Wanita Islam Menjadi Korban Rejim India yang Diskriminatif

oleh Ummu Hani

Hebatnya persaudaraan dalam Islam diungkapkan Rasulullah SAW seperti tubuh yang satu. Setiap anggota saling merasai kesakitan dan penderitaannya. Ini termasuklah persoalan yang menimpa muslimah walau di mana mereka berada. Bak kata pepatah, cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Namun, keluhan derita, sakit dan perih yang dialami oleh wanita Muslim di India seakan tidak didengari, sayup ditutup mitos terorisme dan dendam kesumat yang telah mengakar sekian lama dalam diri musuh Islam. Perasaan kemanusiaan sudah hilang dari mereka kerana ketakutan terhadap label-label ilusi yang mereka cipta sendiri. Membawa persoalan Muslimah India kepada komuniti antarabangsa pula ibarat menggantang asap mengukir langit. Sia-sia. Namun benarkah demikian dan mengapa wujud diskriminasi ini?

Wanita Islam di India sering menjadi sasaran gangguan seksual oleh penganut Hindu. Laporan oleh BBC News bertarikh 10 Julai 2021 menyatakan tentang wujudnya sebuah laman web GitHub di India yang menggunakan aplikasi ‘Sulli Deals’ yang beroperasi dengan ‘melelong’ secara terbuka puluhan wanita Muslim. Berita Harian pada 11 Julai 2021 pula melaporkan jumlah mereka adalah ratusan. Gambar-gambar mereka dimuat naik untuk disenaraikan dalam ‘tawaran hari ini’. Walaupun lelongan itu adalah secara olok-olok dan laman web tersebut telah pun ditutup, namun ia mengundang reaksi marah dan kecewa bagi mangsa yang terlibat. Ini kerana aplikasi tersebut dianggap bertujuan untuk menghina maruah mereka. Perkataan “sulli” itu sendiri adalah istilah yang digunakan oleh nasionalis Hindu untuk menghina wanita Muslim. Bukan itu sahaja, walaupun laporan telah dibuat, harapan untuk penjenayah diambil tindakan undang-undang adalah sangat tipis.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, wanita Muslim di India yang sememangnya sering menjadi sasaran oleh penganut Hindu bukan sahaja berhadapan dengan ancaman pelecehan seksual, pemerkosaan, serangan, dan pembunuhan di dalam negara sendiri, kali ini mereka turut berhadapan dengan gangguan seksual secara terbuka dari pihak luar. Malah, dilaporkan dari sumber yang sama bahawa mereka mendapat ugutan rogol dan bunuh. Sebenarnya ini bukan kali pertama berlaku seperti mana yang dinyatakan oleh Hasiba Amin, seorang penyelaras media sosial untuk Parti Kongres pembangkang. Menurutnya, wanita Muslim kerap diserang di media sosial termasuk di YouTube.

Tidak kiralah sama ada secara dalam talian atau secara fizikal, keselamatan wanita Muslim di India memang tidak terjamin. Jika diteliti pada laporan tersebut, wanita yang menjadi mangsa adalah dari kalangan mereka yang terkenal atau aktif menyuarakan isu-isu umat Islam India di media sosial seperti di Twitter. Dari peristiwa ini terlihat adanya usaha yang bersungguh-sungguh untuk membungkam dan menyekat suara wanita-wanita tersebut dari menentang Islamofobia. Bahkan mereka dipermalukan sehingga menimbulkan trauma tersendiri. Sungguh menyedihkan kerana di saat penganut Hindu bebas untuk beragama dan berpendapat di negara mereka, Muslim dilayan secara tidak adil. Sedangkan jumlah penduduk Muslim di India mencapai hampir 200 juta. Alasannya hanya kerana mereka adalah Muslim, bukan Hindu.

Pemerintahan India hari ini yang diketuai oleh Modi sejak dari awal telah menampakkan sikap diskriminasinya terhadap Muslim. Layanan buruk terhadap Muslim bukan sahaja datang dari kelompok-kelompok Hindu tertentu yang merupakan penyokong parti BJP yang berkuasa, bahkan dari pendeta-pendeta Hindu sendiri. Jadi, tidak hairanlah jika isu-isu mengenai perlakuan tidak adil yang dialami oleh wanita Muslim dibiarkan dan tidak diendahkan. Di sisi lain, walaupun pemerintah India berusaha untuk menutupi semua pemberitaan tentang sikap diskriminatif mereka, masyarakat dunia telah lama mengetahuinya. Sudah terang lagi bersuluh, kezaliman Jahiliyyah memang wujud di India. Sehingga Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dalam salah satu kenyataannya menyebut India adalah sponsor kepada Islamofobia. Menurutnya, hal itu disebabkan ideologi RSS yang sedang menguasai India pada hari ini. Ideologi ini mendorong penganut Hindu di India menganggap bahawa India adalah eksklusif untuk Hindu yang mewakili 80 peratus penduduk dan selain dari mereka tidak dianggap setara.

