Malaysia contoh terbaik Islam: PM
Najib berkata, Malaysia patut berbangga dengan semua itu dan beliau percaya dengan mempromosi dan berkongsi mengenai cara Malaysia mentadbir Islam di negara ini, ia adalah sebagai satu langkah untuk memastikan Islam boleh difahami dan dihormati dengan lebih baik oleh negara lain di dunia. Perdana Menteri berkata demikian sebagai maklum balas terhadap soalan yang dikemukakan Nurul Shafika Ahmad di 1Malaysia.com.my. Nurul Shafika bertanya mengapa Islam masih dipersoalkan oleh sesetengah kumpulan dan negara dan orang Islam ditindas dalam banyak hal antaranya seperti dihalang daripada beribadat, dituduh sebagai pengganas dan ditahan di Teluk Guantanamo. “Sebagai seorang Islam, saya sangat kecewa dan berharap ia akan berakhir selepas Presiden Obama (Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama) mentadbir. “Jangan biarkan ia seperti Bush (George W Bush) yang tidak berhati perut,” kata Nurul Shafika. Najib berkata, Presiden Barack Obama memberi petunjuk kepada dunia Islam agar tidak melihat beliau seperti pemimpin sebelumnya. “Daripada perspektif antarabangsa, saya secara jujur percaya kita akan melihat lebih banyak hubungan positif bukan saja dengan pemimpin-pemimpin dunia, tetapi dengan rakyatnya, berdasarkan rasa hormat dan dialog terbuka,” katanya. – Bernama
Sumber : Berita Harian: 06/08/09
Najib Ghairah Sendiri
Nampaknya PM syok sendiri dengan dakwaannya bahawa Malaysia adalah contoh terbaik Islam. Sedangkan jika diteliti dengan pandangan Islam yang sebenar dan menggunakan hukum syara’ sebagai kayu ukur apakah benar Malaysia adalah yang terbaik? Secara ikhlasnya kita dapat melihat bahawa dakwaan PM adalah sekadar mengulang-ulang andaian angan-angan mat jenin yang sama seperti sebelum-sebelumnya. Adakah dengan adanya sistem Tabung Haji, industri kewangan yang dikatakan Islam, undang-undang syariah yang disangsikan dan yang boleh dipertikaikan ke’syariahan’nya telah cukup bagi beliau untuk mendakwa bahawa inilah contoh yang terbaik bagi Islam? Mungkin dakwaan Najib itu dibuat dengan pandangan sebelah mata dan sebelah mata lagi beliau tutup dari mengungkap terlampau banyak penerapan sistem yang tidak syar’i yang masih wujud ditengah-tengah kehidupan masyarakat saat ini. Apakah beliau boleh menutup kejelekan dan kemaksiatan pusat judi Genting Highland, kilang arak Carlsberg dan Guinness Stout dan sistem ekonomi bank riba yang dibenarkan beroperasi dengan mudahnya di Malaysia? Apakah beliau tidak sedar bahawa dosa yang paling kecil bagi riba adalah seperti seseorang itu berzina dengan ibunya? Amat malang kerana Najib pada hari ini masih terus mengekalkan sistem ekonomi yang berasakan riba dan masih lagi membenarkan pelbagai kemaksiatan terus berleluasan di Malaysia.
Jika kita melihat kepada persoalan undang-undang syariah yang diguna pakai di mahkamah syariah hari ini, secara jelas dan jujur kita boleh menyatakan ini adalah di antara bid’ah – bid’ah besar yang masih lagi diterapkan dan yang dijalankan oleh para pemimpin sekular yang ada pada hari ini. Apakah hukuman “356” layak bagi kesalahan hudud? Itu hanya ada di dalam kitam “suci” Lord Reid yang masih lagi diguna pakai di Malaysia sehingga saat ini. Inilah padahnya jika kita ghairah sendiri…….amat malang bagi umat Islam. Wahai Najib, apakah hujjah yang akan kamu bawa di hari akhirat kelak apabila bertemu dengan Allah SWT?