Wanita Masih Tidak Mencapai Kesejahteraan Dalam Abad Ke-21
Kempen hentikan keganasan terhadap wanita dan kesedaran terkait keganasan domestik rancak dipaparkan di media sosial, media cetak dan kaca televisyen. Pelbagai slogan dan seruan dilaungkan agar wanita dikasihi, bukan dilayan dengan kekerasan. Para wanita juga dididik agar tampil ke depan untuk melaporkan kes-kes keganasan. Namun, dilema yang menimpa kaum wanita nampaknya tetap tidak berkesudahan walaupun sudah memasuki abad ke-21. Pada bulan Mac 2021, Malaysia dikejutkan dengan satu kes pembunuhan kejam di mana seorang suami dilaporkan telah mengaku membunuh isterinya dengan menggunakan senapang angin ketika si isteri sedang tidur. Lebih tragis lagi apabila mayat isteri tersebut dimasukkan ke dalam tong, kemudiannya ditanam di ladang sawit secara rahsia. Namun si suami melaporkan isterinya sebagai kes orang hilang pada 5 Mac. (1) Pada 8 Mac pula, berita melaporkan mayat seorang wanita ditemui dengan kesan jerut pada lehernya dalam sebuah rumah. (2) Keesokkanya pula berita sekali lagi berita melaporkan kes bunuh melibatkan isteri di mana sang suami menetak leher isterinya yang mengandung akibat cemburu, di Tawau. (3)
Berikutan dengan rentetan jenayah ini, Berita Harian melaporkan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) telah menggesa agar turut memasukkan pembunuhan isteri oleh suami sebagai satu daripada bentuk keganasan rumah tangga dalam Akta Keganasan Rumah Tangga sedia ada. WAO turut dipetik menyatakan, beberapa kejadian pembunuhan wanita ditembak dan ditetak leher oleh suami jelas menunjukkan trend ini semakin meluas dan bukan lagi dianggap sebagai insiden terpencil. WAO turut meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendokumentasikan dan mengesan pembunuhan yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga serta mempraktikkan protokol lebih ketat dan jelas dalam mengendalikan kes-kes seperti ini. (4)
Beberapa siri kes pembunuhan terhadap wanita ini hanya sebahagian dari kes-kes lain yang mendapat sorotan utama mutakhir ini di tanah air. Ia sebenarnya bukanlah berita yang jarang kedengaran, tapi hampir setiap tahun masyarakat akan dikejutkan dengan kes-kes melampaui batas yang menimpa kaum wanita khususnya secara bermusim.
Bahkan apabila disoroti dengan lebih luas di negara-negara lain, dilema keganasan terhadap wanita dan femicide (jenayah pembunuhan yang menjadikan wanita sebagai mangsa) semakin parah. WHO (Organisasi Kesihatan Dunia) sendiri pada bulan ini mengesahkan bahawa anggaran 1 daripada 3 wanita menghadapi keganasan di seluruh dunia, laporan menyatakan bahawa 25 peratus wanita secara global menjadi mangsa penderaan fizikal dan gangguan seksual dari pasangannya. Dalam kajian terbesar yang dijalankan oleh WHO ini yang merangkumi data dan kaji selidik kebangsaan 2000-2018, WHO melaporkan bahawa kira-kira 31 peratus wanita berusia 15-49 tahun atau sehingga 852 juta wanita, telah mengalami keganasan fizikal atau seksual. Manakala pemangsanya kebiasaannya terdiri daripada sang suami atau pasangan mereka sendiri. (5)
Corak jenayah dan dilema yang sama menimpa kaum wanita di peringkat global mahupun lokal ini sebenarnya wajar dibimbangi dan diberikan perhatian serius oleh para wanita. Hal ini kerana ia berkait rapat dengan pembangunan dan perkembangan kesejahteraan wanita sejak berabad lamanya yang terus menerus merudum sejak dunia didominasi dan ditadbir urus oleh ideologi sekular. Malah, pada abad ke-21 ini, isu keganasan terhadap wanita yang telah menjadi endemik di setiap negara dan dalam semua budaya, telah menyebabkan kemudaratan kepada berjuta-juta kaum wanita dan keluarga mereka. Situasi ini menunjukkan realiti yang langsung tidak seiringan dengan perjuangan gender dan seruan pemerkasaan wanita yang menjadi slogan yang dilaungkan saban tahun oleh sekumpulan wanita elit, golongan NGO dan barisan ahli politik sekular. Sehingga pelanggaran hak-hak wanita dan kanak-kanak perempuan lebih sering didengari berbanding pencapaian kaum wanita secara menyeluruh.
