Wahai Para Pemimpin Kaum Muslimin! Bebaskan Syria Daripada Pengkhianat!

Majlis Keselamatan kecam Syria
 
GENEVA 4 Ogos – Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengecam tentera Syria kerana menyerang orang awam dan mencabul hak asasi manusia, reaksi pertama selepas beberapa bulan pemberontakan tercetus di negara itu.

Keputusan itu dibuat selepas tentera Syria terus menyerang bandar Hama, 210 kilometer ke utara ibu negara Damsyik sejak hujung minggu lalu, tempat yang mempunyai sejarah penentangan. Serangan tentera dibantu dengan kereta kebal dan pasukan penembak tepat itu berterusan sehingga semalam. Dilaporkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dalam tempoh lima hari lalu. Kenyataan Majlis Keselamatan PBB itu menggesa pihak berkuasa Syria segera menamatkan keganasan dan melancarkan satu proses politik menyeluruh yang membolehkan rakyat Syria menikmati ‘asas kebebasan’ sepenuhnya, termasuk menyuarakan pendapat dan berhimpun secara aman.

Rejim Bashar al-Assad menggunakan tentera sejak pertengahan Mac lalu bagi mematahkan protes rakyat yang menuntut pembaharuan politik, operasi yang didakwa aktivis telah mengorbankan 1,700 orang awam.
Pemimpin Syria itu telah berjanji akan melaksanakan pembaharuan, tetapi Majlis Keselamatan kekecewaan kerana ‘kurang usaha dilakukan’ dan mahu Assad menunaikan janjinya. Anggota Majlis Keselamatan dari Amerika Syarikat dan Eropah telah memberi tekanan supaya satu resolusi dikeluarkan bagi mengecam Syria, tetapi Rusia, China, India, Brazil dan Afrika Selatan menentangnya kerana menyifatkannya tidak menggalakkan rundingan, pembaharuan yang dijanjikan Assad serta menamatkan keganasan.

Mereka juga bimbang ia akan digunakan sebagai helah untuk campur tangan bersenjata di negara itu. Sementara itu, Presiden Assad hari ini mengeluarkan satu dekri membenarkan kewujudan pelbagai parti di Syria.mPada 24 Julai lalu, kerajaan memperkenalkan satu draf undang-undang berhubung kewujudan pelbagai parti yang akan menamatkan monopoli kuasa oleh Parti Baath pimpinan Assad sejak beberapa dekad, lapor agensi berita SANA. – AFP

Sumber : Utusan Online, 05/08/2011

Wahai Para Pemimpin Kaum Muslimin! Bebaskan Syria Daripada Pengkhianat!

Dalam pada umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan rasa aman, saudara seaqidah kita di Syria merintih kerana ditekan oleh pemerintah mereka yang zalim. Laporan terkini mengatakan bahawa sejak kebangkitan masyarakat Syria untuk melakukan perubahan, seramai lebih 1700 orang telah terkorban di tangan diktator Basyar Al Assad. Basyar telah mengerahkan sedikit kekuatan ketenteraan yang dipinjamkan oleh Allah kepadanya, bukan untuk membela dan menjaga kaum muslimin, tetapi mengkhianati dan membunuh mereka. Kekuatan ketenteraan yang dia miliki sepatutnya digunakan untuk melancarkan jihad ke atas musuh Allah seperti negara Zionis-Israel, namun ia dihalakan pula kepada kaum muslimin sendiri. Rasulullah bersabda:

“ Seorang Muslim adalah bersaudara dengan Muslim yang lainnya, maka janganlah dia menindas saudaranya dan jangan sekali-kali dia menyerahkan saudaranya yang lain kepada pihak yang menindas” [HR Bukhari]

Seperti biasa, Malaysia yang mencanangkan kepada dunia bahawa ia adalah sebuah “negara Islam” yang moden, tetap membisu. Bagi pemerintah Malaysia, apa yang berlaku di Syria seolah-olah tiada kaitan dengan mereka. Inilah kesan daripada virus wataniyyah (nasionalis) yang telah ditanam oleh penjajah ke dalam hati dan jiwa umat Islam. Mereka tidak merasakan bahawa apa yang berlaku kepada umat Islam di Syria sebagai masalah saudara mereka yang memerlukan penyelesaian. Adalah amat keji perbuatan pemimpin khianat seperti Basyar al Assad yang sanggup membunuh rakyatnya demi mempertahankan secebis kekuasaannya, dan adalah lebih keji bagi para pemimpin kaum muslimin yang lain yang sanggup berdiam diri. Masalah umat Islam seharusnya diselesaikan oleh mereka sendiri dan bukannya oleh orang lain. Lebih malang sekiranya nasib umat yang terbaik ini diletakkan di tangan kaum kuffar dengan kuda tunggangannya PBB. Kita mengharapkan ada pemimpin kaum muslimin yang sanggup berdepan dengan pengkhianat sebegini dan menyatukan seluruh umat Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Salahuddin Al Ayubi. Namun nampaknya kita tidak boleh berharap kepada para pemimpin kaum muslimin yang ada sekarang, kerana mereka hakikatnya adalah sama seperti Basyar Al Assad yang khianat kepada rakyatnya.

Di bulan Ramdahan yang mulia ini, kita doakan semoga semangat kaum muslimin  di Syria kekal kental. Dan di bulan yang penuh berkat ini, kita doakan agar pertolongan (nusrah) Allah akan segera sampai kepada kita, yang dengannya, insyaAllah, segala kezaliman dan penindasan ke atas umat Islam akan berakhir. Wallahu a’lam.