Provokasi kalimah Allah, apa dapat dan apa seharusnya?

Politik provokasi sudah menjadi satu lumrah di Malaysia. Politik tidak matang ini dulunya amat ketara berlaku semasa pilihan raya umum, namun kini sudah tidak mengira masa dan tempat. Ada saja isu yang hangat atau sensitif di Malaysia, maka ada-lah pihak-pihak yang cuba melakukan provokasi.

Sebelum ini, baru sahaja Malaysia dikecohkan dengan provokasi oleh pihak tertentu yang berlaku semasa pilihan raya kecil Dun Sungai Limau, Kedah, pada November 2013 dengan sebuah patung kaki yang tergantung di sebuah pokok yang dikaitkan dengan Allahyarham Ust Azizan, bekas Menteri Besar Kedah.

Kita juga tentu masih tidak lupa usaha provokasi untuk mencetuskan konflik antara Islam dan Kristian yang berlaku 4 tahun lepas, dengan kes pembakaran beberapa gereja di Lembah Kelang pada Januari 2010.  Usaha provokasi dalam politik Malaysia sudah tidak mengenal batas. Kini muncul pula usaha provokasi terbaru dengan wujudnya satu kain rentang yang tertera “Allah is Great, Jesus is the son of Allah” di Pulau Pinang tatkala isu kalimah Allah sedang hangat diperkatakan.

Biasanya dalam isu-isu seumpama ini, tidak akan ada pihak yang berani tampil mengaku akan perbuatan mereka. Orang Kristian akan menafikan dan orang Islam pun akan menafikan melakukan tindakan tersebut! Dengan kata lain, siapa pun yang melakukannya, yang pasti mereka adalah golongan pengecut atau golongan yang berniat jahat untuk sengaja mencetuskan kemarahan antara penganut Islam dan Kristian di negara ini.

Persoalan yang patut difikirkan oleh pihak terbabit ialah, apakah yang mereka mahu dan apakah yang mereka dapat dengan melakukan provokasi begini? Apakah mereka mengharapkan berlakunya  caci maki dan pergaduhan di antara penganut Islam dan Kristian? Apakah mereka mengharapkan sehingga berlakunya pembunuhan antara penganut Islam dan Kristian? Dan sekiranya berlaku semua perkara yang mereka harapkan, apakah yang mereka dapat? Upah, kepuasan, keseronokan, balas dendam atau apa?

Banyak pihak yang tidak sedar bahawa segala kecelaruan yang timbul berhubung isu ini dan isu-isu lain, adalah berpunca dari kekeliruan dalam fahaman agama. Persoalan kalimah Allah seharusnya ditangani dengan hukum syarak yang benar [sila rujuk SN202 – Ya Allah! Namamu Diperjuang, Hukummu Dibuang], bukannya ditangani dengan emosi dan provokasi. Melakukan provokasi dalam bentuk apa sekalipun dan oleh mana-mana pihak sekalipun, tidak akan menyelesaikan masalah.

Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan selain Islam, termasuk Kristian dan Yahudi adalah agama yang tidak diredhai oleh Allah SWT. Kristian dan Yahudi, walaupun asalnya adalah agama samawi, tetapi telah diubah oleh pendita-pendita mereka, termasuklah kitab-kitab mereka yang turut diubah sehingga menjadikan kaum Kristian dan Yahudi sesat dan dimurkai oleh Allah SWT.

Setelah kedatangan Islam dan diangkatnya Muhammad SAW menjadi Rasul, Allah memerintahkan kaum Kristian dan Yahudi dan semua manusia memeluk Islam. Kristian dan Yahudi, walaupun mereka mengakui Allah sebagai Tuhan mereka, namun mereka tetap dikategorikan sebagai kaum kafir, kecuali jika mereka memeluk Islam. Allah SWT telah memerintahkan mereka agar meninggalkan agama mereka dan masuk ke dalam agama Islam.

Sebagai Muslim, kita hendaklah mendakwahkan kaum kafir ini agar masuk Islam. Itulah apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan itulah apa yang wajib kita lakukan. Ajakan untuk mereka masuk ke dalam Islam tidak boleh dilakukan secara paksa. Ia dilakukan secara perbincangan mahupun perdebatan. Jika mereka menolak, maka mereka dibiarkan. Namun jika mereka menolak dan berusaha memerangi Islam (menjadi kafir harbi), maka mereka wajib diperangi.

Menggunakan kalimah Allah dengan cara yang salah oleh penganut Kristian bukanlah satu perkara baru. Hal itu cuma secebis dari kesalahan mereka sahaja sejak dulu. Kesalahan mereka yang jauh lebih besar adalah beragama dengan agama Kristian itu sendiri! Jadi, yang sepatutnya menjadi fokus umat Islam ialah menerangkan dan berdebat dengan mereka akan kesalahan agama mereka secara keseluruhan dan mendakwahkan mereka agar memeluk Islam sebagai satu-satunya agama yang benar. Wallahu a’lam.