Wahai Kristian! Peluk Islam dan gunalah kalimah Allah
Pertikaian isu kontroversi berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu dimuktamadkan apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh Gereja Roman Katolik. Ini bermakna pihak gereja dilarang sama sekali menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald versi bahasa Melayu sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2013. Ketetapan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi negara diketuai oleh Tan Sri Abdull Hamid Embong yang bersidang bersama Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed.
Pihak-pihak yang memperjuangkan kalimah “Allah” sudah boleh menarik nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di atas. Keputusan tersebut sekali gus menutup semua saluran perundangan bagi majalah tersebut atau dengan kata lain saluran “sah” mereka telah berakhir.
Namun, kita tidak seharusnya bergembira membuta tuli dengan keputusan ini. Ini kerana, isu utama yang sepatutnya diperdebatkan secara rasional dan intelektual antara Islam dan Kristian bukanlah kalimah “Allah” tetapi “kebenaran” agama itu sendiri. Apakah Islam atau Kristian agama yang benar di sisi Allah, inilah isu utama yang patut dibicarakan. Ia adalah isu hidup dan mati, dunia dan akhirat serta syurga dan neraka.
Setelah berdebat dan terbukti agama Islam adalah agama yang benar dan memahami bahawa Allah SWT memerintahkan penganut Kristian (malah seluruh manusia) agar memeluk Islam semuanya, maka isu kalimah Allah dan lain-lain isu sampingan akan selesai secara automatik. Dengan kata lain, setelah penganut Kristian memeluk Islam hasil dari perdebatan ilmiah mengenai kebenaran agama, maka inilah kejayaan dan kegembiraan yang sebenar bagi seorang Muslim.
Allah adalah Tuhan bagi semua manusia, alam dan kehidupan ini seluruhnya. Dialah satu-satuNya Tuhan yang wajib disembah oleh manusia. Allah SWT menerangkan bahawa Kristian menjadi kafir kerana mereka menganggap bahawa Allah itu tiga dalam kesatuan (trinity) walhal Allah itu Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, tidak Ia beranak dan tidak Ia diberanakkan dan sesungguhnya Isa itu adalah Nabi dan RasulNya dan Jibril itu adalah malaikatNya yang patuh lagi taat.
Sebenarnya ruang untuk penganut Kristian menggunakan kalimah Allah tidak pernah tertutup, malah sentiasa terbuka, bahkan terbuka seluas-luasnya. Mereka sendirilah yang sebenarnya menutup ruang tersebut. Caranya mudah, iaitu dengan mereka masuk ke dalam Islam, satu-satunya agama Allah yang benar. Kajilah Islam dengan hati yang ikhlas dan dengan doa agar Allah SWT memberikan petunjuk kepada anda. Nescaya anda akan menjumpai dan meyakini kebenaran Islam. Kemudian, masuklah ke dalam agama Islam dan anda boleh menggunakan kalimah Allah. Bacalah al-Quran dan di sana ada ribuan kalimah Allah untuk dibaca dan difahami. Bacalah hadis-hadis dan di sana ada ribuan kalimah Allah untuk difahami.
Syarat untuk masuk ke dalam agama Allah itu mudah dan syarat tersebut sendiri membolehkan (malah mewajibkan) penganut Kristian (dan lain-lain) untuk menyebut kalimah “Allah”. Sebutlah “Asy-hadu an la ilaha illallah wa asy-hadu anna Muhammad Rasulullah” (Aku bersaksi bahawa tidak Tuhan/Sembahan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah). Dengan mengucap kalimah ini, maka anda akan menjadi Muslim dan anda tidak memerlukan keizinan mahkamah untuk menggunakan kalimah Allah.
Semoga hidayah Allah tercurah ke atas mereka yang mencarinya.