Hakikatnya keluhan panjang wanita Muslim di India masih belum mendapat pembelaan sewajarnya. Itulah juga yang dialami oleh wanita Muslim di banyak negara yang lain seperti wanita Muslim Uighur, Rohingya, Palestin, dan lain-lain. Modus operandi musuh adalah sama! Umat Islam sering menjadi sasaran pembenci-pembenci Islam. Mereka yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak lebih terdedah kepada bahaya. Sikap anti-muslim, diskriminasi, ketidakadilan, dan penafian hak untuk bersuara serta hak beragama secara bebas bagi umat Islam di India adalah buah-buah dari sistem buruk tinggalan penjajah di India. Bahkan dalam kes-kes tertentu, India meniru model Israel di Palestin dalam berhadapan dengan umat Islam yang menggambarkan pelanggaran hak asasi manusia terburuk abad ini!

Namun, ke mana mereka mahu mengharap sedangkan luka yang bernanah terus ditoreh dan tidak sempat untuk sembuh.  PBB telah terbukti tidak mampu menyelesaikan isu-isu umat Islam. Hak Asasi Manusia yang kononnya wujud dalam sistem Demokrasi milik mereka adalah bicara kosong. Mereka menganggap isu-isu Muslim adalah masalah dalaman negara tersebut. Organisasi munafik yang dikawal oleh negara-negara kuffar tetap akan menyokong dan mempertahankan hegemoni mereka. Sebaliknya, jika berharap kepada organisasi milik umat Islam seperti OIC pun tidak ke mana. Pemimpin-pemimpin OIC, dengan egoisme masing-masing tidak mahu tunduk kepada pendapat negara Muslim lainnya. Perbincangan demi perbincangan hanya berakhir di meja persidangan. Ya, paling jauh yang mampu mereka lakukan untuk mengambil hati umat adalah mengecam dan mengecam. Itu sahajakah ukuran kekuatan pemimpin-pemimpin khianat umat Islam ini? Adakah dengan mengecam mampu mengeluarkan umat dari penderitaan mereka?

Oleh itu, telah sampai masanya umat Islam menegakkan sistem yang adil dan mampu melenyapkan semua kezaliman yang menimpa umat ini, baik lelaki mahupun wanitanya. Kerana terbukti, ketika Islam menjadi kuasa besar dunia, tiada seorang pun umat Islam yang dibiarkan teraniaya dan dizalimi. Negara benar-benar menjadi perisai bagi umat. Seluruh manusia mendapat rahmat dari sistem yang adil ini. Bagi wanita, bukan sahaja yang Muslim, non-Muslim juga akan mendapatkan hak kebebasan beragama dan hak untuk dilindungi keselamatan dan kehormatan mereka.

Apa yang berlaku hari ini adalah hasil rekayasa Barat membentuk sempadan-sempadan Nasionalisme. Maka terjadilah kezaliman dan ketidakadilan yang berpanjangan terhadap kelompok minoriti Muslim di mana-mana. Namun percayalah, peradaban kuffar telah rapuh dan akan runtuh pada bila-bila masa. Oleh itu marilah bersatu memperjuangankan peradaban Islam di bawah naungan Khilafah kerana ketika Khilafah tertegak, ia akan hadir sebagai pelaksana syariah secara kaffah. Semua peraturan Islam akan diterapkan dengan sempurna untuk meraih kesejahteraan hidup umat manusia.

Sesungguhnya Allah telah berjanji bahawa kebatilan akan sirna apabila kebenaran telah datang. FirmanNya:

وَقُلۡ جَاۤءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَـٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقࣰا

“Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”. [TMQ Al-Isra’(17): 81].

Wahai Muslimah, saudara-saudaramu sangat memerlukan semangatmu. Rintihan mereka belum berakhir. Teruslah menggerakkan pena dan lisanmu untuk menggoncang jiwa-jiwa penguasa. Mereka perlu disedarkan bahawa sempadan negara bangsa telah terbukti menghancurkan tubuh umat. Membuat mereka menderita. Adakah itu yang Nabi kita serukan dalam perjuangannya? Bukankah Nabi SAW menyerukan persatuan? Menyerukan persaudaraan dan menjauhi ashabiyyah? Menyeru agar menentang kekufuran dan kezaliman?

Rujukan berita:

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/07/838072/wanita-muslim-india-dihina-untuk-dijual-dalam-talian

https://www.bbc.com/news/world-asia-india-57764271