Dialog menuju kemurkaan Allah

MADRID 19 Julai – Persidangan antara agama anjuran Arab Saudi di sini berakhir dalam suasana keruh semalam dengan perbalahan politik antara peserta Islam dan Yahudi yang telah cuba dielakkan oleh penganjurnya.

Harapan untuk mengadakan perhimpunan susulan juga dipercayai malap.

Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah telah menghimpunkan penganut agama-agama besar di dunia untuk persidangan itu bagi mencari perdamaian antara agama dan memperlihatkan imej lebih liberal pada fahaman Wahabi yang diamalkan di Saudi.
Persidangan itu menandakan kali pertama Riyadh menjemput tokoh Yahudi untuk menghadiri perhimpunan sedemikian dan tujuannya untuk menjauhi isu-isu panas seperti konflik Palestin-Israel bagi memberi tumpuan kepada masalah yang dihadapi oleh umat manusia.
Namun pertikaman lidah yang disiarkan di televisyen antara rabai (pendeta) agama Yahudi dengan peserta Islam telah melanggar garis-garis panduan, kata seorang diplomat Asia Barat.

Penganjur, Liga Dunia Islam enggan membesar-besarkan perbincangan mengenai Zionisme antara Ezzeddin Ibrahim, penasihat kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Rabai Marc Schneier, Pengerusi Kongres Yahudi Sedunia bagi Amerika Utara.

Perbincangan tersebut telah menarik perhatian media.

“Pegawai UAE Menyerang Zionisme pada Persidangan Saudi,” lapor akhbar New York Sun.

Ezzeddin bagaimanapun menafikan laporan itu.

“Orang mendakwa saya menyerang Zionisme, saya menafikannya,” kata beliau kepada Reuters.

Tidak ada persidangan antara agama yang akan berjaya tanpa penyertaan penganut Yahudi, tegas beliau.

Schneier juga gigih mempertahankan Israel pada satu perdebatan kelmarin, selepas seorang peserta Islam menyebut tentang puak Zionis.

“Perkara biasa kalau terdapatnya sedikit perbezaan dan perselisihan antara peserta,” kata Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Abdullah Al Turki.

Bagaimanapun kenyataan akhir persidangan itu mengecewakan banyak pihak.

“Perisytiharan Madrid tidak menimbangkan kemungkinan satu lagi persidangan akan diadakan,” kata Abdullah. – Reuters

Sumber: Utusan Malaysia 19/07/08

Ulasan

Untuk ke sekian kalinya, negara umat Islam memperbodoh dan menyesatkan diri sendiri dengan mengadakan dialog dengan orang-orang kafir. Seperti biasa, tujuannya adalah untuk mencari persefahaman atau titik temu di antara agama-agama yang berbeza, khususnya antara agama samawi. Kejahilan melampau di kalangan pemimpin umat Islam, dan dalam kes ini pemimpin negara Arab sendiri, nampaknya telah makan tuan.

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa betapa Barat cuba memerangkap umat Islam dengan konsep dialog yang dicanangkan. ‘Keindahan’ konsep ini telah memukau tidak sedikit dari kalangan pemimpin kaum Muslimin. Dari seluruh kata-kata yang diluahkan oleh Barat dan juga para pak turut Barat dari kalangan pemimpin kaum Muslimin, kita dapat simpulkan bahawa dialog di antara peradaban atau agama ini bertujuan untuk

(1) menyeru kesamaan dan kesetaraan antara agama dan peradaban, serta mengakui bahawa tidak ada agama atau peradaban yang lebih baik di atas yang lain

(2) menerima keberadaan agama atau peradaban lain sebagaimana adanya, serta mengungkap konsep agama dan peradaban lain tanpa memberikan penilaian salah terhadapnya dengan tujuan agar saling memahami dan mengakui pihak lain tanpa batas atau syarat tertentu.

(3) interaksi bagi menciptakan satu peradaban alternatif yang unggul dengan mencari titik temu dan nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung di dalam setiap agama atau peradaban.

Pemimpin dunia Islam hingga kini masih tenggelam di dalam kejahilan mereka dengan tetap menganjurkan dialog seumpama ini. Mereka tetap dalam kebutaan bahawa seluruh konsep dan seruan di atas adalah sangat bertentangan dengan Islam. Tidak ada satu dalil pun yang membenarkan apatah lagi memerintahkan dialog seumpama itu.

Konsep dialog antara agama dan peradaban ini adalah konsep yang lahir dari pemikiran kufur, kerana ini merupakan seruan untuk “menyamakan” yang bathil dan yang haq, antara deen yang menyimpang dan deen yang lurus, antara kekufuran dan keimanan, antara kesesatan (dhalalah) dan petunjuk (hidayah), antara agama yang telah dihapuskan dengan agama yang menghapuskan. Dengan kata lain, dialog antara agama ini adalah usaha kuffar Barat untuk menyamakan antara agama kufur mereka dengan agama Islam.

Sungguh, para pemimpin umat Islam ini amat lalai dengan begitu banyak firman Allah,
 
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: ’Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)’ dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu” [TMQ al-Baqarah (2) :120].

“..mereka (orang-orang kafir) tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu” [TMQ al-Baqarah (2):217]

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi Al-Kitab, niscaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman” [TMQ Ali Imran (3):100]

“Sebahagian besar ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran (Islam)” [TMQ al-Baqarah (2):109]

“Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolong(mu), hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika mereka berpaling, tawan dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorangpun di antara mereka menjadi pelindung, dan jangan (pula) menjadi penolong” [TMQ an-Nisa’:89]

Itulah di antara peringatan dari Yang Maha Mengetahui kepada kita semua. Masihkah kita percaya bahawa Barat ingin “berdialog” dengan kita apabila Kalamullah sendiri menjelaskan sebaliknya? Masihkah kita ingin menyahut seruan kufur ini di kala Al-Qur’an mengajarkan kepada kita bagaimana kita sepatutnya menghadapi dan memerangi musuh-musuh Allah ini? Firman Allah,

“Perangilah orang-orang Yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan ugama yang benar, Iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar Jizyah dengan keadaan taat dan merendah diri “[TMQ at-Taubah (9):29]