Wahai saudara saudari sekalian, tidakkah kalian terfikir mengapa sistem pentadbiran dan perundangan sedia ada yang berasal dari Commonwealth ini tidak pernah cukup dan mampu menangani permasalahan yang menimpa wanita? Sejak era penjajahan sehinggalah negara bangsa mendapat kemerdekaan, sistem negara mahupun perundangan tidak pernah dapat mendukung nasib wanita secara menyeluruh. Wanita diwar-warkan dengan peluang kerjaya yang lebih luas, kepentingan penglibatan dalam sektor ekonomi, menjadi pemangkin pembangunan negara, kebebasan menyertai arena politik dan kepimpinan negara, kebebasan pilihan bertingkah laku berasaskan liberal (termasuklah untuk memilih tidak mengikuti syariat) dan sebagainya, TETAPI mereka tidak pernah menikmati kesejahteraan mapan dari semua ini.
Misalnya, di Malaysia sendiri, Akta Keganasan Rumah Tangga, walaupun telah digubal sejak 1994, dan melalui siri pindaan, tetap penuh kelompongan dan tidak mampu menjamin kesejahteraan wanita dari kes keganasan. Bahkan sehingga kini, undang-undang ini tetap dilihat lemah dan tidak mampu memberikan keadilan saksama atau mencegah keganasan terhadap wanita dan mangsa keganasan lain yang diiktiraf di bawahnya. Ia juga tidak mampu mendidik masyarakat apatah lagi `digeruni’ atau dihormati sehinggakan para pelaku langsung tidak memandang serius terhadap akta ini, serta peraturan dan perundangan lain yang berkaitan.
Ini merupakan nuansa yang berbeza dengan keadaan wanita ketika institusi negara Islam Madinah, Khulafa ar-rasyidin sehinggalah era kekhilafahan wujud. Yang mana perundangan yang diterapkan dalam pemerintahan-pemerintahan ini adalah syariat Islam kaffah, malah Syariah Islam menjadi budaya dominan masyarakat dalam Daulah mengatasi budaya-budaya tradisi etnik atau kaum tertentu. Undang-undang terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan tidak perlu digubal, dipinda dan polisi tidak perlu diekperimentasi berulang kali untuk mencapai keadilan dan menjamin kesejahteraan wanita, sama ada Muslim mahupun kafir, warganegara mahupun bukan. Pelaksanaan syariat Islam sebagai dasar negara ternyata sudah cukup untuk menjaga hak-hak wanita dan mengangkat tinggi kehormatan mereka. Sehingga sepanjang lebih dari 1300 tahun sistem negara Islam wujud, hanya catatan emas pencapaian tinggi dan kemuliaan yang menjadi warisan sejarah. Bukan kisah-kisah hitam penuh duka sebagaimana yang dihidangkan kepada kita setiap tahun, dari merata dunia. Seolah-olah dunia hari ini langsung tiada pembaikan dan jauh dari ketamadunan manusia yang waras.
Wahai saudara dan saudari sekalian..
Jelaslah semua masalah keganasan dan jenayah lain yang terbit dari masalah-masalah tersebut, tercetus apabila sistem negara sedia ada pada hari ini tidak menjadikan syariat Islam sebagai asas negara atau ‘foundation’ kepada perundangan, peraturan dan segala polisi negara. Syariat Islam sepatutnya digunakan untuk mengatur hal ehwal rakyat. Sebaliknya, apabila pemikiran Barat digunakan sebagai asas, maka tidak hairanlah kerosakan demi kerosakan, kes demi kes semakin memburuk menimpa kaum wanita dan kanak-kanak perempuan. Sistem yang rosak dari amalan demokrasi sekular juga melemahkan penerapan syariat Islam sehingga menjauhkan manusia, baik lelaki mahupun perempuan dari berfikir dan bertindak dengan pola fikir dan pola sikap Islami yang sebenar. Hal ini justeru menyebabkan manusia jauh dari ketakwaan yang hakiki. Sehinggakan mereka berani memilih terjerumus dalam pelbagai maksiat dan kemungkaran di luar batas sihat akal fikiran manusia, termasuklah membunuh, mendera, menghina serta segala macam sikap tidak manusiawi terhadap orang lain yang dianggap inferior. Hilangnya elemen ketakwaan dalam masyarakat ini sememangnya sudah terang lagi bersuluh lahir dari sebuah masyarakat yang tidak didominasi oleh nuansa ketakwaan Islam, tapi hidup dalam persekitaran yang penuh keganasan dan idea merosakkan. Walhal dalam Islam, ketakwaan merupakan elemen paling penting dan utama dalam mencegah kemungkaran. Namun dalam sistem dominasi sekular-demokrasi-liberalisme hari ini, ketakwaan tidak lagi menjadi keutamaan dalam pembentukan masyarakat. Manakala Islam tidak lagi difungsikan untuk mengatur urusan kehidupan manusia.
