keberhasilan penghasilan vaksin oleh dua saintis Muslim berbangsa Turki di Jerman baru-baru ini telah mencetuskan optimisme kepada masyarakat dunia yang sedang berdepan ujian getir dalam menghadapi pandemik COVID-19. Namun dalam masa yang sama, muncul skeptisisme (keraguan) dalam kalangan segelintir pihak, bukan sahaja terhadap vaksin tersebut bahkan terhadap pandemik COVID-19 itu sendiri.

Telah berlegar dalam media sosial pelbagai perkhabaran dan teori konspirasi berhubung pandemik ini. Bahkan terdapat mesej yang mendakwa bahawa pandemik ini sebenarnya merupakan ‘plandemik’ yang mempunyai agenda licik bagi mengurangkan populasi dunia. Menurut teori tersebut, jangkitan virus ini sengaja digembar-gemburkan agar vaksin yang dikatakan mengandungi mikrocip dapat disuntik ke dalam umat manusia bagi mengawal mereka. Tidak kurang juga yang mengaitkan teknologi 5G dengan simptom-simptom COVID-19.

Baru-baru ini sebuah video tular yang didakwa memberi amaran mengenai vaksin COVID-19 telah disekat dan dipadam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), seperti yang dilaporkan dalam ciapan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaludin. Menurut Khairy, laporan dibuat pihak kementeriannya terhadap video tersebut yang dikatakan mengandungi penipuan dan penyimpangan maklumat berkenaan vaksin. Tindakan tersebut dilihat tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya berkemungkinan dapat mengukuhkan lagi persepsi segelintir pihak yang meragui keberkesanan dan keselamatan vaksin COVID-19.

Dalam pada itu, kita tidak sewajarnya memukul rata bahawa kesemua pihak yang gusar terhadap keberkesanan dan keselamatan vaksin itu sebagai golongan antivaksin yang dipengaruhi teori konspirasi. Kegusaran segelintir rakyat terhadap vaksin yang bakal dikeluarkan itu sedikit-sebanyak mempunyai asasnya, memandangkan tempoh fasa-fasa penghasilan vaksin COVID-19 ini begitu cepat berbanding fasa-fasa yang dilalui dalam penghasilan vaksin-vaksin lain.

Kita sewajarnya mengambil iktibar daripada insiden kontroversi berhubung vaksin bagi denggi, Dengvaxia di Filipina beberapa tahun lalu. Setelah vaksin tersebut diberikan kepada lebih 800,000 kanak-kanak, syarikat pengeluar vaksin tersebut telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat sedikit peningkatan risiko untuk mendapat demam denggi teruk bagi penerima vaksin yang tidak pernah dijangkiti denggi sebelumnya. Hal ini mencetuskan kontroversi setelah segelintir pihak mendakwa bahawa vaksin tersebut menyebabkan kematian dan pihak Kementerian Kesihatan republik tersebut korup.

Terdapat beberapa pengajaran yang perlu diambil daripadanya. Pertamanya, kajian sesebuah vaksin mesti melalui prosedur pembangunan dan perolehan yang telus serta teliti. Kedua, setelah melalui prosedur-prosedur yang ketat sekalipun, terdapat kemungkinan adanya kesan sampingan yang tidak diketahui sehinggalah vaksin diberikan kepada lebih ramai penerima dalam komuniti. Justeru, kerajaan perlu telus dan menarik balik vaksin sekiranya kesan-kesan sampingan ini dikenalpasti. Ketiga, pentingnya komunikasi berkesan antara kerajaan melalui petugas barisan hadapan dengan rakyat. Orang awam kebanyakannya tidak menguasai aspek teknikal di sebalik kenyataan yang dikeluarkan, sekali gus membuka ruang kepada mainan persepsi sekiranya tidak disertakan penjelasan yang baik serta mudah difahami berhubung kenyataan tersebut.

Justeru, pemerintah sewajarnya mengambil langkah menyeluruh untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, bukan sekadar menyekat penularan mesej-mesej atau video yang dikatakan membawa maklumat yang salah. Tidak dinafikan telah wujud usaha untuk memberikan penjelasan berdasarkan bukti-bukti saintifik, namun usaha tersebut tidak terkoordinasi sepenuhnya. Inisiatif sebegini sepatutnya diberikan lebih perhatian kerana ia jauh lebih penting berbanding JASA yang berperanan sebagai instrumen propaganda politik pemerintah.

Tambahan pula, dalam era letusan maklumat ini, orang ramai mudah mencari maklumat melalui platform seperti enjin gelintar mahupun media sosial. Tanpa strategi komunikasi yang berkesan dan tersusun, rakyat lebih mudah terdedah kepada maklumat-maklumat salah yang tersebar, termasuklah daripada golongan pro-teori konspirasi. Pendekatan censorship semata-mata berpotensi mengukuhkan persepsi buruk bukan sahaja terhadap vaksin yang bakal dikeluarkan, bahkan kepada keseluruhan inisiatif kesihatan awam terhadap masyarakat.

Dalam pada itu, kerajaan juga perlu telus dalam perlaksanaan sebarang polisi yang melibatkan keselamatan dan kesihatan rakyat. Untuk rekod, Malaysia telah membuat kesepakatan dengan China untuk menjadi antara negara pertama yang mendapatkan vaksin daripada negara tersebut setelah berjaya dihasilkan. Seandainya terdapat kepincangan dari segi keberkesanan dan keselamatan vaksin tersebut, kerajaan perlu menilai semula kesepakatan ini dan tidak mengutamakan kepentingan lain sehingga boleh menggugat keselamatan dan kesihatan rakyat.

Isu sebegini tidak akan timbul sekiranya negara umat Islam mempunyai kapasiti untuk menghasilkan vaksin dan ubat-ubatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada negara luar. Namun pastinya sukar untuk berbuat demikian memandangkan kepakaran yang tinggi dan kos yang besar diperlukan bagi membangunkan industri tersebut. Tetapi ia bukanlah suatu yang mustahil, bahkan menjadi kewajipan bagi sesebuah negara untuk mengusahakannya agar kebergantungan terhadap negara luar dapat dihindari. Selain itu, industri ini juga sewajarnya diterajui dan didanai oleh negara agar tiada syarikat farmaseutikal yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan berlipat ganda dengan memonopoli vaksin yang dihasilkan melalui paten seperti yang diamalkan dalam sistem kapitalis pada hari ini.

Wallahu a’lam.