Zakat Kewajiban Yang Dituntut

Zakat bawa kemakmuran

PEKAN 12 Sept. – Umat Islam akan mencapai tahap kemakmuran ekonomi yang tinggi jika setiap penganut agama itu menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan membayar zakat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegas Perdana Menteri, umat Islam perlu melihat kewajipan zakat daripada perspektif yang lebih luas dalam meningkatkan ekonomi.

”Pemberian zakat perlu dilihat daripada sudut yang lebih luas. Zakat wajib ke atas mereka yang sepatutnya membayar zakat sama ada perniagaan atau perseorangan. Zakat ada kaitan dengan prinsip tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian zakat dan sumbangan kepada kira-kira 4,000 penerima yang terdiri daripada fakir miskin dalam Parlimen Pekan di sini hari ini.

Bantuan zakat itu disumbangkan oleh Bank Rakyat, Uda Holdings Berhad, Lebuhraya Kedah Selatan, Yayasan Basmi Kemiskinan dan Yayasan Harmoni.

Pada majlis sama, seramai 359 orang bukan Islam turut menerima sumbangan daripada institusi-institusi berkenaan.

Najib yang mewakili Yayasan Rahah juga menerima sebuah van jenazah daripada Uda Holdings.

Perdana Menteri menjelaskan, tanggungjawab membayar zakat membuktikan keindahan agama Islam dalam memelihara keharmonian daripada sudut ekonomi masyarakat.

Selain zakat, tambah beliau, Islam turut mengajak umatnya melakukan sedekah jariah atau infak bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.

”Jika kita hendak tambah lagi amalan, kita lakukan menerusi sedekah jariah atau infak,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan para penerima zakat supaya membelanjakan wang yang diperoleh kepada perkara yang memanfaatkan diri dan keluarga seperti untuk persiapan Aidilfitri tidak lama lagi.

”Bagi penerima, mereka juga ada tanggungjawab masing-masing iaitu tidak mempersia-siakan sumbangan yang diperoleh. Belanja untuk jalan yang baik dan jangan beli benda yang tidak patut dibeli,” tegasnya.
Beliau juga mengingatkan para pemimpin di semua peringkat supaya menjalankan amanah mengikut syariat Islam.

Sikap sedemikian jika diamalkan, jelasnya, akan menjadikan masyarakat hidup dalam harmoni apabila semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing seperti yang dikehendaki.

”Setiap kita ada tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Sebagai pemimpin negara, dia bertanggungjawab memimpin negara dengan baik. Begitu juga sebagai ketua badan korporat, yayasan atau koperasi, dia bertanggungjawab mengendalikan harta syarikat dengan sempurna.

”Masyarakat akan  menjadi lebih makmur hasil daripada tanggungjawab yang kita sempurnakan itu,” katanya.

Sumber:  Utusan Malaysia 13/9/09


Zakat  Kewajiban Yang Dituntut

Zakat adalah kewajiban yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atas hambanya. Perbincangan tentang zakat sememangnya tidak dapat terlepas dari topik kemiskinan kerana salah satu dari asnaf zakat adalah  untuk orang-orang miskin.

Yang menghairankan ialah, kenapakah dengan jumlah zakat yang berjuta-juta ringgit dipungut setiap tahun, namun kemiskinan masih tetap berleluasa? Tambah menghairankan  lagi  ialah, kenapakah setelah dibahagi-bahagikan harta zakat, masih banyak lagi yang tersisa di dalam simpanan sehingga ada cadangan untuk melaburkan harta zakat? Sungguh aneh! Wang zakat banyak tersisa tetapi fakir miskin tetap ada. Ke mana perginya harta zakat, sehingga masih ada yang merempat?

Zakat sememangnya suatu  hal yang sangat penting di dalam Islam. Ia merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima. Sesiapa yang membezakan di antara kewajipan zakat dan solat, maka tergelincirlah ia dari aqidahnya.

