Vape: Aspirasi anak muda atau keghairahan mengejar tren?
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob seperti menyokong tren vaping yang semakin menjadi ‘kegilaan’ anak-anak muda sekarang apabila menganggap bahawa keputusan Parlimen untuk tidak mengharamkan vape sebagai satu tindakan yang menepati aspirasi anak muda. Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia masih bertegas untuk menyekat penggunaan vape (e-rokok) yang mengandungi nikotin. Terjumpanya dadah jenis marijuana, methamphetamine dan ketum dalam perisa vape di Johor baru-baru ini menghangatkan lagi polemik berkenaan isu ini dalam kalangan penggemar vape dan pihak yang menentang penggunaan vape.
Terdapat beberapa perkara yang wajar diberikan perhatian dalam menanggapi isu ini:
- Setakat ini kajian mengenai keberkesanan vape untuk membantu perokok untuk berhenti merokok masih lagi belum mencukupi. Bahkan kajian mengenai risiko jangka panjang penggunaan vape juga masih belum memadai. Dalam ertikata lain, keselamatan dan keberkesanan penggunaan vape belum dapat benar-benar dibuktikan melainkan melalui testimoni jangka pendek daripada beberapa orang bekas perokok semata. Kita perlu sedar bahawa jika vape dikatakan “lebih selamat berbanding rokok”, ia bukan bererti “sememangnya selamat” sehingga boleh menggantikan rokok dan dijadikan tren.
- Dari segi biologi, pengambilan nikotin tanpa kawalan boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna vape. Setakat ini, pengguna vape bebas menentukan jumlah nikotin yang diambil, tanpa pemantauan daripada pihak berwajib. Terdapat kemungkinan yang pengguna vape hanya beralih daripada ketagihan terhadap rokok kepada ketagihan terhadap vaping semata-mata tanpa berhasrat untuk berhenti.
- Terdapat sebilangan ‘penagih’ vape yang sebelum ini tidak pernah merokok. Maka, persoalan yang timbul, adakah wajar untuk membenarkan tren ‘ketagihan’ ini berleluasa kononnya atas nama aspirasi anak muda? Walaupun terdapat perisa vape yang bebas daripada nikotin, soalnya siapakah yang akan memastikan penggemar vape akan mengambil yang bebas nakotin ini? Tren vape dengan alasan bahawa ia lebih selamat berbanding rokok hakikatnya telah membuka ruang kepada menularnya ketagihan bentuk baru dalam kalangan anak muda.
- Aspirasi anak muda bukanlah seperti yang dinyatakan oleh Ismail Sabri. Anak-anak muda merupakan tonggak kepada kekuatan ummah dan bakal mencorakkan halatuju perjuangan Islam. Adakah kita mengharapkan agar tren yang sia-sia dan berisiko ini menjadi aspirasi dalam mencorakkan anak muda? Sedangkan anak-anak muda sepatutnya dileburkan dengan perjuangan Islam sebagai generasi pewaris kepada perjuangan Rasulullah dan para sahabat dan di usia mudalah mereka wajib dididik untuk mendalami tsaqafah Islam dan menjadikan Islam sebagai panduan hidup sama ada secara individu, bermasyarakat dan bernegara.
- Dalam kita menentukan status halal dan haram, kita sewajarnya melakukan pengkajian yang mendalam akan fakta (tahqiq al-manath) mengenai realiti vape sebelum mengeluarkan sebarang hukum. Kajian bukan sahaja perlu dilakukan oleh mereka yang bergelar ustaz, tetapi para pengguna vape itu sendiri wajib mengkaji hukumnya sebelum mereka menggunakannya. Jika terbukti mengandungi dadah yang boleh menjejaskan fungsi akal atau terbukti dari segi sains bahawa vape boleh memudaratkan kesihatan, maka wujudlah keadaan yang haram bagi penggunanya, tetapi itu pun hanya khusus kepada mereka yang mudarat sahaja. Manakala jika tidak terbukti vape boleh memudaratkan, maka tiada sebab untuk menyatakannya haram, walaupun ia merupakan satu tabiat yang tidak baik dan sia-sia yang tidak disukai oleh para ulama. Tindakan mengharamkannya secara terburu-buru atau tanpa tahqiq al-manath akan berkemungkinan menjerumuskan kepada kesalahan dalam mengeluarkan fatwa.
- Apabila kerajaan mengambil keputusan tentang vape, tidak sepatutnya timbul isu mengenai cukai yang akan dikenakan ke atas vape, apatah lagi desakan daripada industri tembakau. Hal ini kerana dalam Islam, cukai seperti ini diharamkan sama sekali. Kerajaan yang menerapkan sistem demokrasi sekular pada hari ini memang hanya memikirkan manfaat semata-mata, bukannya mengambil kira soal hukum (halal-haram) dalam menentukan sesuatu.
Kesimpulannya, negara dan mereka yang mempunyai kepakaran, sewajarnya melakukan kajian yang menyeluruh dan terperinci mengenai penggunaan dan juga risiko vape dan diikuti dengan tindakan susulan yang sesuai menurut syarak. Apa yang lebih penting, jangan mengheret isu vape ini sebagai polemik yang berpanjangan kerana masih banyak isu lain yang lebih utama iaitu ‘kerosakan sistemik’ umat Islam ini yang berpunca daripada kitaran pemimpin, sistem dan undang-undang yang rosak. Umat menjadi semakin rosak kerana tiadanya penerapan Islam secara syumul dalam kehidupan pada hari ini dan tiadanya Negara Islam (Khilafah) yang menjaga kemuliaannya.
Wallahu a’lam.