Persoalan seterusnya, sampai bila negeri-negeri umat Islam, termasuk Malaysia akan terus merujuk kepada konvensyen antarabangsa seperti CEDAW, Deklarasi Beijing, Konvensyen Istanbul dan perundangan sekular dalam merangka perlindungan dan pencegahan keganasan terhadap para wanita dan kanak-kanak perempuan? Belum cukup jelaskah dilema ini tidak berkesudahan? Sampai bila para penguasa Muslim akan terus menyertai barisan pembuat makar walhal sudah terang lagi nyata ianya tidak berkesan dalam memberikan kesejahteraan hakiki kepada wanita dari pelabgai lapisan masyarakat – bekerjaya, suri rumah tangga, bujang, isteri mahupun janda atau balu, kaya mahupun miskin? Walhal Allah SWT telah pun memperingatkan melalui firmanNya:
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ Al-Maidah (5): 50]
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”. [TMQ Al-Baqarah (2): 120]
Manakala pelbagai konvensyen, persidangan antarabangsa dan perundangan Barat hakikatnya hanyalah mekanisme untuk mengukuhkan lagi idea-idea sekular dan liberal ke atas kaum wanita dan menjauhkan mereka dari mengambil syariat Islam sebagai peraturan kehidupan. Setiap program dan acara yang dirangka di peringkat antarabangsa ini disusun secara sistematik untuk melahirkan wanita berfikiran moderat dan tidak menjadikan nilai-nilai agama sebagai keutamaan membentuk jati diri mereka. Sebab itu tidak hairan apabila ada agensi-agensi badan terbabit sering menghentam hukum Islam terkait rumah tangga seperti peranan wanita sebagai ummu wa rabbatul bait, poligami, perkahwinan usia remaja, hukum pergaulan, hukum berpakaian hijab syarie dan lain-lain lagi sebagai sesuatu yang tidak adil dan menganiaya wanita. Walhal, merekalah yang menyeleweng dan mencipta pandangan yang salah terhadap hukum-hukum ini.
Sungguh aneh apabila umat Islam yang telah dinobatkan sebagai khairu ummah, umat terbaik oleh Nabi SAW namun memilih untuk bercermin pada perundangan dan konvensyen yang lahir dari akal manusia semata-mata untuk menyelesaikan permasalahan manusia dan mengatur tadbir urus kehidupan manusia. Lebih-lebih lagi oleh negara yang majoriti muslim, dipimpin oleh seorang penguasa beragama Islam. Mereka sepatutnya lebih ke hadapan dalam menjadikan syariat yang diimani sebagai dasar utama dalam mengatur kehidupan rakyat. Justeru, kenapa mereka mesti mengikut tamadun yang rosak yang sudah jelas banyak kehancuran sosial dalam negara mereka akibat dari pemikiran-pemikiran yang mereka terapkan ke atas rakyat mereka? Dan sesungguhnya wajarlah mereka menerima aturan dari Allah SWT sebagai standard perundangan antarabangsa berbanding para pemikir Barat kerana Dia-lah yang Maha Menciptakan semua makhluk termasuk manusia dan Maha Mengetahui apa yang terbaik buat manusia.
Wahai saudara saudari sekalian..
Di dalam Islam, tidak dibenarkan memperlakukan wanita dengan kasar sebagaimana yang Aisyah RA sampaikan:
“Aku tidaklah pernah sama sekali melihat Rasulullah SAW memukul pembantu, begitu pula memukul isterinya. Baginda tidaklah pernah memukul sesuatu dengan tangannya kecuali dalam jihad (berperang) di jalan Allah.” (HR. Ahmad)
Justeru, mengapakah dibiarkan para wanita ditimpa pelbagai tindakan kekerasan dan keganasan pada hari ini di pelbagai belahan dunia? Punca berlakunya segala peristiwa buruk terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan ini tidak lain tidak bukan kerana syariat Islam ditinggalkan dari keutamaan hidup kita:
“Siapa saja yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan mengumpulkan dia pada Hari Kiamat nanti dalam keadaan buta.” [TMQ Taha (20): 124]
Apabila syariat Islam sudah tidak menaungi kehidupan, inilah antara kesempitan hidup yang dilalui, yang telah berlarutan saban tahun sejak 100 tahun lalu, inilah realiti yang mampu disaksikan menimpa kaum wanita. Wanita semakin sengsara, tertindas dan terdedah pada pelbagai ancaman. Maka, sudah masanya mengembalikan sebuah kepimpinan yang akan melindungi dan mensejahterakan wanita. Mengembalikan semula rekod lebih 1300 tahun yang lalu tatkala wanita dinaungi oleh sistem negara berteraskan syariat Islam kaffah (Khilafah), satu-satunya rekod tamadun dunia di mana wanita hidup sejahtera, kehormatan terpelihara, nyawa dan darahnya terbela dan diiktiraf sebagai wanita paling bahagia (di bawah pentadbiran Islam).
Wallahu`alam.
Oleh: Aliya Ab Aziz (Lajnah I’lamiyah MHTM)
Sumber berita:
1) https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/03/796499/suspek-tembak-bunuh-isteri-didakwa-esok
2) https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/03/794027/wanita-ditemui-mati-dengan-kesan-jerut
3) https://www.hmetro.com.my/utama/2021/03/682200/tetak-leher-isteri-sarat-mengandung-kerana-cemburu
5) https://www.aljazeera.com/news/2021/3/9/one-in-three-women-globally-endure-violence-who