Remaja berkhalwat bohsia kena 7 hari

KUALA LUMPUR: Seorang remaja yang mengadakan hubungan seks dengan seorang bohsia yang baru beberapa jam dikenalinya, dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan pasangan itu tahun lalu.

Tertuduh, Uzairudin Razali, 23, yang mengaku melakukan dua kali hubungan seks dengan Sufiah Abdul Wahab, 20, sebelum ditahan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), akan menerima hukuman tambahan penjara 20 bulan jika gagal membayar denda.

Hakim Syarie, Mohd Radzi Abd Latif menasihatkan tertuduh supaya bertaubat dan segera berkahwin jika tidak mampu lagi menahan nafsu.  “Kamu sudah wajib berkahwin kerana mengikut fakta kes kamu tidak lagi mampu menahan nafsu sehingga melakukan zina. Jika tidak mampu bernikah, Rasul menyuruh berpuasa.

“Kamu juga tidak harus menjadikan alasan tidak mampu sebagai halangan bernikah. Allah menjanjikan rezeki bagi setiap pasangan yang berkahwin, jadi tiada sebab kamu akan jatuh miskin jika berkahwin kecuali kamu seorang pemalas, ” katanya.

Terdahulu, Mohd Radzi turut memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Sufiah berikutan kegagalan hadir ke mahkamah buat kali kedua bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

Sumber : Berita Harian: 31/07/09

Rosak Dan Hancurnya Kehidupan Umat Islam Dalam Dunia Kapitalisme

Inilah dunia Kapitalisme. Melahirkan masyarakat yang begitu mudah untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Pihak media juga nampaknya berjaya me”neutral”kan keadaan dengan menukar istilah zina kepada hubungan seks. Ini akan menyebabkan  perasaan dan pemikiran masyarakat kurang tersentuh dengan isu sebegini sebagaimana istilah riba kini telah ditukar dengan istilah bunga, kadar faedah, ujrah dan sebagainya. Akhirnya ramai merasa tidak berdosa untuk mengambil dan terlibat dengan riba. Cuma suatu perkara yang paling menyedihkan kita ialah hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah yang bergelar “Mahkamah Tinggi Syariah” terhadap kes zina di atas.  Dengan tanpa rasa bersalah dan takut kepada Allah SWT hakim yang bergelar “Hakim Syarie” menjatuhkan hukuman yang tidak syarie kepada pelaku zina tersebut. Sedangkan sudah diketahui secara nyata bahawa zina adalah kesalahan yang termasuk dalam hukuman hudud di mana bentuk hukumannya telahpun ditentukan oleh Allah SWT.

“perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. [TMQ An Nuur (24) : 2].

Wahai “Hakim Syarie”, Mohd Radzi Abd Latif dan kaum Muslimin seluruhnya! Cubalah renungkan sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, di mana semasa melantik dan mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman sebagai qadhi, Rasulullah bersabda,

“ ‘Dengan apakah engkau akan memutuskan hukum?’ Muaz menjawab, ‘Aku akan memutuskan hukum dengan apa yang ada dalam kitabullah’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak dapatinya dalam kitabullah?’. Muaz menjawab, ‘(Aku akan memutuskan hukum) dengan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak dapatinya dalam sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam?’. Muaz menjawab, ‘Aku akan berijtihad sesuai pendapatku’. Rasul bersabda, ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan apa yang diredhai oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.”

Inilah tindakan (dalam berhukum) yang dipuji oleh Rasulullah, yakni menghukum segala sesuatu dengan Kitabullah, Sunnah dan juga ijtihad. Amat kejilah mereka yang berhukum dengan hukum kufur. Wahai “Hakim Syarie”, Mohd Radzi Abd Latif dan kaum Muslimin! Jika hadis yang tersebut di atas masih belum membuka hati kalian, renungkanlah kata-kata yang lebih tegas, terang dan nyata dari lisan Nabi kalian bahawa

“Qadhi/Hakim itu terbahagi kepada tiga golongan, dua golongan berada dalam neraka dan segolongan lagi berada dalam syurga. Adapun (golongan) yang masuk syurga adalah (qadhi) yang mengetahui akan haq/kebenaran dan memutuskan dengannya (haq). Adapun (qadhi) yang mengetahui akan haq tetapi tidak menghukum dengannya, malah bertindak zalim dalam memutuskan hukum, maka dia ke neraka. Dan (qadhi) yang tidak mengetahui akan haq dan memutuskan hukum di antara manusia berdasarkan kejahilan, maka dia (juga) ke neraka” [HR Abu Daud].

Justeru itu kita ingin mengingatkan para “hakim syarie” yang masih lagi duduk dikerusi-kerusi empuk kamu itu untuk kamu menginsafi kemaksiatan yang kamu lakukan itu. Apakah kamu tidak memahami maksud firman Allah SWT ini?

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang  kafir”
.[TMQ Al Maa-id ah (5) : 44].

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang zalim
. [TMQ Al Maa-idah (5) : 45].

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang fasik
. [TMQ Al Maa-idah (5) : 47].

Ketahuliah! Hanya sistem Khilafah sahajalah yang akan menerapkan hukum uqubat Islam yang benar – hudud, jinayat, takzir dan mukhalafat dan bukannya sistem kufur Kapitalisme seperti yang ada pada hari ini. Kesimpulan dari kes di atas ialah bahawa kedua-dua remaja Islam tersebut bersalah kerana perbuatan zina yang telah mereka lakukan. “Hakim Syarie” itu juga bersalah dan berdosa kerana menjatuhkan hukuman thoghut dan bukannya hukuman uqubat Islam. Pemerintah yang ada pada ini juga bersalah kerana menerapkan sistem kufur dan bukan system Islam. Maka apa yang kita tunggu lagi! Ayuh, berusahalah mengubah apa yang tidak diredhai Allah ini kepada sistem yang diredhaiNya!