Namun sayang, keadaan di mana zakat benar-benar berfungsi dalam masyarakat kini hanya menjadi nostalgia silam. Setelah hancurnya Daulah Khilafah Islamiyyah pada 3 Mac 1924 sebagai institusi pelaksana zakat dan setelah pemahaman  umat terhadap ajaran-ajaran Islam (termasuk zakat) menjadi semakin lemah, maka urusan zakat telah diselewengkan  sehingga yang berhak menerima zakat tidak diberikan haknya, manakala yang tidak layak pula diberikan zakat. Setelah tidak adanya Daulah Khilafah yang memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, maka zakat kini difahami sebagai sesuatu yang terpisah dari insitusi pelaksananya. Zakat telah dicabut dari kesatuannya dengan hukum-hukum Islam yang lain di dalam bidang ekonomi.

Firman Allah SWT ,

“Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil zakat, mu`allaf, hamba, orang-orang berhutang, jihad fi sabilillah, dan ibnu sabil.” [TMQ At-Taubah (9):60]

Ayat ini membatasi dan mengkhususkan para mustahiq zakat hanya kepada lapan golongan (asnaf) sahaja. Zakat tidak boleh diberikan  kepada selain mereka.

Selagi sistem yang diterapkan di dalam  negeri-negeri umat Islam  adalah sistem kapitalisme yang mengenepikan hukum Allah, maka selagi  itulah kita akan menyaksikan penderitaan yang tak berkesudahan berlaku ke atas umat Islam. Mungkin sebahagian dari kita terdiri dari golongan yang kaya atau stabil dari segi kewangan, maka golongan ini tidak benar-benar merasakan penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara mereka yang lain. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kita bahawa tidak beriman seseorang itu yang tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Rasulullah juga mengingatkan kita bahawa haram hukumnya seseorang itu tidur dalam kekenyangan sedangkan dia mengetahui bahawa jirannya tidur dalam kelaparan. Rasulullah turut mengingatkan kita bahawa pemimpin itu adalah pemelihara rakyatnya. Maka, bagaimana mungkin seorang Muslim yang lalai dan seorang pemimpin yang kaya raya terlepas dari dosa bila mana mereka hidup dikelilingi kemewahan walhal pada masa yang sama kemiskinan berleluasa di depan mata.

Adalah suatu yang lumrah di dalam sistem sekular yang mengamalkan ekonomi kapitalis sekarang, jika kita menyaksikan golongan pemimpin dibanjiri kemewahan, sedangkan  rakyatnya menderita kelaparan, dihimpit kemiskinan dan juga kesusahan. Namun pada masa yang sama, zakat tak pernah kehabisan, kemiskinan masih tidak hilang! Apa kisah, apa gerangan?

Wahai Najib! Tidakkah kamu  pernah bertanya pada diri kamu, sampai bilakah sistem kufur ini akan kamu pertahankan? Tidak terdetikkah di dalam hati kamu bahawa perbuatan ini adalah suatu dosa yang cukup besar? Tidak sedarkah kamu  bahawa segala dosa yang kamu  lakukan akan  terus dicatit oleh malaikat yang tidak pernah  lalai dan sentiasa ada di sebelah kamu, tidak pernah rehat dan tidak pernah tidur? Tidak terfikirkah kamu bahawa kaki kamu  tidak akan dapat melangkah walau sedikitpun di padang mahsyar sehingga Allah selesai memberikan perhitunganNya ke atas kamu? Kenapakah kamu masih menggunakan kuasa yang ada untuk menerapkan hukum sendiri, bukannya hukum Allah?

Wahai Najib! Tidak takutkah kamu dengan siksaan Allah yang amat pedih yang akan mengazab kamu kerana tidak menerapkan hukumNya? Bertaqwalah kepada Allah wahai kaum Muslimin, wahai para pemimpin kaum Muslimin…