Tokoh agama anggap ISA masih perlu

 
altKUALA LUMPUR: Berita Harian mengadakan Wacana Ilmu dengan menampilkan dua tokoh agama terkemuka bagi membincangkan konsep Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kehidupan masyarakat di negara ini, termasuk aspek politik.

Program yang julung kalinya diadakan itu menampilkan Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad.

Muhammad Uthman berkata, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih diperlukan di negara ini walaupun ada pihak mahu akta itu dimansuhkan.   “Selagi belum ada akta lain yang boleh menggantikan ISA, maka akta ini perlu dikekalkan. Bagaimanapun ISA perlu dilakukan semakan semula. Akta ini penting bagi mengawal negara.

“Kita tidak tahu bila ancaman terhadap negara akan berlaku, misalnya jika kita mendapat maklumat di tengah malam ada ancaman terhadap negara, bagaimana kita hendak tangkap individu disyaki, apakah perlu tunggu mahkamah pada keesokan harinya,” katanya di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mior Kamarul Shahid dan Ketua Pengarang Berita, Ahmad Zaini Kamarulzaman. Muhammad Uthman berkata, persaudaraan masyarakat Islam berbangsa Melayu kini semakin rosak akibat pengaruh politik, sehingga ada pihak yang tidak lagi menghormati institusi Raja di negara ini.

“Persaudaraan Islam Melayu sudah rosak. Ada orang pakai jubah tetapi sanggup meniarap di tengah jalan halang kereta Raja dan ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Sementara itu, Nakhaie berkata masyarakat Islam di negara ini perlu mengamalkan budaya politik selaras dengan tuntutan agama dan tidak mengutamakan politik sehingga menolak nilai Islam.

“Zaman nabi Baginda berdakwah dan dalam dakwah ada politik, sekarang politik sudah diletakkan pada tahap tinggi sehingga menolak perpaduan sesama Islam walaupun ada nas jelas dari al-Quran menyatakan agama Islam menuntut perpaduan,” katanya.

Sumber : Berita Harian: 18/08/09

ISA. Masih Diperlukan?

Akta zalim ISA ini nampaknya masih terus menjadi tajuk perbincangan dan diskusi sehingga ke hari ini. Kita mengatakan ISA itu zalim bukanlah kerana emosi semata-mata, tetapi kerana akta itu bukannya datang dari nas syara’ tetapi ianya datang dari aqal manusia yang diberikan kebebasan sepenuhnya oleh sistem demokrasi kufur yang ada pada hari ini untuk menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Sistem demokrasi yang kufur ini adalah suatu sistem yang membenarkan manusia mengambil alih hak Allah SWT sebagai musyarri’ (pembuat hukum).

Di kalangan rakyat Malaysia, ada pihak yang menentang ISA dan tidak kurang juga yang menyokong ISA. Bagi pihak yang menyokong ISA mereka terus mencari hujah untuk mengatakan bahawa ISA masih diperlukan. ISA, bagi mereka, adalah masih relevan dan harus dipertahankan. Alasan yang kerap dikemukakan adalah bahawa ISA ini perlu bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan negara.

Dari pengalaman mereka yang pernah ditahan di bawah akta ini, bukan sekadar tahanan ISA itu sahaja yang disiksa malahan ahli keluarga tahanan juga turut ditekan secara psikologi. Umumnya kita melihat golongan yang membenarkan ISA itu menggunakan hujah aqal semata-mata untuk meng”iya”kan apa yang dilakukan oleh pemerintah sekular yang ada pada hari ini tanpa mendatangkan nas dari al-Quran mahupun as-Sunnah. Sila rujuk SN 174 yang bertajuk: ISA Haram Di Sisi Islam.

Bagi dua tokoh di atas yang berpandangan bahawa akta zalim ISA ini perlu terus diguna pakai untuk kepentingan golongan pemerintah yang ada pada hari ini,  kami ingin mengemukakan beberapa persoalan.  Apakah dalil yang membolehkan kita menghukum seseorang tanpa pembicaraan? Apakah dalil untuk dibolehkan seseorang tahanan itu disiksa semasa di dalam tahanan? Apakah akta zalim ISA itu lahir dari nas syara’ atau datang dari aqal manusia?

Bagi mereka begitu berani membenarkan akta zalim ISA ini untuk terus dikekalkan bagi menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat, ingin kami mengingatkan apakah mereka begitu berani berhadapan dengan hisab Allah SWT kelak di hari akhirat semata-mata untuk mengejar habuan dunia yang menipu ini? Bagi mereka yang terus menyokong akta zalim ISA ini untuk terus dikekalkan secara langsung mahupun tidak langsung maka perhatikanlah peringatan Allah SWT ini:

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cobaan (menyiksa, mendatangkan bencana, membunuh dan sebagainya) kepada orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka  azab jahannam dan bagi mereka  azab (neraka) yang membakar.” [TMQ Al Buruuj (85) : 10].