Ya! Isu Limbang Boleh Selesai

Isu Limbang boleh selesai

CYBERJAYA 20 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya kedudukan Limbang yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Brunei akan selesai apabila kerja-kerja penandaan sempadan kedua-dua negara secara kekal dan tepat dilaksanakan.

Serentak itu, Perdana Menteri meminta semua pihak tidak membuat andaian mengenai status wilayah itu setelah Kuala Lumpur dan Bandar Seri Bengawan menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih Isnin lalu.

‘‘Apa yang diputuskan ialah kita telah menandatangani perjanjian itu yang memberi kesempatan untuk membuat tanda-tanda sempadan yang tepat antara Malaysia dan Brunei.

Sumber : Utusan Malaysia – 21/03/09


Ya’ Isu Limbang Boleh Selesai. Tetapi Hanya Dengan Islam, Bukan Dengan Ashobiyyah

Sekiranya pemimpin kaum Muslimin menjadikan Islam sebagai penyelesaian bagi semua masalah, maka isu Limbang yang melibatkan sempadan Malaysia dan Brunei akan dapat diselesaikan dengan mudah. Namun begitu kita melihat betapa degil dan angkuhnya pemimpin-pemimpin di dunia Islam saat ini yang masih lagi meletakkan ashobiyyah sebagai kayu ukur untuk menyelesaikan persoalan ini.

Bukankah Tuhan yang disembah oleh umat Islam di Malaysia dan Brunei adalah Tuhan yang satu? Bukankah nabi yang dijadikan ikutan oleh umat Islam di Malaysia dan Brunei itu adalah nabi yang sama? Bukankah al-Quran yang dibaca di Malaysia dan Brunei itu adalah al-Quran yang sama? Sebelum ini juga, isu ini telah diulas untuk mengingatkan para penguasa umat Islam agar membawa persoalan ini kepada Islam bukan sebaliknya.

Wahai pemimpin umat Islam! Campakkanlah fahaman jahiliyah ashobiyyah sejauh-jauhnya dan ambillah Islam secara keseluruhannya. Wahai para ulama umat Islam! Bangunlah untuk memuhasabah para umara yang hampir dengan kamu itu. Ingatkan mereka akan kewajiban perlu mereka tunaikan.

Ingatkan mereka kepada azab Allah SWT yang menanti mereka sekiranya mereka tidak menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat mahupun bernegara, sedangkan mereka adalah golongan yang mempunyai kuasa. Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa umat Islam di Malaysia dan Brunei dan di tempat-tempat lain itu adalah saling bersaudara.  Janganlah kita hanyut dalam tipu daya dunia yang sementara ini!