2020: Menyoroti realiti umat Islam dan menimba ibrah daripadanya
Tahun 2020 bakal melabuhkan tirainya. Dalam kita meniti hari-hari terakhir dalam tahun ini, sewajarnya kita meluangkan masa sejenak bagi menelusuri detik-detik peristiwa yang berlaku di sepanjang tahun ini, agar dengannya kita dapat menyedari realiti yang melanda umat Islam khasnya di negara ini.
Semoga sorotan retrospeksi 2020 ini dapat membuka mata hati umat ini sekali gus menjadi ibrah (pengajaran) buat kita semua. Mudah-mudahan, dengan menghayati ibrah terhadap rentetan peristiwa yang terjadi akan membuatkan kita lebih terarah dalam mengorak hala tuju menuju masa depan yang lebih cerah buat umat Islam.
Sungguhpun demikian, bukanlah bererti anjakan perubahan hanya terjadi sejajar dengan beralihnya tahun semata-mata. Bahkan Islam memberi penekanan terhadap perubahan yang berterusan pada setiap masa dalam mencapai matlamat hidup penganutnya, di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah (saw),
“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam” [HR Bukhari dan Muslim].
Justeru, sebagai seorang Muslim, sewajarnya usaha penambahbaikan dilakukan secara berterusan sepanjang tahun, malah setiap hari. Cuma, tidaklah salah untuk menjadikan peralihan tahun sebagai penanda ukur pencapaian dan ruang untuk muhasabah diri bagi meningkatkan lagi keazaman kita dalam mencapai matlamat utama hidup di dunia ini, iaitu demi mencapai mardhatillah.
Antara peristiwa besar dalam tahun 2020 yang bakal berakhir ini pastinya pandemik COVID-19 yang telah mengubah kehidupan masyarakat dunia secara amnya. Pandemik ini bukan sekadar memberikan impak terhadap kesihatan, bahkan turut memberikan kesan buruk terhadap sosio-ekonomi masyarakat dunia. COVID-19 juga turut membongkar kepincangan dahsyat dalam sistem ekonomi kapitalisme yang sudah sedia rapuh serta memaparkan ketaksamaan ketara dan melebarnya jurang antara yang kaya dan miskin.
Dalam pada itu, kemelut politik yang berlarutan di Malaysia semenjak tercetusnya Langkah Sheraton pada Februari lalu menyebabkan semakin ramai rakyat yang hilang keyakinan terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Dari satu sisi, ini merupakan sebuah perkembangan yang baik buat umat Islam. Pergelutan kuasa yang terjadi telah membuka mata umat Islam betapa elit politik yang berada di koridor kekuasaan ternyata lebih mementingkan agenda serta keuntungan peribadi berbanding melaksanakan amanah yang terpikul di bahu mereka terhadap rakyat.
Dalam pada itu, meskipun norma kehidupan telah banyak berubah ekoran pandemik COVID-19, namun hakikatnya realiti umat Islam keseluruhannya masih tidak banyak berubah. Bahkan realiti menunjukkan betapa umat ini masih lagi berada dalam keadaan terpuruk dan ditindas dalam segenap aspek. Lebih malang lagi apabila para penguasa yang diharapkan oleh segelintir umat untuk membawa agenda perubahan, ternyata telah mengkhianati umat ini melalui persekongkolan dengan kuasa-kuasa kuffar yang mencorak tata dunia.
Dengan segala keburukan yang masih belum hilang dari umat Islam sepanjang tahun 2020, malah semakin bertambah, maka seharusnya kita mengorak langkah untuk melakukan perubahan hakiki sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Semoga ketibaan 2021 membuka minda umat ini untuk bersama menggembleng upaya ke arah kebangkitan hakiki, yakni dengan meruntuhkan sistem rosak yang sedang mengatur tata dunia hari ini, seraya menggantikannya dengan sistem Islam di bawah naungan negara Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.
[Artikel ini merupakan siri pertama dalam edisi khas penutup 2020 “Sorotan 2020: Realiti dan Ibrah”]