Wahai Ulama, Selamatkan Umat Ini Daripada Kemurkaan Allah!!!

Harussani Zakaria (kiri) dan Hassan Din Al-Hafiz (kanan)Tokoh Islam setuju penubuhan Baby Hatch

KUALA LUMPUR: Tokoh Islam dalam negara bersetuju dengan penubuhan Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini yang pertama di Malaysia, yang boleh menyelamatkan bayi yang tidak diingini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata bayi yang tidak lagi diingini mesti diselamatkan, manakala ibu bapa bayi berkenaan harus dikenakan tindakan yang keras supaya memberi pengajaran kepada orang lain.
Saya menyokong langkah Kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Baby Hatch dalam isu ini kerana bayi berkenaan tidak berdosa.
 “Dulu kita tidak bersetuju dengan idea seperti ini kerana takut menghantar mesej yang salah kepada orang ramai terutama remaja, tapi pada masa sekarang kita sangat perlukan tempat sebegini untuk bayi yang tidak berdosa
,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Kelmarin, Penaung OrphanCARE yang juga Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom melancarkan Pusat Perlindungan Bayi Tidak Diingini atau Baby Hatch pertama dalam negara.

altPresiden OrphanCARE, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata organisasi itu bercadang mewujudkan banyak lagi pusat perlindungan bayi di seluruh negara bagi menyediakan tempat untuk bayi yang dibuang atau tidak diingini lagi. Baby Hatch yang beroperasi 24 jam menyediakan tempat perlindungan sihat dan selamat kepada bayi terbabit sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.

Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz pula berkata, usaha mewujudkan Baby Hatch adalah baik kerana ia menjadi tempat perlindungan bayi yang tidak bersalah serta boleh menjamin masa depan bayi itu.
Kalau kita pandang dari segi satu sudut memang menggalakkan zina tapi kita tak boleh biarkan bayi yang dilahirkan dibuang dan meninggal begitu saja. Malahan bayi berkenaan boleh diberikan kepada pasangan suami isteri yang mahukan anak dan Islam menganjurkannya,” katanya.

Penasihat Majlis Agama Negeri Johor, Datuk Noh Gadut, berkata gejala buang bayi pada masa kini sudah semakin teruk dan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan wajar mengambil tanggungjawab menyelesaikan perkara berkenaan.

Anak-anak kecil ini tidak berdosa dan wajib kita sediakan perlindungan kepada mereka, mana tahu mereka ini membesar menjadi anak yang soleh dan menjadi pejuang negara pada masa depan.

“Yang bersalah adalah ibu bapa anak kecil itu. Masyarakat harus bersama mencegah penyakit sosial ini termasuk melaksanakan undang-undang cegah zina yang ketat,” katanya.

Beliau turut menyarankan masyarakat supaya berfikiran terbuka dalam menyelesaikan masalah buang bayi serta bertanggungjawab mencegah perbuatan zina di kalangan remaja seperti yang disyorkan oleh Islam.

Sumber: Berita Harian Online 31/05/2010


Wahai Ulama, Selamatkan Umat Ini Daripada Kemurkaan Allah!!
Wajah-wajah comel  si manja ini sering memberi keceriaan. Justeru, apabila banyak yang dibuang, fenomena ini  amat menghiris perasaan. Pelbagai mekanisme disarankan untuk mengatasi gejala yang belum nampak surutnya. Kali ini, golongan ulama’ Islam telah menunjukkan taringnya….Setuju dengan penyelesaian “baby hatch” yang telah dilaksanakan di Barat. Inilah ‘fatwa’ yang telah mereka sepakati dalam menyelesaikan permasalahan kehidupan umat Islam masa kini. Undang-undang Islam dikatakan HARUS untuk dilaksanakan dalam usaha mencegah dosa zina. Padahal, hukum Islam itu WAJIB dilaksanakan oleh umat Islam yang mengaku dirinya beriman kerana Allah Subhanahu wa Taala telah menegaskan bahawa: “Dan tidak patut bagi laki-laki dan perempuan yang Muslim dan tidak (pula) bagi laki-laki dan perempuan yang mu’min, apabila Allah dan Rasulnya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah berbuat kesesatan yang nyata“. [TMQ Al-Ahzab :36]

Undang-undang seperti mana lagi yang difikirkan ‘ketat’ untuk mencegah zina selain hukum syara’ iaitu Khithab as-Syar’i (seruan Allah sebagai pembuat hukum.) Islam telah menetapkan agar penzina dihukum rejam (bagi yang sudah berkahwin) ataupun sebat sebanyak 100 kali (bagi yang belum berkahwin). Firman Allah Subhanahu wa Taala:  “Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” [TMQ An-Nur (24): 2]

Hukum Islam yang lengkap telah jelas termaktub dalam Kitabulllah dan ditunjukkan melalui Sunnah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Tanggungjwab orang Islam hanyalah untuk melaksanakannya sahaja. Allah s.w.t berfiman:  “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku”. [TMQ. adz-Dzariyat (51): 56]

Berkaitan dengan perbuatan zina, terdapat beberapa hukum syarak yang fungsinya bersifat mencegah dan menebus. Suruhan menutup aurat, menjaga pandangan mata, larangan bergaul bebas disyariatkan untuk mencegah daripada berlakunya dosa besar itu. Islam juga memperuntukan hukuman bagi pelaku zina yang mana dapat menebus dosa zinanya dan sekaligus melepaskannya daripada balasan azab di akhirat kelak.  Walaubagaimanapun, taklif untuk menguatkuasakan hukum syarak dalam kehidupan umat Islam dan melaksanakan hukum hudud ini terbeban pada negara. Negaralah yang WAJIB melaksanakan kewajipannya untuk menjalankan hukum hudud dengan menyebat atau merejam penzina-penzina ini.  Siapa lagi yang tidak akan gentar dengan hukuman ini?

Persoalan pokok yang seolah-olah tidak nampak jalan penyelesaiannya adalah apabila tokoh atau ulama’ Islam sendiri tidak mahu mengambil Islam sebagai penyelesaian yang Kaffah(menyeluruh). Mereka secara terang-terangan telah mengatakan bahawa dengan wujudnya baby hatch ini, dari satu sudut memang menggalakkan zina.  Namun, mereka masih bersetuju dengan penyelesaian ini yang kononnya atas rasa belas kasihan pada bayi-bayi yang tidak bersalah itu.  Sepatutnya mereka perlu rasa kasihan pada diri mereka sendiri kerana sesungguhnya merekalah orang yang zalim kerana tidak mengambil Islam sebagai cara hidup secara keseluruhan.

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.” [TMQ Ash-Shaff (61):7]

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir/ zalim/fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):44/45/47].

Wahai para ulama!!
Hentikanlah angan-angan dan lupakanlah cita-cita kalian ini. Sedarlah bahawa sistem jahiliyyah hanya mampu melahirkan masyarakat jahiliyyah. Masa depan anak-anak zina ini tidak akan terjamin dengan sistem kehidupan yang rosak. Malah, lebih banyak lagi masalah yang akan timbul seperti persoalan nasab, pendidikan dan kebajikan mereka. Selagi akar Sekular tidak dicabut dan akar Islam Kaffah ditanam, cabang-cabang sosial yang rosak tidak akan berhenti daripada tumbuh dan membuatkan seluruh anggota masyarat merasai azab apabila membelakangi amaran Allah. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta“. [TMQ Taha (20): 124].

Wallahua’lam