60 peratus muflis golongan muda, natijah sistem kapitalisme

Menurut laporan Kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia baru-baru ini, dianggarkan 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia daripada golongan millennial, ekoran tabiat berbelanja melebihi pendapatan [Berita Harian, 12/12/2019]. Golongan millennial merujuk kepada anak muda berumur 25 hingga 44 tahun.

Mengapakah perkara sebegini terjadi dalam masyarakat? Masalah ini antara lain berpunca daripada sikap berbelanja melebihi pendapatan. Sebilangan manusia tidak pernah merasakan cukup dengan kekayaan yang dimilikinya. Sabda Rasulullah (saw), “Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat” [HR Bukhari & Muslim].

Dorongan untuk mengejar kekayaan dan menjalani kehidupan mewah melebihi batas kemampuan dalam aturan dunia yang diselubungi nilai materialistik ini turut diburukkan lagi dengan sistem kewangan yang membenarkan pinjaman yang berasaskan riba. Amalan pinjaman berasaskan riba ini dibenarkan untuk hidup subur oleh pemerintah, malah digalakkan, hasil penerapan sistem demokrasi yang tidak mempedulikan halal-haram.

Tambahan lagi, institusi kewangan berlumba-lumba menawarkan syarat pinjaman mudah yang mendorong golongan muda khasnya untuk membuat pinjaman ribawi sehingga akhirnya sebahagian daripada mereka gagal untuk melunaskan hutang ekoran kadar riba yang menjadikan hutang mereka “beranak-pinak”. Hal ini menjerumuskan mereka lebih jauh ke dalam perangkap hutang.

Di samping itu, tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai ekonomi rata-ratanya lemah, dan hanya bersandarkan kepada maklumat yang dominan dengan peraturan yang diterapkan ke atas mereka semata-mata. Apa yang menyedihkan, terdapat segelintir golongan, khususnya agamawan, yang cuba “menghalalkan” amalan riba dengan mengemukakan pelbagai alasan, yang dijadikan sandaran oleh sebahagian daripada umat Islam bagi mengambil pinjaman riba.

Desakan untuk memenuhi gaya hidup yang mengukur kebahagiaan berdasarkan nilai kekayaan dan harta yang dimiliki juga menyebabkan sebahagian daripada umat Islam sanggup untuk meminjam dan berbelanja melebihi kemampuan mereka.

Dalam pada itu, peningkatan gaji yang rendah berbanding peningkatan kos sara hidup dan kadar inflasi juga menyebabkan golongan berpendapatan rendah terdesak untuk membuat pinjaman meskipun akhirnya akan menyebabkan mereka lebih terbeban dengan kadar riba yang dikenakan.

Punca timbulnya kemelut sebegini adalah sistem kapitalisme yang bukan sahaja mengundang pelbagai masalah melalui akad-akad batil serta fasad (rosak) di dalamnya, bahkan menyebabkan kehidupan semakin terhimpit akibat pelaksanaan dasar-dasar ekonomi yang melebarkan jurang kekayaan serta gagal mencapai kebahagiaan seperti yang digembar-gemburkan melalui propaganda ilusi kemakmuran bersama yang cuba dicapai.

Lalu, bagaimanakah penyelesaian yang benar bagi kemelut sebegini? Ringkasnya, perubahan haruslah bermula dengan mengubah cara berfikir. Pemikiran mengenai sistem ekonomi Islam dan seterusnya ilmu ekonomi pengurusan kewangan dan pendapatan perlu dipelajari dan disebarluaskan kepada anak muda dan masyarakat secara umumnya.

Selain itu, ekonomi yang menjana pendapatan berasaskan hutang dan amalan riba wajib dihapuskan, dan konsep sebenar amalan hutang perlu dikembalikan kepada objektif asalnya menurut Islam, iaitu atas dorongan untuk saling membantu meringankan beban, bukannya untuk menjana keuntungan daripada riba yang dikenakan.

Solusi ini akan hanya dapat dilaksanakan secara sempurna melalui peranan negara yang menerapkan sistem Islam secara kaffah (sempurna), termasuklah dalam aspek perekonomian, sekali gus mengharamkan ekonomi berasaskan amalan hutang dan riba seperti yang berlaku pada hari ini.

Nasran Sulaiman

Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia