Wajah Hipokrit AS
WASHINGTON 15 Jan. – Presiden Barack Obama menyatakan kesediaan untuk menyumbang AS$100 juta (RM333 juta) kepada mangsa gempa bumi Haiti semalam dan mendapat sokongan daripada dua bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan bantuan serta berjanji kepada penduduk Haiti bahawa, “Kamu tidak akan diabaikan.”
Obama yang berhadapan dengan ujian terbesarnya dalam bantuan antarabangsa sejak menjadi Presiden tahun lalu, berjanji unutk memberi sumbangan awal AS itu. Beliau juga berkata beliau telah mengarahkan pentadbirannya melancarkan ‘usaha menyelamat dengan segera, terancang dan agresif’ untuk menyelamatkan nyawa serta membantu operasi pencarian di Haiti. White House lewat semalam turut mengumumkan bahawa ketua Kakitangan Keselamatan Antarabangsa, Denis McDonough akan berlepas ke Haiti bersama-sama pegawai hal ehwal awam dari Pentagon untuk membantu menyelaraskan usaha komunikasi. Obama mendapat sokongan daripada bekas Presiden Bill Clinton dari Parti Demokrat yang kini merupakan wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Haiti dan juga bekas Presiden George W. Bush dari Parti Republikan. – Reuters
Tatkala AS sedang terus-menerus membunuh umat Islam dengan hebat di Iraq, Afghanistan, Pakistan dan menjadi dalang dengan membiarkan Israel membunuh umat Islam di Palestin, tiba-tiba AS menjelmakan wajah hipokritnya untuk menjadi jaguh dalam menolong mangsa-mangsa gempa bumi di Haiti. Bagi seorang Muslim, nilai sumbangan AS yang berjumlah AS$100 juta (RM333 juta) itu jika ingin dibandingkan dengan jutaan bilion yang telah digunakan oleh AS dalam menyembelih dan membunuh umat Islam di seluruh dunia tidak akan dapat menutup kejahatan yang telah dilakukan oleh AS laknatullah itu. Hodoh sungguh wajah AS dan begitu memualkan baunya. Ibarat musang berbulu ayam, itulah hakikat AS yang sebenar.
Ya, sebagai manusia kita tentunya sedih dan bersimpati dengan kejadian gempa yang berlaku ini. Kejadian gempa yang berlaku ini sepatutnya menginsafi dan mengingatkan kita betapa kerdilnya kita sebagai makhluk di sisi Allah SWT. Bayangkanlah betapa besar kekuatan dan kehebatan Allah SWT, hanya dalam beberapa saat dan sekelip mata sahaja mampu menghancurkan serta meranapkan seluruh bangunan yang dibuat oleh manusia yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk disiapkan. Itulah kuasa Allah SWT Yang Maha Besar. Manusia hanya mampu mengukur skala kekuatan gempa bumi yang berlaku, tetapi kekuatan dan kecanggihan manusia itu sendiri tidak mampu untuk menghalang kejadian itu daripada berlaku. Gempa itu sendiri merupakan kejadian yang berlaku di dalam kawasan (wilayah) yang menguasai manusia. Itulah yang dikatakan sebagai qadha. Ia berlaku dan menimpa sama ada ke atas orang-orang kafir mahupun umat Islam itu sendiri. Ingatlah firman Allah SWT:
“Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu. Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu yang menyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugur anak yang dikandungnya, dan engkau akan melihat manusia mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat lagi mengerikan”. [TMQ Al-Hajj (22) : 1-2].
Ketahuilah bahawa kejadian gempa ini bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah kehidupan manusia. Ia pernah menimpa ke atas kaum Nabi Soleh ‘alaihissalam iaitu kaum Thamud. Firman Allah SWT: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka, Nabi Soleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu kepada Allah, tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) daripada Tuhan kamu. Ini adalah seekor unta betina (daripada) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya. (Kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
“Dan ingatlah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi (dengan diberikan kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi“. Ketua-ketua yang sombong takbur daripada kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka: “Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutus daripada Tuhannya?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang dia diutuskan untuk menyampaikannya”.
Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap ingkar terhadap orang yang kamu beriman kepadanya”. Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka sambil berkata: “Wahai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau daripada Rasul-rasul yang diutuskan (oleh Allah)”. Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat“. [TMQ Al- A’raaf (7) : 73-79]