Baby Hatch – Tokoh Agama Semakin Keliru Dan Terpesong

baby hatchTokoh Islam setuju penubuhan Baby Hatch
KUALA LUMPUR: Tokoh Islam dalam negara bersetuju dengan penubuhan Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini yang pertama di Malaysia, yang boleh menyelamatkan bayi yang tidak diingini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata bayi yang tidak lagi diingini mesti diselamatkan, manakala ibu bapa bayi berkenaan harus dikenakan tindakan yang keras supaya memberi pengajaran kepada orang lain.  

“Saya menyokong langkah Kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Baby Hatch dalam isu ini kerana bayi berkenaan tidak berdosa.   “Dulu kita tidak bersetuju dengan idea seperti ini kerana takut menghantar mesej yang salah kepada orang ramai terutama remaja, tapi pada masa sekarang kita sangat perlukan tempat sebegini untuk bayi yang tidak berdosa,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Kelmarin, Penaung OrphanCARE yang juga Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom melancarkan Pusat Perlindungan Bayi Tidak Diingini atau Baby Hatch pertama dalam negara.   Presiden OrphanCARE, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata organisasi itu bercadang mewujudkan banyak lagi pusat perlindungan bayi di seluruh negara bagi menyediakan tempat untuk bayi yang dibuang atau tidak diingini lagi. Baby Hatch yang beroperasi 24 jam menyediakan tempat perlindungan sihat dan selamat kepada bayi terbabit sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.

Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz pula berkata, usaha mewujudkan Baby Hatch adalah baik kerana ia menjadi tempat perlindungan bayi yang tidak bersalah serta boleh menjamin masa depan bayi itu.

“Kalau kita pandang dari segi satu sudut memang menggalakkan zina tapi kita tak boleh biarkan bayi yang dilahirkan dibuang dan meninggal begitu saja.

Malahan bayi berkenaan boleh diberikan kepada pasangan suami isteri yang mahukan anak dan Islam menganjurkannya,” katanya.

Penasihat Majlis Agama Negeri Johor, Datuk Noh Gadut, berkata gejala buang bayi pada masa kini sudah semakin teruk dan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan wajar mengambil tanggungjawab menyelesaikan perkara berkenaan.

“Anak-anak kecil ini tidak berdosa dan wajib kita sediakan perlindungan kepada mereka, mana tahu mereka ini membesar menjadi anak yang soleh dan menjadi pejuang negara pada masa depan.

“Yang bersalah adalah ibu bapa anak kecil itu. Masyarakat harus bersama mencegah penyakit sosial ini termasuk melaksanakan undang-undang cegah zina yang ketat,” katanya.  Beliau turut menyarankan masyarakat supaya berfikiran terbuka dalam menyelesaikan masalah buang bayi serta bertanggungjawab mencegah perbuatan zina di kalangan remaja seperti yang disyorkan oleh Islam

Sumber: Berita Harian 31/05/10

Tokoh Agama Juga Bersetuju Dengan Penyelesaian Sekular

Amat malang bagi umat Islam di Malaysia pada hari ini apabila memiliki tokoh-tokoh agama yang melihat penyelesaian yang dilakukan oleh pihak sekular bagi mengatasi masalah pembuangan bagi dengan  menyediakan Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini sebagai sesuatu yang dianggap baik. Setiap persoalan, baik ataupun buruk, yang menyangkut permasalahan berkenaan kehidupan ini sewajarnya diserahkan kepada hukum syara’ dan bukannnya kepada akal manusia untuk menentukannya. Firman Allah SWT: ” Kamu diwajibkan berperang sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.  [TMQ Al- Baqarah: 216]. Apa yang menghairankan kita ialah, mengapa tidak keluar dari mulut tokoh-tokoh agama ini seruan ataupun muhasabah agar para pemerintah yang ada hari ini mencampakkan kehidupan sekular yang menjadi punca kepada permasalahan yang berlaku dan kembali menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Apakah mulut-mulut mereka dikunci oleh habuan dunia yang sedikit ini? Apakah mereka selesa dan redha dengan kehidupan sekular Kapitalisme yang diterapkan oleh para pemerintah hari ini? Penubuhan Baby Hatch ini bukanlah penyelesaiannya. Apa yang pastinya ialah idea tersebut akan terus merosakkan lagi kehidupan umat ini.

Sewajarnya pemerintah sekular hari ini menerapkan  sistem sosial Islam dalam mengatur kehidupan dan hubungan antara lelaki dan wanita. Inilah yang sepatutnya keluar dari mulut-mulut para tokoh agama ini. Faktanya hari ini, kita dapat melihat bagaimana rosaknya masyarakat yang hidup dalam linkungan kehidupan sekular Kapitalisme yang memeluk idea kebebasan baik di Barat mahupun di negeri-negeri umat Islam itu sendiri. Pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita dibiarkan begitu sahaja. Tambahan pula para pemerintah sekular yang ada pada hari  ini membuka dan memberikan peluang seluas-luasanya bagi program-program maksiat dan tempat-tempat maksiat beroperasi. Tempat-tempat seperti inilah yang  menjadi lubuk pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang akhirnya menjurus kepada perlakuan zina yang mengakibatkan lahirnya anak-anak zina yang semakin berleluasa tidak kira samada di bandar-bandar mahupun di kampung-kampung.

Wahai para tokoh agama….ketahuilah bahawa ulama itu dikenali bukan hanya sekadar kerana ilmunya. Firman Allah SWT: ” Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu”.  [TMQ Faatir (35) : 28]. Wahai para tokoh agama! Umat memerlukan para ulama yang berani memimpin mereka dan para ulama yang sanggup berjuang untuk menzahirkan Islam didalam kehidupan ini.